Orang terakhir daripada 10 warga asing yang mengaku bersalah dalam kes pengubahan wang haram berjumlah $3 bilion, telah dijatuhi hukuman penjara 16 bulan – hukuman penjara paling lama dikenakan setakat ini.
Warga Cyprus, Wang Dehai, 35 tahun, yang mengaku bersalah atas satu pertuduhan pengubahan wang haram, telah bersetuju untuk melucut hak lebih $49 juta, atau sekitar 90 peratus daripada asetnya yang dirampas kepada pemerintah.
Lima lagi pertuduhan, termasuk tiga pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada pejabat Pengawal Pas Kerja, Kementerian Tenaga Manusia, telah diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa sejak 2012, Wang terlibat dalam perniagaan perjudian jarak jauh yang diharamkan, yang berpangkalan di Filipina dan menyasarkan petaruh di China.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Louis Ngia berkata Wang bermula sebagai kakitangan khidmat pelanggan, sebelum menjadi penganjur dengan mendapat 3 peratus pemilikan dalam perniagaan itu.
Pada 2016, Wang diberi 80 juta yuan China ($15 juta) untuk peranannya dalam perniagaan perjudian. Dia juga diberi HK$8 juta ($1.3 juta) pada 2022.
DPP berkata Wang berpindah ke Singapura pada 2018 kerana dia mahu tinggal di sini bersama isterinya dan mendidik anak-anaknya di sini.
Pertuduhan pengubahan wang haram ke atas Wang adalah berkaitan dengan pemilikan bagasi Rimowa perak yang mengandungi wang tunai lebih $2.2 juta.
Apabila dia ditangkap pada 15 Ogos 2023, Wang disoal siasat oleh polis mengenai kandungan bagasi.
Dia pada mulanya mendakwa bagasi itu milik isterinya, tetapi kemudian mengakui wang tunai itu miliknya apabila diarahkan membuka bagasi.
Dalam satu kenyataan kepada polis pada 18 Ogos 2023, Wang mendakwa wang itu datang daripada penjualan mata wang kripto, memenangi permainan mahjung dan diberi sebahagian dana daripada abang iparnya, Su Yongcan.
Waran tangkap dan Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol) telah dikeluarkan terhadap Su Yongcan, atas kesalahan pengubahan wang haram.
DPP Ngia berkata dalam kenyataan lain pada 25 Ogos 2023, Wang memberikan penerangan berbeza dan tidak konsisten, bahawa wang itu datang sepenuhnya daripada Su dalam bentuk pinjaman.
Meminta supaya Wang dipenjara 16 hingga 17 bulan, DPP Ngia berkata Wang telah melakukan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira $25 juta.
Peguam bela, Cik Megan Chia, memohon penjara 13 bulan untuk anak guamnya, dan berkata Wang dan isterinya datang ke Singapura untuk membesarkan tiga anak mereka dalam persekitaran yang baik.
Beliau berkata aset Wang yang dilucutkan haknya, termasuk rumah keluarganya – sebuah kondominium di Paterson Hill berhampiran Orchard Road.
Menurutnya, apabila Wang berpindah ke Singapura, dia tidak lagi terlibat dalam operasi perjudian dalam talian haram, walaupun dia masih menerima pembayaran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg