Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keselamatan faktor utama bagi S’pura bina upaya tenaga nuklear masa depan

Tidak seperti bahan api fosil, tenaga nuklear bagi hasilkan elektrik tidak lepaskan karbon dioksida berbahaya dan hangatkan bumi
Aug 2, 2025 | 5:30 AM
S’pura, tenaga nuklear, keselamatan
Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura (SNRSI) dibuka pada 11 Julai dengan matlamat melatih 100 pakar teknologi nuklear menjelang 2030. - Foto ST

Sama ada Singapura mampu membina loji nuklear yang tidak membahayakan penduduk di pulau kecil ini hangat diperbincangkan baru-baru ini.

Ini selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan semasa ucapan Belanjawannya pada Februari bahawa Singapura sedang mengkaji potensi penggunaan tenaga nuklear di sini.

Sehingga kini, Singapura masih belum membuat keputusan sama ada untuk menerima pakai tenaga nuklear atau membina loji nuklear di Republik ini.

Pada masa ini, Singapura bergantung kepada gas asli, iaitu bahan api fosil, untuk kira-kira 95 peratus daripada keperluan tenaganya.

Dibandingkan dengan membakar bahan api untuk menjana elektrik, tenaga nuklear sumber tenaga alternatif yang lebih bersih dan mampan.

Tetapi tidak seperti bahan api fosil, menggunakan tenaga nuklear untuk menghasilkan elektrik tidak melepaskan karbon dioksida yang berbahaya dan menghangatkan bumi.

Minat negara sejagat terhadap tenaga nuklear juga telah meningkat, sedang mereka beralih kepada teknologi nuklear untuk menangani kebimbangan mengenai jaminan bekalan tenaga dan jejak karbon sektor kuasa.

Sehingga kini, lima negara Asean – Vietnam, Indonesia, Filipina, Malaysia dan Thailand – telah melahirkan hasrat untuk mengkaji kemungkinan teknologi nuklear termaju bagi memenuhi keperluan tenaga mereka, atau mereka sudah mempunyai rancangan membina reaktor baru dalam dekad akan datang.

Jepun juga sedang membina reaktor nuklear pertama sejak krisis nuklear melanda Fukushima.

Bimbang kejadian lama

Kekhuatiran tentang keselamatan tenaga nuklear dijangka dan ia boleh difahami berlatarbelakangkan kejadian membimbangkan melibatkan loji nuklear yang pernah berlaku sebelum ini.

Sebagai contoh, pada 1986, loji kuasa nuklear Chernobyl di Ukraine meletup disebabkan reka bentuk reaktor yang tidak dibina dengan betul dan amalan operasi yang tidak selamat – sekali gus melepaskan sejumlah besar bahan radioaktif ke bumi dan atmosfera.

Jumlah keseluruhan manusia yang terkesan akibat malapetaka itu masih belum diketahui, namun pakar percaya beribu-ribu orang mati dan seramai 70,000 lagi mengalami keracunan yang dahsyat.

Pada 2011, loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Jepun pula runtuh susulan gempa bumi dan tsunami yang kuat.

Walaupun tiada yang maut akibat keruntuhan loji itu, 470,000 penduduk terpaksa dipindahkan dari kawasan tersebut.

Kejadian di Fukushima itu mengubah dasar nuklear di seluruh dunia, dengan negara seperti Jerman memilih menghapuskan tenaga nuklear secara berperingkat.

Kajian yang dijalankan pemerintah Singapura pada 2012 menunjukkan bahawa teknologi nuklear pada masa itu tidak sesuai untuk digunakan di negara kecil ini.

Walau bagaimanapun, teknologi dan daya tahap keselamatan nuklear telah berkembang sejak itu dengan adanya reaktor lebih kecil dan selamat yang mungkin boleh digunakan di Singapura.

Bina loji nuklear yang selamat

Semasa lawatannya ke Singapura pada 25 Julai, Ketua Pengarah, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Grossi, berkata jika Singapura memutuskan untuk meneroka tenaga nuklear, reaktor modular kecil adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan.

Ini tidak seperti loji nuklear konvensional yang besar, kerap memerlukan zon penampan bersaiz besar, dan lebih luas dari radius Singapura.

Sebagai alternatif juga, Encik Grossi, menambah bahawa Singapura boleh membangunkan loji nuklear dengan kerjasama negara lain di Asean.

“Adalah baik bagi Singapura untuk meneroka tenaga nuklear, dan tanggapan peribadi saya ialah dalam beberapa tahun, anda akan melihat loji tenaga nuklear pertama anda... dan mungkin hasil gabungan atau kerjasama dengan jiran Asean anda,” kata Encik Grossi.

Beliau menukil contoh loji nuklear usaha sama yang berjaya antara Slovenia dengan Croatia, yang dibina di Slovenia.

Loji kuasa Krsko, sebuah reaktor tradisional, menyediakan satu perempat daripada keperluan elektrik Slovenia dan 16 peratus daripada keperluan elektrik Croatia.

Reaktor modular kecil (SMR) dianggap lebih sesuai untuk Singapura yang kekurangan tanah dan padat penduduk kerana ia mempunyai kapasiti tenaga lebih rendah, piawaian keselamatan yang dipertingkat dan memerlukan zon penampan yang jauh lebih kecil, berbanding dengan reaktor konvensional.

Bagi reaktor nuklear konvensional, ia biasanya memerlukan zon penampan sekurang-kurangnya seluas 80 kilometer untuk melindungi sekitaran daripada sebarang pencemaran bekalan air, tanaman makanan dan ternakan.

Bagi SMR pula, penyelidikan yang masih dijalankan menunjukkan kemungkinan ia hanya memerlukan sekurang-kurangnya radius seluas satu kilometer sahaja.

Jika dibandingkan, saiz Singapura hanya kira-kira 49 kilometer dari timur ke barat dan 28 kilometer dari utara ke selatan, justeru reaktor nuklear konvensional tidak sesuai untuk pulau kecil ini.

Mengenai risiko menggunakan tenaga nuklear di negara kecil, Encik Grossi berkata sudah ada protokol yang disediakan di sini untuk memantau tahap radioaktiviti, dan prosedur tentang perkara yang perlu dilakukan jika berlaku kemalangan.

Di Singapura, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menggunakan beberapa set alat untuk menjejak tahap sinaran ambien atau persekitaran termasuk sekitar 40 stesen pemantauan sinaran bagi udara dan air di seluruh negara.

NEA turut bekerjasama dengan negara lain di rantau ini untuk menyediakan rangkaian amaran awal Asia Tenggara, dengan alat penderia digunakan di seluruh negara dan data dikongsi sekiranya berlaku kecemasan.

“Tiada negara boleh memulakan program nuklear tanpa mempunyai prasyarat keselamatan nuklear yang sangat ketat,” katanya.

Tumpu bina upaya negara

Sementara itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, berkata pada 21 Julai bahawa Singapura masih perlu membina keupayaannya dalam tenaga nuklear dan memperoleh kepakaran teknikal demi memastikan keselamatannya.

“Jiran kita, Filipina, Indonesia, telah memberi isyarat secara terbuka bahawa mereka berhasrat membina loji nuklear.

“Jadi, tidak kira sama ada kita telah membuat keputusan, jiran kita telah membuat keputusan itu,” ujar Dr Tan, yang juga Menteri Tenaga Manusia.

Beliau menambah bahawa sementara Singapura terus menilai daya maju tenaga nuklear untuk penggunaan negara, bakat tempatan perlu dilatih supaya mereka boleh menentukan sama ada teknologi nuklear termaju adalah selamat dan sesuai untuk negara kecil ini apabila ia sudah dikeluarkan ke pasaran.

Singapura, buat masa ini, sedang mengorak langkah membina keupayaan dalam bidang nuklear.

Pada 11 Julai, Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura (SNRSI) telah dibuka dengan matlamat melatih 100 pakar nuklear menjelang 2030, meningkat daripada 50 hari ini.

Ini susulan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MOU) Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) dengan IAEA pada 25 Julai.

Di bawah perjanjian itu, Singapura akan membangunkan program latihan dengan badan pemantau nuklear Pertubunan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu untuk menyokong pembangunan negara anggota IAEA dengan program ‘fellowship’, lawatan saintifik dan kursus latihan.

Awal dari itu, pada Mei 2025, Singapura dan Perancis menandatangani perjanjian mengenai tenaga nuklear bagi memudahkan antara lain, kerjasama mengenai keselamatan, pembangunan tenaga kerja, penyelidikan, perlindungan alam sekitar, perlindungan kesihatan awam, serta kesediaan dan tindak balas kecemasan.

Ini menambah kepada perjanjian dua hala yang dimeterai antara Singapura dengan Amerika Syarikat sejak Julai 2024, menerusi Perjanjian 123, yang antara lain membolehkan Singapura mempelajari lebih lanjut mengenai teknologi nuklear dan penyelidikan saintifik daripada badan-badan dari Amerika.

Sebagai contoh, institut penyelidikan tempatan boleh bekerjasama dengan makmal kebangsaan Amerika dan syarikat teknologi untuk melaksanakan simulasi keselamatan dan pemodelan SMR.

Mengulas tentang perjanjian tersebut, Dr Tan berkata antara lain, ia membolehkan Singapura mengetahui lebih lanjut mengenai kelulusan kawal selia, protokol keselamatan, operasi dan reka bentuk kejuruteraan.

Mengenai sama ada Singapura akhirnya mengguna pakai tenaga nuklear, Dr Tan memberi jaminan bahawa memastikan keselamatan teknologi nuklear adalah “faktor paling penting” bagi pemerintah sebelum ia membuat sebarang keputusan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg