Seorang remaja berusia 15 tahun adalah antara 295 orang yang sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam penipuan bernilai lebih $5 juta, menyusuli operasi penguatkuasaan polis dua minggu lalu.

Kenyataan polis pada 21 Mei mendedahkan bahawa 191 lelaki dan 104 wanita, berusia 15 hingga 76 tahun, dipercayai terlibat dalam lebih 750 kes penipuan.

Individu tersebut disyaki bertindak sebagai penipu atau pembantu dalam pengubahan wang haram terutamanya dalam kes penipuan e-dagang, penipuan menyamar rakan, penipuan pekerjaan, penipuan menyamar pegawai pemerintah, penipuan pelaburan dan penipuan sewa.

Siasatan kini berpusat pada dakwaan penipuan, pengubahan wang haram, atau menawarkan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen sah.

Operasi intensif 7 hingga 20 Mei itu melibatkan pegawai Jabatan Ehwal Komersial dan tujuh divisyen polis darat.

Hukuman bagi penipuan atau pengubahan wang haram ialah penjara hingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah mengendalikan perniagaan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen boleh dipenjara hingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya.

Penipu dan sindiket boleh dikenakan sebatan mandatori, antara enam hingga 24 sebatan.

Pembantu penipu yang terlibat dalam pengubahan wang haram, atau membekalkan kad SIM dan pengesahan Singpass, boleh dikenakan sebatan hingga 12, mengikut budi bicara mahkamah.

Polis turut memberi amaran bahawa individu terbabit pengubahan wang haram mungkin berdepan sekatan perbankan dan langganan talian mudah alih bagi mencegah penipuan lanjut.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai jenayah sedemikian boleh menghubungi talian hotline polis di 1800-255-0000, atau menyerahkan maklumat secara dalam talian di www.police.gov.sg/i-witness.

Semua maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya, kata polis.

Untuk maklumat lanjut mengenai penipuan, layari www.scamshield.gov.sg atau hubungi talian bantuan ScamShield di 1799.