Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesatuan sekerja di S’pura bebas bersuara meski hubungan simbiotik PAP-NTUC

Kerjasama kukuh antara kesatuan, majikan dengan pemerintah bolehkan PAP dan NTUC tingkat kehidupan pekerja
Sep 10, 2024 | 6:57 PM
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon. - Foto MDDI

Kesatuan sekerja di Singapura bebas mengutarakan keprihatinan dan memperjuangkan hak serta kebajikan pekerja, meskipun Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkongsi hubungan simbiotik, kata para Anggota Parlimen (AP) parti pemerintah itu di Parlimen pada 10 September.

Hubungan simbiotik antara NTUC dengan parti pemerintah itu tidak bersifat ‘atasan-bawahan’, dengan kerjasama kukuh antara kesatuan, majikan dengan pemerintah yang wujud di Singapura hari ini telah membolehkan PAP dan NTUC bekerjasama untuk meningkatkan kehidupan pekerja, tambah mereka.

Ini termasuk dalam mempertingkat perlindungan untuk pekerja platform dan menyokong mereka yang hilang pekerjaan tanpa pilihan.

Hujahan berhubung hubungan rapat PAP dengan NTUC – satu isu yang ditimbulkan AP Parti Pekerja (WP), Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) – berterusan pada hari kedua perbahasan Rang Undang-Undang Pekerja Platform di Parlimen pada 10 September.

Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, dalam ucapan penutup rang tersebut di Parlimen pada 10 September, berkata hubungan rapat antara kesatuan dengan parti politik adalah “perkara biasa” di semua negara demokrasi yang berfungsi, biasanya dengan kesatuan membentuk parti politiknya sendiri, atau membiayai atau menyokong parti.

“Kerjasama tiga pihak menyokong keharmonian industri dan kejayaan ekonomi Singapura. Negara lain cuba mencontohi kita.

“Namun, mereka tidak boleh, kerana tidak seperti kita, mereka tidak mempunyai hubungan simbiotik antara kesatuan dengan parti pemerintah, dan mereka tidak ada kerjasama tiga pihak yang kita ada.

“Kerjasama tiga pihak yang kita ada di Singapura hari ini, yang mana banyak negara mahu mencontohinya, wujud hanya kerana hubungan rapat dan sikap saling menghormati antara PAP dengan NTUC. Hapuskan ini dan semuanya hancur,” kata beliau.

Dr Koh menambah bahawa apa yang jelas sekarang adalah WP akan berusaha menghapuskan hubungan simbiotik antara NTUC dengan parti pemerintah.

Serangan WP ke atas hubungan simbiotik itu dan kata-kata Encik Giam, yang berhujah bahawa kesatuan perlu bebas dan tidak berpihak, pada hakikatnya menyatakan WP tidak akan menyelaraskan partinya dengan mana-mana kesatuan atau membentuk hubungan dengan mereka, tambah Dr Koh.

“Semua pekerja dan majikan perlu beri perhatian kerana kepimpinan WP mahu menghapuskan kerjasama tiga pihak yang kita kenali hari ini.

“WP akan membunuh kerjasama tiga pihak, dan yang akan menggantikannya adalah bentuk hubungan dan sistem yang lebih bertikai yang kita lihat berlaku di tempat lain,” kata beliau.

Dr Koh turut menyifatkan Encik Giam dan WP sebagai “jahil” kerana tidak tahu bahawa parti mereka sendiri bermula sebagai sebuah parti ahli kesatuan, dengan jawatankuasa eksekutif pengasas parti itu merangkumi 20 ahli kesatuan sekerja dan 10 ahli bukan kesatuan apabila pengasasnya, mendiang David Marshall, memulakan parti itu pada 1957.

“Jelas, WP bukan lagi parti propekerja,” terang beliau lagi.

Membalas, kedua-dua Encik Giam dan ketua partinya, Encik Pritam Singh, menolak komen Dr Koh mengenai WP itu.

Encik Giam berkata apa yang disarankan adalah pembaharuan “untuk membebaskan NTUC daripada PAP” agar kesatuan dapat menjadi pejuang dan suara bebas untuk hak pekerja di Singapura.

Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan, yang juga Timbalan Setiausaha Agung NTUC, tampil menjelaskan bahawa hubungan simbiotik antara PAP dengan NTUC adalah hubungan kerjasama yang saksama dan bukan bersifat ‘atasan-bawahan’.

Encik Tan menambah bahawa parti pemerintah tidak akan memutuskan hubungan simbiotik itu hanya kerana Encik Giam “mempunyai rangka kerja teori yang menyarankan bahawa adalah lebih baik bagi kesatuan bebas daripada parti pemerintah”.

Beliau juga memberi contoh bagaimana NTUC telah memperjuangkan pelbagai dasar, dengan ada yang tidak diterima pemerintah walaupun selepas bertahun-tahun lamanya, atau tidak diterima pemerintah pada awalnya.

Ini seperti Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture, yang menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang menganggur tanpa pilihan.

Encik Pritam kemudian bangkit dan mengajukan soalan kepada Dr Koh tentang sama ada beliau boleh memberi contoh di mana seorang pemimpin NTUC telah bersuara menentang pemimpin pasukan 3G atau 4G PAP untuk memperjuangkan hak pekerja.

“Apabila wakil NTUC mengucapkan ‘Majulah PAP’, saya rasa orang ramai berhak bertanya sama ada anda mewakili parti dahulu, atau adakah anda mewakili pekerja dahulu?” soal beliau.

Membalas, Dr Koh berkata hakikat bahawa para AP membahaskan rang undang-undang bagi perlindungan pekerja platform itu merupakan satu perkara baik yang menunjukkan bagaimana hubungan tiga pihak antara kesatuan, majikan dengan pemerintah telah membolehkan rang itu menjadi satu kenyataan hari ini.

“Hanya kerana WP telah lama hilang hubungan dengan kesatuan sekerja, tidak bermakna... ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan simbiotik ini,” kata beliau.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, kemudian bangkit memberi pandangannya bahawa isu yang ingin ditekankan adalah sifat hubungan NTUC dengan parti pemerintah yang melebihi apa yang dilihat di dunia hari ini, sambil bertanya apakah ada kesatuan sekerja lain di dunia di mana ketuanya seorang menteri.

Memberi respons, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata ketiadaan konfrontasi terbuka antara kesatuan dengan pemerintah tidak bererti kesatuan adalah lemah.

Sebaliknya, beliau berkata ia menunjukkan “kuasa kerjasama positif dalam menyampaikan hasil tanpa gangguan”.

“Saya harap anda tidak menilai NTUC atau SNEF berdasarkan apa yang anda fikirkan harus menjadi hubungan antara kesatuan, majikan dengan pemerintah, tetapi lihatlah pada rekod, lihat pada hasil positif yang telah dibawa kerjasama tiga pihak untuk Singapura selama berdekad lalu,” kata beliau.

“Kerjasama tiga pihak yang kita ada di Singapura hari ini, yang mana banyak negara mahu mencontohinya, wujud hanya kerana hubungan rapat dan sikap saling menghormati antara PAP dengan NTUC. Hapuskan ini dan semuanya hancur.” 
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg