Singapura telah menerbitkan Strategi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Nasional dalam usaha memperkukuh rangka kerja untuk membanteras risiko pengubahan wang haram yang semakin kompleks.
Strategi AML Nasional mengetengahkan tiga tonggak utama – pencegahan jenayah daripada memasuki dan menyalahgunakan sistem Singapura; mengesan dan mengenal pasti aliran dan kegiatan haram untuk memastikan tindakan tepat pada masanya; serta penguatkuasaan tindakan tegas terhadap individu yang menyalahgunakan sistem Singapura untuk pengubahan wang haram.
Selain tiga tonggak tersebut, tiga lagi komponen penting dalam strategi itu adalah penyelarasan dan kerjasama seluruh masyarakat; rangka kerja perundangan dan kawal selia yang kukuh; serta kerjasama antarabangsa.
Ketiga-tiga komponen ini menjadi asas yang membolehkan Singapura mengukuhkan sistem AML itu dengan lebih berkesan, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan bersama pada 30 Oktober.
Mengulas mengenai strategi baru ini, ketiga-tiga pihak berkuasa itu berkata: “Singapura terus mengambil pendekatan tegas terhadap pengubahan wang haram, selari dengan reputasinya sebagai hab kewangan antarabangsa yang dipercayai.”
Singapura akan meneruskan usaha pemantauan risiko pengubahan wang haram dengan pendekatan berasaskan risiko yang lebih ditentukur, tambahnya.
Strategi AML Nasional ini turut mengambil kira Penilaian Nasional Risiko Pengubahan Wang Haram (ML NRA) yang dikemas kini, yang menyatukan pelbagai pandangan terhadap risiko kegiatan tersebut yang dikumpulkan sepanjang beberapa tahun lalu.
Penilaian ini, bersama-sama dengan kajian terbaru oleh Jawatankuasa Antara Kementerian mengenai rangka kerja AML Singapura, menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam terhadap ancaman semasa dan penambahbaikan langkah mitigasi risiko.
Strategi AML Nasional itu turut disokong oleh Strategi Penguatkuasaan Undang-Undang Singapura untuk Memerangi Pengubahan Wang Haram.
Strategi itu pula dikeluarkan tiga agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara – Pasukan Polis Singapura (SPF), Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) – sebagai pelengkap kepada strategi nasional tersebut.
Menerusi pendekatan holistik, SPF, CNB dan CPIB bekerjasama dalam menghasilkan dokumen strategi baru untuk memerangi pengubahan wang haram dan menangani ancaman utama yang dikenal pasti dalam ML NRA 2024.
Dalam kenyataan bersamanya, SPF, CNB dan CPIB menyatakan: “Ia adalah versi baru bagi Penyata dan Strategi Dasar AML SPF yang diterbitkan pada 2016.
Usaha utama termasuk meningkatkan kesedaran awam tentang ancaman pengubahan wang haram dan menambah baik kerjasama antara agensi awam untuk meningkatkan penguatkuasaan kawal selia.
Selain itu, strategi tersebut menekankan kepentingan risikan kewangan untuk mengesan kegiatan yang mencurigakan dan menggalakkan perkongsian maklumat antara agensi.
Untuk meningkatkan keupayaan penyiasatan, Singapura komited untuk memastikan undang-undang AML negara dikemas kini, bekerja rapat dengan rakan kerja antarabangsa dan menggunakan alat digital untuk mengukuhkan penyiasatan.
Strategi ini juga menyerlahkan keperluan untuk memperoleh aset jenayah di peringkat tempatan dan antarabangsa, terutamanya aset maya, sambil memastikan penguatkuasaan ketat peraturan pelaporan tunai rentas sempadan.
Kenyataan itu menambah bahawa pendekatan Singapura untuk memerangi pengubahan wang haram adalah holistik, melibatkan agensi pemerintah, perkongsian awam-swasta dan kerjasama antarabangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg