Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, IAEA perbaharui perjanjian bina upaya teknologi nuklear

Perjanjian benarkan S’pura sokong negara anggota IAEA dalam bidang seperti kesihatan manusia
Jul 25, 2025 | 6:00 PM
memorandum persafahaman (mou), tenaga atom antarabangsa
Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Mariano Grossi (kanan), mengadakan lawatan sehari ke Singapura pada 25 Julai untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) dan turut bertemu Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong di Istana. - Foto MDDI

Singapura telah memperbaharui Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 25 Julai untuk membenarkan Singapura meneruskan usaha membangun program latihan dan membina keupayaan dalam teknologi nuklear.

Perjanjian Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) itu akan membenarkan Singapura membina keupayaan menyokong pembangunan negara anggota IAEA, antara lain, dalam bidang kesihatan manusia, radiografi industri, pemantauan dan analisis serta radioaktiviti alam sekitar.

MOU itu ditandatangani Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu dan Ketua Pengarah IAEA Encik Rafael Mariano Grossi, pada 25 Julai, di Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura (SNRSI) di Universiti Nasional Singapura (NUS).

“Singapura sangat menyokong tumpuan IAEA membina keupayaan dalam masyarakat antarabangsa untuk aplikasi teknologi nuklear yang selamat, terjamin dan aman.

“Sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab, Singapura mengambil bahagian secara aktif dalam kerja IAEA untuk mempromosi dan menegakkan piawaian keselamatan dan perlindungan nuklear yang tinggi, di peringkat serantau serta sejagat,” kata Cik Fu.

IAEA ditubuhkan pada 1957 merupakan forum bagi negara membina kerjasama saintifik dan teknikal dalam bidang nuklear.

Ia bekerjasama dengan negara anggotanya dalam penggunaan sains dan teknologi nuklear yang selamat, terjamin dan aman; serta menyumbang kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Antara peranan utama yang dimainkan oleh IAEA ialah untuk memajukan aplikasi luas sains dan teknologi nuklear untuk tujuan damai, seperti dalam bidang kesihatan, alam sekitar, air, makanan, pertanian dan industri.

Encik Grossi telah mengadakan lawatan sehari ke Singapura pada 25 Julai.

Terdahulu pada hari itu, Encik Grossi turut bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Istana.

Beliau turut menyampaikan ceramah dengan SNRSI yang baru dilancarkan di NUS bertindak sebagai tuan rumah.

Beliau turut melawat Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan meninjau kemudahan institut itu.

Semasa menemui media, Encik Grossi berkata Singapura berada dalam kedudukan yang baik untuk menerima pakai teknologi itu jika ia sudah bersedia untuk membina loji nuklear di sini.

Beliau berkata Singapura mempunyai kapasiti teknologi dan keupayaan kewangan untuk membina loji nuklear atau meneroka teknologi nuklear.

Sehingga kini, Singapura belum membuat keputusan untuk menjadi negara nuklear.

Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 25 Julai, berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen berterusan Singapura untuk memperdalam kerjasama bermakna dan teguh dengan IAEA.

Di bawah MOU sebelum ini, lebih 140 peserta dari 27 negara telah dilatih melalui 17 program ‘fellowship’ dan tujuh program pembinaan keupayaan.

Ini termasuk bengkel dan program persahabatan jangka panjang, meliputi topik seperti perubatan nuklear, undang-undang nuklear, keselamatan makanan dan kawalan perosak.

Sejak 2000, Singapura telah bekerjasama dengan IAEA untuk menyediakan bantuan teknikal kepada negara membangun dalam bidang seperti perubatan nuklear, radioterapi, kesediaan kecemasan, pendidikan awam dan keselamatan makanan.

Di bawah program itu, sebagai contoh, Singapura telah menganjurkan bengkel serantau mengenai topik seperti undang-undang nuklear, radiasi untuk mensterilkan nyamuk jantan untuk mengawal jumlah nyamuk, dan cara berkomunikasi dengan orang ramai dalam kecemasan nuklear atau radiologi.

Hospital Besar Singapura (SGH) dan IAEA juga telah mengadakan bengkel mengenai teknik perubatan nuklear untuk demensia pada 2017, menurut dokumen Asean.

Sejak menjadi negara anggota IAEA pada 1967, Singapura telah menjadi peserta aktif dalam misi IAEA untuk mempromosikan teknologi nuklear yang selamat, terjamin dan aman.

Singapura juga telah berkhidmat lima penggal dalam lembaga gabenor IAEA, dengan penggal baru-baru ini antara 2022 dengan 2024.

Singapura juga telah menerima sokongan dalam pembangunan keupayaan nuklear melalui Program Kerjasama Teknikal PBB dalam bidang seperti kesihatan manusia, radioterapi, kesediaan kecemasan dan pemantauan radioaktiviti dalam alam sekitar.

Lebih 300 pakar Singapura telah dilatih dalam perubatan radiasi, kesihatan dan keselamatan melalui IAEA.

Walaupun Singapura belum membuat keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear, ia mengambil bahagian secara aktif dalam program latihan dan perbincangan IAEA untuk mengikuti perkembangan terkini tenaga nuklear.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg