Pengendali bas SBS Transit, syarikat penerbangan nasional Singapore Airlines (SIA) dan pengendali pelabuhan PSA merupakan antara 17 syarikat pengangkutan utama yang dikenakan pengawasan lebih ketat di bawah undang-undang yang berkuat kuasa pada 1 April.
Akta Sektor Pengangkutan (Firma Kritikal) memberi lebih kawalan kepada pemerintah ke atas syarikat utama dalam sektor pengangkutan udara, darat dan laut sebagai perlindungan daripada gangguan besar terhadap perkhidmatan pengangkutan penting.
Senarai entiti yang ditetapkan diterbitkan dalam warta pemerintah pada 1 April, lapor The Straits Times (ST).
Terdapat dua kategori entiti yang ditetapkan: Syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan penting di Singapura, dan syarikat yang memiliki kepentingan dalam syarikat pengangkutan utama, memberi mereka kawalan atau pengaruh terhadap perkhidmatan tersebut.
Syarikat pengangkutan SMRT Corporation dan pengendali pelabuhan PSA International disenaraikan sebagai pemegang kepentingan ekuiti yang ditetapkan.
Bagi syarikat operasi yang ditetapkan, lima daripada mereka adalah daripada sektor pengangkutan darat.
Ia termasuk pengendali kereta api SBS Transit Rail, SMRT Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan SMRT Trains, serta syarikat bas SBS Transit dan SMRT Buses.
Dalam sektor pengangkutan udara, sembilan syarikat ditetapkan.
Antara syarikat yang ditetapkan dalam pengangkutan udara termasuk Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), SIA dan Scoot, Sats serta anak syarikatnya, SIA Engineering Company dan Changi Airport Fuel Hydrant Installation.
PSA Corporation, PSA Marine dan Jurong Port adalah entiti operasi yang ditetapkan dalam industri pengangkutan laut.
Penetapan syarikat itu akan berkuat kuasa pada 15 April.
Undang-undang baru memberi kuasa kepada Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) mengawal syarikat tersebut.
Entiti yang ditetapkan perlu memaklumkan pihak berkuasa dan mendapatkan kelulusan berhubung perubahan besar dalam pemilikan dan kepimpinan, termasuk pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO), pengerusi dan lembaga pengarah.
Ia juga perlu melaporkan sebarang kejadian yang boleh menjejas penyediaan perkhidmatan pengangkutan penting.
Undang-undang itu juga memberi kuasa kepada menteri pengangkutan untuk campur tangan dalam kes ekstrem apabila perkhidmatan pengangkutan penting tidak dapat diteruskan dengan selamat.
PSA Corporation, PSA Marine, dan Jurong Port adalah entiti operasi yang ditetapkan dalam industri pengangkutan laut.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata kuasa campur tangan hanya akan digunakan sebagai langkah terakhir, selepas pihak berkuasa berbincang dengan syarikat terjejas.
Jika digunakan, menteri akan melantik individu yang cekap bagi menguruskan entiti tersebut.
Akta Sektor Pengangkutan (Firma Kritikal), yang diluluskan pada Mei 2024, melengkapkan Akta Semakan Pelaburan Signifikan untuk menyaring pelaburan dalam entiti penting untuk keselamatan negara.
Akta itu dijangka berkuat kuasa pada separuh kedua 2024, dan senarai entiti yang ditetapkan akan disediakan menjelang akhir tahun.
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata lebih banyak masa diperlukan bagi menyediakan perundangan subsidiari bagi menguatkuasakan akta tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg