Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesesakan, masa perjalanan lebih lama dijangka bila stesen MRT Simei, Tanah Merah tutup 29 Nov - 8 Dis

Nov 22, 2025 | 3:42 PM
Stesen MRT dan perhentian bas yang terjejas dijangka sesak dan masa perjalanan mungkin bertambah sehingga 30 minit.
Stesen MRT dan perhentian bas yang terjejas dijangka sesak dan masa perjalanan mungkin bertambah sehingga 30 minit. - Foto ST

Mereka yang sering menaiki kereta api Laluan Timur-Barat (EWL) dinasihatkan untuk mengambil kira kesesakan dan masa perjalanan tambahan apabila stesen MRT Simei dan Tanah Merah ditutup tidak lama lagi.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 22 November berkata penutupan dua stesen itu dari 29 November hingga 8 Disember bermakna tiada perkhidmatan kereta api antara stesen Bedok dan Tampines, serta antara stesen Tanah Merah dengan Expo.

Stesen MRT dan perhentian bas yang terjejas dijangka sesak dan masa perjalanan mungkin bertambah sehingga 30 minit, lapor The Straits Times (ST).

Pada Oktober lalu, LTA berkata langkah itu bertujuan untuk membolehkan kerja-kerja menyambungkan trek dari EWL yang sedia ada ke depoh bersepadu East Coast dan menyambungkan platform baru di stesen Tanah Merah.

Dianggarkan sekitar 180,000 penumpang akan terjejas setiap hari selama 10 hari penyesuaian perkhidmatan, menurut LTA pada ketika itu.

Semasa kerja-kerja tersebut dijalankan, kereta api juga akan beroperasi dengan kekerapan yang dikurangkan iaitu lima minit antara stesen Tampines dengan Pasir Ris, serta lapan minit antara stesen Paya Lebar dengan Bedok. 

Kereta api antara stesen Expo dengan Lapangan Terbang Changi akan beroperasi setiap lima minit semasa waktu sibuk.

Penumpang yang berangkat dari timur dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan bas awam yang sedia ada dan menyambung perjalanan ke laluan MRT alternatif seperti Laluan Downtown (DTL), kata LTA.

Penumpang juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan masing-masinglebih awal dan menyemak aplikasi mudah alih MyTransport.SG LTA, serta saluran media sosial LTA dan SMRT untuk mendapatkan maklumat terkini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg