Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kimpalan baru SMRT jadikan landasan lebih tahan lama, singkat masa penggantian

Mesin ‘flash butt’ mencengkam, mengimpal hujung rel untuk siapkan kerja penggantian dalam masa 15 minit
Oct 24, 2025 | 7:26 PM
SMRT, flash butt, kimpalan, welding
Kimpalan temu kilat atau ‘flash butt’ boleh mencengkam dan mengimpal hujung landasan dan menyiapkan kerja penggantian dalam masa 15 minit. Mesin baru itu dinamakan berdasarkan fungsinya: Menghantar arus elektrik (flash) melalui hujung rel (butt). - Foto ST

Setiap awal pagi, sebuah mesin kuning bersaiz kabin tren berkhidmat di kawasan terbuka Depoh Ulu Pandan berhampiran Bukit Batok, bagi mencengkam dan meleburkan landasan.

Mesin kimpalan temu kilat atau ‘flash butt’ itu boleh mencengkam serta mengimpal hujung rel untuk menyiapkan kerja penggantian dalam masa 15 minit.

Ia dua kali lebih pantas daripada kaedah manual yang mengambil 40 minit.

Rel perlu diganti apabila terdapat kerosakan akibat pergerakan, brek tren, atau kehausan semula jadi dari masa ke masa.

Diperoleh SMRT pada Februari dengan kos melebihi $1 juta, mesin itu kini digunakan untuk mengimpal lima hingga enam pasang rel sepanjang 18 meter setiap malam di Depoh Ulu Pandan sebelum dihantar ke tapak penggantian.

Rel yang dikimpal digunakan bagi menggantikan bahagian landasan di Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat (NSEWL).

Kededua laluan itu merupakan tertua di Singapura yang telah beroperasi selama 37 tahun dan mempunyai keperluan tertinggi untuk diganti.

Laluan Thomson–East Coast (TEL) dan Circle (CCL), yang juga dikendalikan SMRT, tidak memerlukan penggantian meluas kerana masih baru, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Mesin baru itu dinamakan berdasarkan fungsinya: Menghantar arus elektrik (flash) melalui hujung rel (butt).

Penyelenggaraan rel itu menjadi tumpuan selepas sekurang-kurangnya 15 gangguan berlaku antara Julai dengan September.

Sebelum itu, pada September 2024, roda bawah sebuah tren tergelincir dari landasan EWL, merosakkan rel sepanjang 2.55 kilometer dan peralatan tepi landasan, menyebabkan gangguan selama enam hari.

SMRT berkata satu kimpalan ‘flash butt’ sudah memadai untuk semua laluan MRT yang dikendalikannya.

Mesin itu menyelaraskan rel sebelum arus elektrik dilepaskan untuk melebur dan menyatukannya, menjadikan sambungan lebih tahan lama tanpa bahan tambahan.

Ini berbeza daripada kimpalan manual yang menggunakan aluminium dan ferum oksida.

Dalam demonstrasi media pada 23 Oktober, Timbalan Pengarah Penyelenggaraan Prasarana Rel SMRT Trains, Encik Guan Junwei, berkata mesin itu akan meningkatkan kecekapan penyelenggaraan sebanyak 20 peratus.

Selain menjimatkan masa, kimpalan ‘flash butt’ hanya memerlukan dua pekerja berbanding empat bagi kaedah manual.

SMRT telah melatih enam juruteknik dan dua jurutera untuk mengendalikannya.

Setiap malam, SMRT menukar rel di lima bahagian landasan, dengan dua hingga tiga operasi menggunakan rel yang dikimpal mesin tersebut.

Menjelang suku pertama 2026, mesin setinggi 2.4 meter, selebar 2.6 meter dan sepanjang 7.3 meter itu akan diangkut ke jejambat NSEWL untuk kerja kimpalan di tapak antara 1.30 pagi dengan 4.30 pagi selepas diubah suai bagi operasi selamat dalam ruang sempit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg