Seandainya ada yang menyoal tentang kesahihan melaksanakan ibadah korban di luar negara, mantan pengerusi SalamSG Korban (SSGK), Ustaz Khairul Anwar Mohd Aznan, menjelaskan:
“Sama ada penyembelihan berlaku di setempat atau di luar negara oleh wakil, ia tidak mempengaruhi kesahihannya atau mengurangkan pahala dan keberkatan ibadah korban kerana ini bukan syarat korban.
“Yang penting ialah niat yang ikhlas dan ketakwaan yang menjadi asas ibadah, seperti yang dijelaskan dalam Surah Al-Haj, ayat 37 yang bermaksud: ‘Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu’.”
Beliau juga menjelaskan bahawa proses utama SalamSG Korban (SSGK) bagi melaksanakan ibadah korban di luar negara:
1. SSGK mengundang pengusaha korban untuk memberikan kertas kerja dan saranan pelaksanaan ibadah korban di luar negara. Saranan tersebut harus menetapi syarat-syarat badan berkuasa seperti Agensi Makanan Singapura (SFA), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) serta badan penguasa lain di dalam dan luar negara. Syarat-syarat tersebut termasuk proses mengimport daging, cara penyembelihan yang memenuhi syariah, kesihatan dan keadaan haiwan korban dan sebagainya.
2. SSGK akan membuat penilaian untuk memilih pengusaha korban yang sesuai dan bekerja rapat dengan masjid-masjid yang berminat mahu melaksanakan ibadah korban.
3. Tempahan mula dibuat dari masjid. Setelah tempahan ditutup, urusan penyembelihan akan dilaksanakan di Australia mengikut syariah. Daging yang telah dibersihkan akan dibungkus dalam suhu yang dapat memastikan kesegarannya.
4. Daging import tersebut akan dihantar kepada sohibul korban seawal selepas Hari Tasyrik. Daging yang didermakan sohibul korban akan dihantar ke masjid untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan seperti penerima zakat, keluarga susah dan golongan pekerja migran.
_____________________________________________
SalamSG tawar korban luar negara pada 2024
+ Pada tahun 2024, 52 masjid tempatan yang di bawah usaha SalamSG Korban akan menyediakan perkhidmatan korban luar negara sempena Hari Raya Aidiladha. (Hari Raya Aidiladha dijadual jatuh pada 17 Jun pada tahun ini).
+ Penyembelihan ternakan akan dilakukan di Australia pada Hari Raya Aidiladha atau Hari Tasyrik (10 hingga 13 Zulhijah).
+ Daging korban akan disejukkan sebelum dihantar ke Singapura untuk diedarkan kepada sohibul korban dan penerima manfaat lain.
+ Harga bagi setiap ternakan pada tahun 2024 telah ditetapkan, dengan seekor kambing biri-biri berharga $360 dan seekor anak kambing biri-biri berharga $375, manakala sohibul korban perlu membayar $375 bagi setiap satu pertujuh daripada seekor lembu.
+ SalamSG Korban mengumumkan bahawa harga ternakan pada tahun ini adalah setanding dengan harga pada tahun 2023.
+ Pendaftaran untuk perkhidmatan korban telah dibuka pada 26 Mac dan akan ditutup pada 8 Jun. Slot akan diperuntukkan berdasarkan prinsip yang dahulu didahulukan.
+ Individu yang berminat untuk menjalankan korban boleh mendaftar sama ada secara fizikal dengan mengunjungi salah satu daripada 52 masjid yang mengambil bahagian, atau secara dalam talian di www.ourmasjid.sg/korban.
(Laman web ini juga menyenaraikan masjid yang terlibat dalam program korban tahun 2024.)
+ Selain memilih masjid untuk melaksanakan ibadah korban, sohibul korban juga berpeluang menentukan bahagian daging yang mereka ingin ambil – sama ada satu pertiga, dua pertiga, atau keseluruhan bahagian, seperti yang dijelaskan oleh SalamSG Korban.
+ Mereka juga mempunyai pilihan melihat baki ternakan yang sedia ada di setiap masjid yang terlibat melalui laman web.
+ Pemohon yang berjaya akan menerima daging yang telah dibekukan dan dibungkus selepas Hari Tasyrik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg