Sebanyak 4,323 ekor ternakan, termasuk 2,707 kambing, 1,547 kambing biri-biri, dan 69 lembu (bersamaan dengan 484 bahagian lembu), telah dijual menerusi inisiatif SalamSG Korban (SSGK) 2024.
Dalam satu kenyataan pada 11 Jun, SalamSG melaporkan bahawa tempahan untuk ternakan korban melalui portal OurMasjid.SG telah ditutup secara rasmi pada 10 Jun.
Pada 2024, sejumlah 52 masjid setempat di bawah usaha SalamSG Korban akan menawarkan perkhidmatan korban luar negara sempena Hari Raya Aidiladha, yang dijadual jatuh pada 17 Jun.
Kambing biri-biri dan lembu merupakan tawaran baru SalamSG Korban sejak ia diperkenalkan pada 2022.
Menurut SalamSG, ini mencerminkan sokongan masyarakat terhadap masjid yang menyediakan perkhidmatan korban di tengah-tengah landskap korban baru dengan pelbagai pilihan tersedia, termasuk korban di luar negara yang ditawarkan oleh organisasi lain serta entiti swasta.
Kesemua ternakan korban yang ditempah melalui SalamSG Korban akan disembelih di Australia pada Hari Raya Haji atau sewaktu Hari Tasyrik (10 hingga 13 Zulhijah).
Daging korban akan dibekukan sebelum diterbangkan ke Singapura dan diedarkan kepada sohibul korban, yakni individu yang melakukan ibadah korban.
Rakan kongsi yang diluluskan juga telah dilantik oleh SSGK untuk memastikan ibadah korban mematuhi amalan agama dan keperluan peraturan yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.
Dalam pada itu, sepasukan pegawai dari SSGK juga akan berada di semua tempat penyembelihan di Australia sebagai pemerhati untuk menyaksikan proses ibadah korban di luar negara.
“Ini bertujuan memastikan semua pihak mematuhi kewajipan agama dan kontrak korban.
“Ini termasuk memastikan korban dilakukan pada Hari Raya Haji atau Hari Tasyrik dan ibadah korban dilakukan mengikut garis panduan Islam (seperti berat ternakan yang boleh diterima, keadaan bersih dan kesesuaian),” kata SalamSG.
Pengerusi SSGK 2024, Encik Mohd Khalid Mohd Lani, merakamkan rasa syukur atas kepercayaan masyarakat melaksanakan korban di luar negara bersama SalamSG Korban.
“Melalui SalamSG Korban, ibadah korban anda bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima Zakat tempatan dan golongan yang kurang mendapat manfaat, malah menyokong usaha mengumpul dana masjid kita,” kata beliau.
Encik Mohd Khalid menambah bahawa lawatan wakil SalamSG ke tempat penyembelihan luar negara, yang dilakukan bagi pihak masjid yang mengambil bahagian, “memberi jaminan kepada sohibul korban mengenai kualiti daging korban dan pematuhan kepada piawaian halal dan kewajipan agama yang hampir sama dengan proses yang dijalankan di Singapura.”
Bagi membantu memastikan pengalaman ibadah korban yang lancar, sohibul korban akan dimaklumkan oleh rakan kongsi yang diluluskan sebaik sahaja ternakan korban mereka telah disembelih.
Ini membolehkan peserta melakukan ibadah sunah seperti menggunting rambut dan kuku, jika mereka memilih untuk melakukannya.
Berikutan itu, rakan kongsi bertauliah akan menguruskan penghantaran daging korban selepas Hari Tasyrik.
Penghantaran dijangka mengambil masa sekitar tiga hari bekerja dan mungkin berterusan sehingga dua minggu, bergantung pada jadual.
Sebagai sebahagian daripada misi teras SalamSG untuk menyebarkan kebaikan kepada masyarakat luas, semua daging korban yang didermakan oleh sohibul korban akan dikongsi dengan golongan masyarakat yang memerlukan seperti penerima zakat, keluarga individu yang dipenjarakan dan pekerja migran sementara.
SSGK akan bekerjasama rapat dengan masjid dan rakan kongsi yang berkaitan untuk merancang inisiatif pengedaran daging secara tentatif dari 21 Jun hingga 6 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg