Seramai 15 warga asing – yang sebelum ini melarikan diri dari Singapura di tengah-tengah siasatan kes pengubahan wang haram $3 bilion – telah bersetuju menyerahkan aset bernilai $1.85 bilion kepada pihak berkuasa.
Ini menjadikan jumlah aset yang telah dirampas secara keseluruhan sejauh ini kepada hampir $2.8 bilion.
Ia termasuk aset $944 juta yang dirampas 10 individu lain yang telah dijatuhkan hukuman penjara dan dihantar pulang ke negara masing-masing.
Pada 18 November, polis berkata 15 daripada 17 suspek yang diburu polis itu telah “dikenakan tindakan”, dilarang kembali ke Singapura, dan bersetuju untuk menyerahkan aset mereka.
Kenyataan polis tidak menjelaskan tindakan yang telah diambil ke atas mereka.
Namun menurut polis, siasatan terhadap lagi dua individu itu sedang dijalankan, dan aset mereka yang bernilai sekitar $144.9 juta masih disita atau tertakluk kepada perintah larangan pelupusan.
Pada awal kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion ini, 10 warga asing telah ditahan dalam serbuan serentak pada 15 Ogos 2023.
Dalam operasi itu, lebih 400 pegawai polis telah menjalankan serbuan serentak di serata negara – menahan sembilan lelaki dan seorang wanita yang terlibat dalam jenayah terancang, termasuk penipuan dan perjudian dalam talian.
Kesemuanya merupakan warga China, yang juga mempunyai kewarganegaraan lain dari negara seperti Kemboja, Dominica, Vanuatu dan Turkey.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata pada Julai bahawa tiada pemerintah atau agensi asing telah membuat tuntutan ke atas wang tunai dan aset yang dirampas daripada 10 individu tersebut yang termasuk kereta mewah, hartanah, jam tangan, beg tangan dan barang kemas.
Menurut senarai yang diedarkan oleh pihak berkuasa kepada institusi kewangan dan peniaga – terdapat 24 individu lain yang dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram itu, termasuk isteri dan teman wanita 10 individu tersebut.
Siasatan masih dijalankan, dan aset yang dirampas akan dimasukkan ke dalam Dana Disatukan atau Consolidated Funds – serupa dengan akaun bank yang dipegang oleh pemerintah yang digunakan untuk perbelanjaan pemerintah.
Setelah kes itu terbongkar pada Ogos 2023, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji semula sistem kewangan Singapura, dan mengukuhkan langkah membanteras pengubahan wang haram.
Pada 4 Oktober, jawatankuasa itu mengeluarkan laporan yang menggariskan langkah-langkah baru untuk memperketat usaha antipengubahan wang haram.
Pada 18 November, polis berkata pemerintah akan terus memperkukuh daya tahan Singapura terhadap pengubahan wang haram bagi melindungi reputasi negara sebagai pusat kewangan antarabangsa yang dipercayai dan dihormati.
Mereka menambah: “Kami akan terus mengalu-alukan perniagaan dan pelabur yang sah, tetapi akan berusaha sedaya upaya membanteras penjenayah yang cuba mengeksploitasi ekosistem Singapura untuk keuntungan jenayah.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg