Perkongsian strategik Singapura dengan Arab Saudi diharap dapat mewujudkan hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih kukuh, meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara dan memacu kerjasama yang lebih mendalam merentasi pelbagai sektor, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.
Dr Maliki, dalam hantaran Facebook pada 15 Januari, berkata: “Perkongsian Strategik (SP) kami dengan Arab Saudi menandakan permulaan lembaran baru yang menarik dalam hubungan dua hala.
“Kami berharap ia akan mempermudahkan hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih erat, meningkatkan hubungan antara negara kita dan memacu kerjasama yang lebih mendalam merentasi pelbagai sektor antara lain.”
Beliau menyatakan demikian berikutan pertemuan makan tengah hari bersama Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan di pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 15 Januari.
Perkongsian tersebut turut meluas kepada sokongan bagi umat Islam Singapura dalam urusan haji.
Antara lain ialah persiapan Arab Saudi bagi memastikan jemaah haji Singapura dapat menunaikan ibadah haji dengan selamat pada 2025, tambah Dr Maliki yang mengetuai delegasi Singapura pada 2024.
“Singapura juga amat menghargai kesudian Kerajaan Arab Saudi dalam menyambut jemaah haji Singapura,” ujar beliau.
Dr Maliki turut meluahkan harapan “agar lebih ramai rakyat Islam Singapura dapat menunaikan Haji dalam masa akan datang.”
Tambahan, Singapura turut mendapat sokongan dari Arab Saudi untuk Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), yang dijangka menerima 60 pelajar pertamanya pada 2028.
“Kami mengalu-alukan nasihat dan sumbangan Setiausaha Agung Akademi Fiqh Antarabangsa, Dr Koutoub Moustapha Sano mengenai program pengajian Islam,” ujar Dr Maliki.
Pertemuan tersebut menekankan hubungan yang semakin erat antara Singapura dengan Arab Saudi dan Dr Maliki berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Putera Faisal serta rakan-rakannya bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara kededua negara itu.
Lawatan Putera Faisal ke Singapura, yang dihoskan Singapura, adalah untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Majlis Perkongsian Strategik Arab Saudi-Singapura di MFA pada 15 Januari.
Majlis Perkongsian Strategik akan menggantikan Jawatankuasa Bersama Saudi-Singapura (SSJC), yang sebelum ini dipengerusikan di peringkat menteri, dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng dan Menteri Pengangkutan dan Logistik Arab Saudi, Encik Saleh Nasser Al-Jasser.
Perkongsian strategik itu pertama kali diumumkan semasa lawatan mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, ke Arab Saudi pada Oktober 2023.
“
“Kami berharap ia akan mempermudahkan hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih erat, meningkatkan hubungan antara negara kita dan memacu kerjasama yang lebih mendalam merentasi pelbagai sektor antara lain.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg