Kesatuan yang mewakili pekerja Agensi Teknologi Pemerintah Singapura (GovTech) telah dimaklumkan lebih awal tentang rancangan penyusunan semula lembaga berkanun tersebut, dan telah bekerja rapat dengan mereka untuk memberikan sokongan kepada pegawai yang terjejas.

Ini menurut Setiausaha Agung Gabungan Kesatuan Pekerja Badan Berkanun (Ausbe), Encik Gabriel Ng, dalam satu kenyataan pada 15 Julai, yang menambah bahawa dari awal lagi, keutamaan kesatuannya adalah untuk mengurangkan impak daripada penyusunan semula itu.

Pada 15 Julai, GovTech mengumumkan bahawa 93 pegawainya akan diberhentikan kerja dalam fasa pertama daripada tiga fasa dalam penyusunan semula yang akan dijalankan lembaga berkanun itu secara bertahap-tahap sepanjang dua tahun akan datang.

Encik Ng berkata Ausbe telah bekerja rapat dengan GovTech untuk mengenal pasti langkah alternatif kepada pemberhentian kerja, termasuk peluang latihan semula, perantisan dan penempatan semula.

“Ini mewujudkan laluan bermakna bagi para pegawai mempertingkatkan kemahiran dan beralih ke peranan yang menyokong hala tuju masa depan agensi itu, sekali gus membantu mengurangkan impak ke atas pegawai itu,” kata beliau.

Bagi pegawai yang diberhentikan pula, Ausbe juga berjaya merundingkan pakej sokongan dipertingkat yang melangkaui peruntukan dalam Perjanjian Kolektif.

“Ini memperkukuh pakej pemberhentian kerja secara keseluruhan untuk memberikan jaminan lebih besar kepada para pegawai tersebut sedang mereka merancang langkah-langkah seterusnya,” tambah Encik Ng.

Ausbe turut membantu pegawai terjejas meneroka peluang kerja dengan menghubungkan mereka kepada rangkaian gerakan pekerja, termasuk Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Encik Desmond Choo, dalam satu hantaran Facebook pula berkata kesatuan sekerja komited membantu setiap pekerja sama ada dalam sektor swasta mahupun awam, terutamanya semasa tempoh perubahan mendadak dan tidak menentu.

Beliau menambah bahawa tumpuan kesatuan sekerja adalah untuk membantu pekerja mencari pekerjaan dan memastikan mereka mempunyai peralihan yang adil dan saksama.

“Apabila majikan mendekati kesatuan dengan lebih awal, kami dapat menangani keprihatinan pekerja dengan lebih baik, mempersiapkan mereka dan menyediakan sokongan tepat pada masanya untuk mempermudahkan peralihan lebih lancar, dan membantu mereka mencari pekerjaan dengan sokongan e2i NTUC.

“Kepada semua karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) dan pegawai awam, saya menggalak anda supaya mendapatkan sumber NTUC dan kesatuan sekerja gabungan kami untuk menyokong perjalanan kerjaya anda,” kata beliau.