Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tipu: Wanita didakwa buat pesanan besar ‘dari SAF’

Sep 17, 2025 | 6:03 PM
Wanita didakwa, kes tipu pesanan besar, menyamar anggota SAF
Seorang wanita Sri Lanka, Rajadi Rajasinghe Manamendra Patabadilage Vishwa Madavi, 22 tahun, adalah yang pertama daripada tiga individu yang didakwa dalam kes penipuan tersebut. - Foto BREADITATION BAKERY SG/INSTAGRAM, KIKI FLORIST

Seorang wanita Sri Lanka didakwa pada 17 September atas kaitannya dengan satu siri penipuan pesanan besar yang palsu menyasarkan perniagaan tempatan.

Rajadi Rajasinghe Manamendra Patabadilage Vishwa Madavi, 22 tahun, yang kini ditahan reman di Divisyen Polis Central, dikenakan tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan didakwa menyerahkan akaun banknya kepada orang lain, lapor The Straits Times (ST).

Rajadi, yang memegang pas pelajar, juga didakwa memudahkan akses tanpa kebenaran kepada sistem komputer, dan didakwa mendedahkan kata laluan log masuk banknya kepada seorang individu yang tidak dikenali pada September.

Akaun banknya didakwa menerima sejumlah wang yang besar, menurut mahkamah pada 17 September.

Dia dijangka mengaku bersalah pada 1 Oktober.

Jika disabit kesalahan kerana menyalahgunakan sistem komputer, pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda sehingga $5,000.

Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga $10,000.

Dalam satu kenyataan pada 16 September, pihak polis berkata pegawai mereka telah menangkap tiga individu kerana disyaki terlibat dalam penipuan pesanan besar yang palsu melibatkan penyamaran anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Rajadi adalah yang pertama antara tiga orang yang dikatakan terlibat dalam kes itu.

Jurucakap polis berkata sejak 4 September, sekurang-kurangnya lima kes telah dilaporkan, melibatkan kerugian sekurang-kurangnya $32,000.

Tiga orang tersebut ditangkap selepas serbuan di kawasan sekitar Middle Road, Woodlands Street 81 dan Cantonment Road pada 15 dan 16 September.

Pegawai turut merampas beberapa peranti elektronik dan kad prabayar semasa operasi dua hari itu.

Siasatan awal mendedahkan trio tersebut didakwa bertindak atas arahan sindiket penipuan.

Salah seorang daripada tiga suspek didakwa membantu individu yang tidak dikenali melanggan talian telefon, dengan beberapa talian tersebut dikaitkan dengan kes penipuan seperti itu.

Dalam satu hantaran Facebook pada 14 September, Kementerian Pertahanan (Mindef) memberi amaran kepada orang ramai mengenai pesanan besar yang palsu dibuat individu yang menyamar sebagai anggota SAF.

Kementerian itu berkata mereka menyedari tujuh kes seperti itu, yang tidak melibatkan anggota SAF, dan laporan polis telah dibuat.

Dalam satu lagi kenyataan, polis turut memberi amaran bahawa penipu mungkin menyamar sebagai kakitangan sekolah tempatan dan berpura-pura membuat tempahan atau pesanan besar.

Penipu tersebut juga akan meminta barang tambahan, atau jenama tertentu yang tidak ada dalam perniagaan sasaran, atau jumlah yang tidak dapat dipenuhi oleh perniagaan dalam waktu singkat.

Mereka juga akan memperkenalkan rakan kongsi yang menyamar sebagai pembekal.

Polis menambah: “‘Pelanggan’ mungkin menyediakan dokumentasi pembayaran palsu, seperti tangkapan skrin, untuk meyakinkan mangsa bahawa mereka telah membuat pembayaran.”

Mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila tiada pembayaran diterima, pembekal gagal menghantar barang atau kedua-dua ‘pelanggan’ dan ‘pembekal’ tidak dapat dihubungi.

Beberapa kedai makan telah menjadi mangsa penipuan seperti itu, termasuk sebuah kedai nasi lemak di Novena.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg