Lelaki yang dituduh mencederakan seorang paderi di sebuah gereja di Bukit Timah dibawa ke tempat kejadian itu pada 6 Disember.
Dia menerangkan kepada pegawai polis mengenai peristiwa yang menyaksikan Paderi Christopher Lee diserang di hadapan ahli perhimpunan keagamaannya pada 9 November.
Dengan diikat rapi dan memakai pakaian penjara biasa, Basnayake Keith Spencer, tiba pada 3 petang dengan kenderaan polis tidak bertanda.
Diapit oleh empat pegawai pada setiap masa, Basnayake menunjukkan kepada penyiasat tempat dia duduk di Gereja St Joseph semasa satu acara keagamaan pada hari itu, lapor The Straits Times.
Basnayake didakwa membawa lima senjata ketika itu.
Paderi Lee diserang dengan pisau lipat semasa acara agama bulanan bagi kanak-kanak.
Beliau mengalami luka lapan sentimeter pada lidah, luka tiga sentimeter pada bibir atas dan luka empat sentimeter pada sudut mulut.
Paderi Lee dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Nasional enam hari selepas serangan itu.
Pada 6 Disember, Basnayake menunjukkan kepada pegawai polis laluan yang dia gunakan untuk memasuki dewan gereja itu.
Lelaki berusia 37 tahun yang bertatu itu turut membawa pegawai ke bangku tempat dia duduk, berhampiran bahagian belakang gereja, semasa acara tersebut.
Dia juga membawa mereka ke hadapan ruang itu, tempat dia berdiri dalam barisan semasa Paderi Lee mengagihkan makanan dalam satu jamuan keagamaan.
Basnayake didakwa pada 11 November sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata berbahaya.
Dia ditahan reman sejak ditangkap, termasuk tiga minggu bagi penilaian psikiatri.
Perbicaraan seterusnya ialah pada 9 Disember.
Ahli gereja itu sebelum ini memberitahu ST bahawa Basnayake, seorang penganut Kristian, pernah dilihat di gereja itu, tetapi menambah bahawa dia bukan pelawat biasa.
Jika didapati bersalah sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata berbahaya, Basnayake boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, atau penjara hingga 15 tahun, denda dan sebat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg