Sejumlah 235 orang, berusia antara 16 dengan 93 tahun, sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian sekitar $4.2 juta.

Seramai 159 lelaki dan 76 wanita sedang membantu pihak polis dalam siasatan mengenai penglibatan mereka yang disyaki sebagai penipu atau keldai wang, susulan operasi seluruh Singapura selama dua minggu dari 5 hingga 18 November.

Siasatan awal mendapati mereka didakwa terlibat dalam lebih 536 kes penipuan, kata pihak polis dalam satu kenyataan pada 19 November.

Kes penipuan itu kebanyakannya melibatkan urusan e-dagang, pancingan data, tawaran pekerjaan palsu, penyamaran sebagai pegawai pemerintah, skim pelaburan dan cabutan bertuah.

Operasi itu dijalankan pegawai daripada Markas Siber (Cyber Command) serta tujuh divisyen darat.

Seramai 235 orang itu sedang disiasat atas kesalahan seperti penipuan, pengubahan wang haram, atau penyediaan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen.

Mereka yang disabit kesalahan penipuan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda, manakala yang disabitkan kesalahan pengubahan wang haram boleh berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda hingga $500,000, atau kedua-duanya. 

Mereka yang didapati bersalah menyediakan sebarang jenis perkhidmatan pembayaran di Singapura tanpa lesen boleh dipenjarakan hingga tiga tahun, didenda hingga $125,000, atau kedua-duanya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Penipu serta ahli atau perekrut sindiket penipuan berdepan hukuman sebatan mandatori sekurang-kurangnya enam kali dan hingga 24 kali sebatan.

Pembantu penipu yang terlibat dalam pengubahan wang haram atau membekalkan kad SIM dan pengesahan Singpass pula boleh dikenakan hingga 12 sebatan, mengikut budi bicara mahkamah. 

Menurut polis, individu yang terlibat dalam kesalahan keldai wang juga boleh dikenakan sekatan perkhidmatan perbankan dan talian mudah alih bagi mencegah penipuan lanjut. 

Warga asing yang terlibat dalam kegiatan berkaitan penipuan mungkin menghadapi semakan dan pembatalan pas pelajar atau pas kerja mereka, dan mungkin boleh dihantar pulang selepas siasatan selesai dijalankan.

Untuk maklumat lanjut mengenai penipuan, layari scamshield.gov.sg atau hubungi talian bantuan ScamShield di 1799.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai penipuan boleh menghubungi talian polis di 1800-255-0000 atau menghantar maklumat dalam talian di pautan, police.gov.sg/i-witness.

Semua maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya, kata polis.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti