Pisau lipat dan penumbuk besi akan dimasukkan ke dalam senarai enam senjata terkawal pada separuh pertama 2025 untuk menjaga keselamatan awam menyusuli beberapa serangan pisau pada 2024.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) kini mengawal penjualan pedang, lembing, mata lembing, bayonet, dan busur serta anak panah berbahaya melalui Akta Senjata dan Letupan.
Pada 7 Januari, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Cik Sun Xueling, berkata di Parlimen pisau lipat dan penumbuk besi akan dimasukkan dalam senarai senjata terkawal apabila Akta Kawalan Senjata berkuatkuasa pada separuh pertama 2025, lapor The Straits Times (ST).
Beliau menjawab soalan Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong) dan Encik Christopher de Souza (GRC Holland-Bukit Timah) mengenai jenayah pisau dan langkah perlindungan awam.
Soalan mereka menyusuli serangan ke atas seorang paderi di Gereja St Joseph pada 9 November 2024.
Basnayake Keith Spencer, 37 tahun, didakwa menghampiri Reverend Christopher Lee dan menikamnya di mulut.
Basnayake dihadapkan dengan tuduhan menggunakan senjata berbahaya menyebabkan kecederaan parah kepada paderi tersebut.
Menurut dokumen mahkamah, paderi itu mengalami luka 8 sentimeter pada lidah, luka 3 sentimeter pada bibir kiri atas, dan luka 4 sentimeter di sudut mulutnya.
Cik Sun berkata bahawa sehingga November 2024, terdapat 129 kes bunuh, cubaan bunuh, rompakan, rusuhan, dan kecederaan serius melibatkan pisau pada tahun itu.
Beliau berkata angka 2024 setanding dengan jumlah kes antara 2021 hingga 2023, yang mencatatkan purata 133 kes setiap tahun.
Pada 2022, MHA melaporkan sekitar 150 kes jenayah melibatkan pisau setiap tahun antara 2017 hingga 2021 – bermakna satu kejadian berlaku hampir setiap dua hari.
ST melaporkan pada Disember 2024 bahawa jumlah kes bunuh mencapai tahap tertinggi dalam lima tahun, dengan 10 kes dilaporkan pada tahun itu.
Menurut Jabatan Perangkaan Singapura, terdapat empat kes bunuh pada 2023, tujuh kes masing-masing pada 2022 dan 2021, serta lapan kes pada 2020.
Cik Sun berkata MHA tidak memantau sama ada pesalah mempunyai masalah kesihatan mental.
Beliau juga menambah bahawa pegawai polis dilatih dan diperlengkapkan untuk menangani jenayah yang melibatkan pisau.
“Walaupun kejadian jenayah pisau adalah rendah, penting bagi kita tahu bagaimana untuk bertindak apabila serangan berlaku, seperti yang terjadi di Gereja St Joseph pada November 2024,” kata Cik Sun.
Pada 10 November, Encik Richard Tan dan Encik Damien Liew dianugerahkan Anugerah Semangat Keprihatinan Awam atas keberanian mereka melucutkan senjata dan menahan Basnayake sehingga polis tiba.
Cik Sun berkata MHA telah melibatkan orang ramai melalui gerakan SGSecure, termasuk perkongsian nasihat dan kepentingan mempelajari kemahiran kesiapsiagaan kecemasan seperti bantuan kecemasan atau ‘first aid’.
Beliau menambah: “Langkah-langkah ini membantu memastikan tahap keselamatan awam yang tinggi, kesedaran keselamatan, dan kesiapsiagaan kecemasan dalam masyarakat kita.”
Cara melaporkan aktiviti mencurigakan:
1) Hubungi polis di 999
2) SMS ke 70999 jika anda tidak boleh bercakap
3) Hantar maklumat melalui aplikasi SGSecure
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg