Seorang lelaki yang didakwa menikam seorang paderi di Gereja St Joseph tidak dibenarkan ikat jamin pada 9 Disember, selepas pihak pendakwaan menyifatkannya sebagai orang “sangat berbahaya” dan berisiko tinggi melakukan kesalahan lagi.
Basnayake Keith Spencer, 37 tahun, kini ditahan reman selanjutnya kerana kebimbangan akan keselamatan awam.
Pada 11 November, warga Singapura itu didakwa dengan satu pertuduhan menggunakan pisau untuk menyebabkan kecederaan parah ke atas Paderi Christopher Lee, 57 tahun, di gereja di Upper Bukit Timah Road itu.
Basnayake didakwa menghampiri Paderi Lee sekitar 6.30 petang pada 9 November semasa beliau mengagihkan makanan.
Menurut dokumen mahkamah, Paderi Lee ditikam di mulut, menyebabkan beliau mengalami luka sepanjang lapan sentimeter (cm) pada lidahnya, luka tiga cm pada bibir kiri atasnya dan luka empat cm pada sudut mulutnya.
Anggota perhimpunan gereja itu melucutkan senjata Basnayake sebelum pegawai polis tiba di tempat kejadian.
Sebuah video yang tular dalam talian berikutan serangan itu menunjukkan seorang lelaki kurus berbaju kemeja-T putih berlumuran darah dibawa keluar dari gereja dengan tangan dipegang ke belakang.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis berkata mereka tidak mengesyaki kejadian itu sebagai tindakan pengganasan, dan menambah bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa ia adalah serangan bermotifkan agama.
Paderi Lee dibenarkan keluar dari hospital pada 15 November.
Polis kemudian membawa semula Basnayake, yang digari, ke gereja pada 6 Disember.
Menurut The Straits Times, Basnayake menunjukkan pegawai tempat yang dia pergi pada hari serangan, sebelum diiring kembali ke kenderaan polis.
Kesnya ditangguh ke 6 Januari 2025.
Jika didapati bersalah sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata berbahaya, Basnayake boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, atau penjara hingga 15 tahun, denda dan sebat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg