Lebih 2,000 kakitangan pengangkutan awam akan menerima hidangan kopi dan makanan ringan percuma di 12 lokasi berbeza dalam tempoh tiga minggu akan datang, disajikan daripada Coffee Bus milik Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU).
Konsep itu pertama kali diperkenalkan pada 1970-an bagi menyediakan makanan ringan dengan harga berpatutan kepada pemandu bas semasa waktu rehat antara syif mereka, sebelum digantikan dengan kantin sebenar yang dikendalikan oleh NTWU selepas ia ditubuhkan pada 1981.
Inisiatif Coffee Bus kini diperkenalkan semula sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat dan bakti pekerja pengangkutan awam di Singapura.
Ia juga dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60) dan Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), lapor The Straits Times (ST).
Bas awam yang telah diubah suai itu, dengan reka bentuk luaran yang menyerupai bas klasik era 1970-an, diperkenalkan pada 14 Mei semasa majlis pelancaran yang dihadiri oleh Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-undang), Encik Murali Pillai.
Bas itu turut menampilkan sebuah galeri kecil mengenai sejarah pengangkutan awam Singapura, termasuk tiket bas lama dan pakaian seragam pemandu yang dipakai sebelum ini.
Dalam tempoh tiga minggu akan datang, bas itu akan mengunjungi depoh bas dan kereta api serta pusat pertukaran bas yang paling sibuk – termasuk di kawasan seperti Punggol, Bukit Merah dan Tampines.
Sebahagian daripada lawatan itu akan dibuka kepada orang ramai bagi memberi mereka peluang mengetahui lebih lanjut tentang sumbangan pekerja pengangkutan awam kepada negara.
Setiausaha Eksekutif NTWU, Cik Yeo Wan Ling, 48 tahun, berkata:
“Idea yang kami ingin tanamkan ialah agar (masyarakat) tidak mengambil ringan peranan pekerja pengangkutan awam kita.”
Cik Yeo, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, berkata pelancaran Coffee Bus itu adalah sebagai tanda penghargaan kesatuan terhadap sumbangan pekerja pengangkutan awam, dan juga untuk menegaskan komitmen NTWU dalam memahami keperluan mereka.
Pasukan Petugas Tiga Pihak bagi Keselamatan Bas telah mengeluarkan usulan mereka pada Mac, yang dibangunkan bersama rakan tiga pihak termasuk NTWU.
Usulan itu, yang diterima oleh Pemerintah, merangkumi penambahbaikan kepada keadaan kerja kapten bas, memastikan masa perjalanan laluan baru bas tidak melebihi dua jam, serta peningkatan teknologi bagi meningkatkan keselamatan bas.
Laporan pasukan petugas itu merupakan hasil usaha selama beberapa bulan yang diketuai oleh Encik Pillai.
Dalam ucapannya semasa acara tersebut, beliau menekankan bagaimana peralihan daripada hubungan majikan-pekerja yang tegang pada era 1950-60an kepada sistem kerjasama tiga pihak pada hari ini telah memberi manfaat kepada semua melalui inisiatif seperti Coffee Bus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg