Pelbagai manfaat yang diperoleh masyarakat daripada acara korban bersama SalamSG Korban dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada tahun 2023,
Ini termasuk meningkatkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, menggalakkan amalan berkongsi rezeki serta memperkuatkan hubungan sesama umat Islam di Singapura.
Menjadi salah satu masjid yang menyertai korban bersama SalamSG Korban dan Muis, Pengerusi Masjid Kassim, Encik Mohamed Zain Mohd memberitahu Berita Harian (BH), acara korban penuh bermakna itu diraikan sebagai tanda kesyukuran, di samping menceriakan golongan kurang bernasib baik.
Pengagihan daging korban tersebut merupakan hidangan yang dinantikan pada setiap tahun, kerana ia boleh meringankan beban kewangan golongan memerlukan dan menjimatkan perbelanjaan harian bagi sumber makanan.
Program seumpama ini turut menyediakan sumber makanan berkhasiat kepada golongan fakir dan miskin, yang mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan daging dalam diet harian mereka.
Dengan pelaksanaan korban secara serentak di setiap masjid di Singapura, umat Islam dapat merasakan kesatuan dan kerjasama di bawah ‘One Mosque Sector’, yang melibatkan 52 masjid secara keseluruhan.
Encik Mohamed Zain menjelaskan:
“Keprihatinan dan kasih sayang umat Islam terhadap golongan yang kurang bernasib baik terserlah dalam acara korban ini, sekali gus mempereratkan hubungan sosial dan menjana suasana harmoni dalam masyarakat.
“Ia bukan sahaja memperkukuh ikatan antara masjid, malah memupuk sifat bekerjasama dalam kalangan masyarakat Islam Singapura, yang saling membantu dan menyokong dalam menjayakan ibadah korban.”
Menurut Encik Mohamed Zain lagi, proses pendaftaran ibadah korban tersebut juga lebih mudah dan fleksibel, membolehkan jemaah mendaftar secara dalam talian atau di kaunter masjid dengan teratur.
Kemudahan pendaftaran dalam talian amat membantu jemaah yang sibuk bekerja dan tidak berkesempatan mendaftar secara fizikal di masjid. Pendaftaran di kaunter pula memberi kemudahan kepada golongan yang mungkin lebih selesa berurusan secara bersemuka.
Sehubungan itu, Masjid Kassim dapat memantau setiap pendaftaran korban secara langsung. Ini memastikan setiap penyertaan direkodkan dengan tepat dan memudahkan pengurusan proses korban daripada awal hingga akhir.
Masjid Kassim turut bekerjasama dengan beberapa masjid di kawasan timur untuk menghantar daging korban kepada golongan yang memerlukan di bawah kelolaan Pejabat Daerah Timur.
Berkongsi suasana acara korban di Masjid Kassim pada tahun-tahun sebelum ini, Encik Mohamed Zain berkata sambutan masyarakat terhadap pendaftaran korban di Masjid Kassim pada tahun lepas sangat menggalakkan.
“Semua tawaran untuk kambing yang kami sediakan ini sudahpun habis ditempah oleh sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban). Kepercayaan dan sokongan yang diberi oleh jemaah amat dihargai. Selain sohibul korban, daging korban ini juga diberi kepada penerima zakat dalam kalangan fakir dan miskin. Sebahagian kecil daging korban juga diberikan kepada kakitangan dan relawan yang membantu proses pengagihan. Ia adalah tanda penghargaan atas usaha dan komitmen mereka dalam memastikan kelancaran pelaksanaan ibadah korban,” tambah Encik Mohamed Zain.
SalamSG Korban yang merupakan sebuah jawatankuasa di bawah SalamSG, bekerjasama rapat dengan masjid-masjid tempatan untuk mengatur upacara korban yang dilaksanakan di Australia. Daging korban yang telah dibekukan kemudian diterbangkan ke Singapura dan diedarkan kepada sohibul korban di sini.
Untuk keterangan lanjut, sila lungsuri laman korban.ourmasjid.sg atau e-mel kepada salam@ourmasjid.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg