Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan dolar S’pura yang tertinggi dalam sedekad dirasai pelbagai pihak

Kadar pertukaran cecah paras tertinggi pada 26 Ogos sejak 2014
Sep 5, 2024 | 5:10 PM
Menurut seorang ejen pelancongan mewah, pelanggannya lebih kerap keluar negara. Dengan nilai dolar lebih tinggi, mereka boleh “hidup seperti raja” di tempat seperti Bali, Indonesia atau Bangkok.
Menurut seorang ejen pelancongan mewah, pelanggannya lebih kerap keluar negara. Dengan nilai dolar lebih tinggi, mereka boleh “hidup seperti raja” di tempat seperti Bali, Indonesia atau Bangkok. - Foto ZAOBAO

Sudah lebih sedekad sejak kali terakhir dolar Singapura sekuat ini berbanding mata wang Amerika Syarikat, dan kesannya dirasai oleh semua orang – daripada pengimport dan pengeksport kepada pembeli dan pelancong.

Kadar pertukaran mencecah paras tertinggi sejak 2014 pada 26 Ogos, tidak lama selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan kepentingan mata wang yang kukuh sebagai perisai untuk membantu Singapura memerangi inflasi.

Dolar Singapura atau Singdollar hampir mencapai rekod berbanding rupiah Indonesia juga, dan tidak jauh daripada paras tertinggi berbanding yen.

Ejen pelancongan mewah, Cik Lauren Raps, pengasas bersama Alchemist Travel, berkata pelanggannya lebih kerap keluar negara – dan pantas membuat deposit untuk tempahan.

“Nilai dolar mereka lebih tinggi dan mereka boleh hidup seperti raja di tempat seperti Bali, Indonesia atau Bangkok,” katanya.

“Makan luar di sini boleh jadi agak mahal.”

Menyokong kemajuan mata wang itu kepada 1.30 setiap dolar Amerika ialah rejim dasar kewangan yang menggunakan kadar pertukaran, dan bukannya kos pinjaman, sebagai alat utamanya, lapor The Straits Times.

Kemerosotan ekonomi di China – rakan dagangan terbesar Singapura -– meningkatkan mata wang Singapura secara relatif.

Begitu juga dengan ketegangan perdagangan antara Beijing dengan Washington.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menarik perhatian kepada risiko kenaikan inflasi di negara ini – yang menjadikannya berfaedah untuk mengekalkan mata wang yang kukuh.

“Kekuatan dolar Singapura adalah tindakan mengimbangi,” kata ketua pegawai eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon.

Walaupun kekuatannya menghalang inflasi dan memberi manfaat kepada ekonomi, apabila ia terlalu kuat, ia “boleh mendatangkan kesan buruk kepada eksport kita”.

Walaupun Singdollar menghampiri paras tertinggi dalam sedekad, perbezaan sebenar dalam kadar pertukaran antara paras terendah ketika pandemik dengan kemuncaknya sekarang hanyalah 16 sen Singapura, memandangkan dasar mata wang Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang terus berdagang dalam julat.

Ini mungkin menjelaskan mengapa firma tempatan agak yakin tentang langkah itu.

Namun, tinjauan SBF terhadap 796 firma tempatan yang dijalankan pada Jun dan Julai mendapati syarikat logistik dan pengangkutan, bersama-sama bank dan penanggung insurans, adalah yang paling yakin dengan prospek itu.

Hotel dan restoran – sektor yang berkemungkinan merasai tekanan jika kemasukan pelancongan runtuh – adalah yang paling kurang yakin.

Mata wang yang kukuh juga menjadi masalah kerana eksport yang lemah boleh memberi tekanan ke atas pembuatan dan pekerjaan, kata Encik Rob Carnell, ketua ekonomi Asia Pasifik di ING Groep.

“Nilai dolar mereka (di Singapura) lebih tinggi dan mereka boleh hidup ‘seperti raja’ di tempat seperti Bali, Indonesia atau Bangkok. Makan luar di sini boleh jadi agak mahal.”
Cik Lauren Raps, pengasas bersama Alchemist Travel.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg