Salah satu cabaran utama bagi badan kemanusiaan semasa menjalankan operasi bagi penduduk terjejas oleh krisis di Gaza adalah berkaitan keselamatan petugas, demikian dinyatakan Penolong Ketua Hal Ehwal Antarabangsa di Palang Merah Singapura (SRC), Cik Nur Hafiza AB.

Namun di sebalik cabaran itu, beliau yakin rangkaian SG Untuk Kemanusiaan yang baru dilancarkan pada 5 November mampu menjadi wadah penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan petugas kemanusiaan, di samping memperkukuh aspek operasi kemanusiaan yang lain.

SRC, bersama Humanity Matters, Mercy Relief dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), menyambut baik pelancaran rangkaian SG Untuk Kemanusiaan, yang menggabungkan pihak pemerintah, badan kemanusiaan mapan serta masyarakat luas demi memperkukuh usaha bantuan kemanusiaan buat mereka yang terjejas akibat krisis kemanusiaan di Gaza.

Kesemua wakil badan bukan pemerintah (NGO) tersebut yakin rangkaian tersebut merupakan wadah baik untuk menggembleng kepakaran masing-masing, demi mengukuhkan penyampaian bantuan kemanusiaan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di majlis pelancaran SG Untuk Kemanusiaan di pejabat Humanity Matters yang terletak di Geylang, Cik Nur Hafiza berkata:

“Menerusi rangkaian ini, kami dapat berkongsi amalan terbaik masing-masing dan menggabungkan kekuatan, kepakaran dan fokus masing-masing supaya kami dapat kenal pasti ruang untuk bekerjasama dan menggembleng sumber masing-masing.”

Isu keselamatan petugas di sekitar Gaza turut disentuh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, ketika ditemui media di majlis pelancaran tersebut.

Beliau berkata operasi NGO kadangkala terjejas oleh keadaan keselamatan yang rumit, seperti di Mesir dan Jordan.

Selain sekatan di sempadan Gaza, NGO perlu mengemudi keadaan mencabar di rantau Timur Tengah.

Dalam aspek ini, Encik Zaqy berkata pemerintah boleh membantu NGO dengan memantau tahap keselamatan sebelum melancarkan operasi, di samping berkongsi maklumat perisikan serta situasi semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, di majlis pelancaran SG Untuk Kemanusiaan di pejabat Humanity Matters pada 5 November.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, di majlis pelancaran SG Untuk Kemanusiaan di pejabat Humanity Matters pada 5 November. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sentimen ini juga dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, yang berkata kerjasama bersama rakan kongsi berwibawa, seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) dan sepertinya amat penting untuk memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang diperlukan.

Selain aspek keselamatan, pemerintah juga akan memainkan peranan dalam memudahkan kerjasama dengan rakan antarabangsa yang mapan serta memenuhi keperluan peraturan.

Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata:

“Cabaran bagi pihak NGO adalah untuk tahu selok-belok, latar belakang undang-undang di tempat dan negara mereka lakukan kegiatan mereka.

Beliau menambah, pemerintah ingin membantu NGO bekerjasama dengan lebih rapat bersama negara dan agensi antarabangsa, seperti di Mesir dan Jordan, supaya mereka dapat mendapat bantuan daripada badan bertauliah, supaya semua derma dapat diagihkan secara telus.

Penasihat Khas (Kemanusiaan) Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, berkata sokongan sedemikian daripada pemerintah mampu meningkatkan kebolehpercayaan NGO Singapura apabila berurusan dengan pihak berkuasa luar negara.

Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, di majlis pelancaran SG Untuk Kemanusiaan di pejabat Humanity Matters pada 5 November.
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, di majlis pelancaran SG Untuk Kemanusiaan di pejabat Humanity Matters pada 5 November. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Penasihat Khas (Kemanusiaan) Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, di majlis pelancaran SG Untuk Kemanusiaan di pejabat Humanity Matters pada 5 November.
Penasihat Khas (Kemanusiaan) Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, di majlis pelancaran SG Untuk Kemanusiaan di pejabat Humanity Matters pada 5 November. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut Encik Zhulkarnain, SG Untuk Kemanusiaan boleh menjadi wadah untuk melibatkan warga Singapura yang menetap dan bekerja di rantau itu supaya mereka tidak terlepas peluang untuk membantu, tidak kira bangsa atau agama.

Ini termasuk mencurahkan kepakaran, pengalaman dan usaha.

Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Baey Yam Keng, pula berharap inisiatif SG Untuk Kemanusiaan dapat memperluaskan misi kemanusiaan tersebut kepada lebih ramai rakyat Singapura.

Beliau menarik perhatian kepada keprihatinan rakyat, tanpa mengira kaum mahupun agama, yang tampil menghulurkan bantuan setakat ini.

Malah, Encik Baey yakin inisiatif seluruh negara itu mampu memanfaatkan pengetahuan, kepakaran dan rangkaian rakan kongsi sedia ada demi mendorong lebih ramai warga Singapura untuk turut menyumbang

Dalam pada itu, pihak NGO akan terus merancang pelbagai wadah untuk rakyat Singapura mencurahkan masa dan tenaga menerusi kegiatan sukarela.

RLAF merancang melaksanakan kempen pengumpulan dana bagi tempoh lebih panjang berbanding kempen terdahulu, selain memperluas kerjasama dengan badan setempat.

Ini termasuk kerjasama dengan M Kuasa Tiga Plus (M3+), badan India/Islam dan selainnya.

RLAF juga sedang bekerjasama dengan NGO dalam SG Untuk Kemanusiaan untuk melancarkan kempen Ramadan dan pengagihan daging korban.

Dalam pada itu, pihak SRC dan Mercy Relief kini merangka bantuan buat penduduk Gaza yang terjejas dan mereka yang kehilangan tempat tinggal bagi menghadapi musim sejuk akan datang.

Mercy Relief juga akan memberi tumpuan kepada pemulihan akses kepada air bersih.

Ketua Eksekutif Mercy Relief, Encik Leon Yip, di majlis pelancaran SG Untuk Kemanusiaan di pejabat Humanity Matters pada 5 November.
Ketua Eksekutif Mercy Relief, Encik Leon Yip, di majlis pelancaran SG Untuk Kemanusiaan di pejabat Humanity Matters pada 5 November. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi Humanity Matters, salah satu usaha yang akan diteruskan ialah program latihan untuk sukarelawan yang ingin menyertai bantuan kemanusiaan di luar negara.

Ini supaya mereka dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran untuk mengemudi dan memahami selok-belok ketika terlibat dalam tugas merentas sempadan.

Buat masa ini, SG Untuk Kemanusiaan akan bermula dengan menggabungkan usaha empat NGO tersebut.

Malah, Encik Zaqy berkata rangkaian itu boleh diperluaskan untuk merangkumi lebih banyak rakan kerjasama pada masa depan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti