Semasa zaman sekolah rendah, saya sering tertanya-tanya kenapa sebilangan warga emas perlu memakai gigi palsu yang kadangkala tertanggal semasa mereka berbual.
Pada zaman pra-Internet, tidak banyak maklumat yang diketahui apa sebabnya. Apabila ditanya, warga emas sering sekadar menjawab, “Dah takde gigi”.
Sebelum mencapai 50 tahun, umumnya saya tiada masalah besar berkaitan gigi. Kemungkinan besar kerana amalan melakukan pemeriksaan doktor gigi dan melakukan pembersihan sebanyak dua kali setahun agak membantu.
Namun ada pula rakan lebih muda yang sudah pun terpaksa dicabut gigi bongsu (wisdom tooth) mereka. Ada juga mengalami sakit gigi dan perlu menjalani rawatan kanal akar, penyalutan gigi (crowning), prosedur penampalan (filling) dan bermacam lagi prosedur lain yang belum saya dengar sebelum ini.
Namun, selepas melebihi usia 50 tahun, masalah gigi mula ketara. Antaranya bengkak gusi yang ada kala menjejas aturan gigi. Pada 2023, masalah gusi bengkak menjejas dua gigi sehingga terpaksa dicabut. Beberapa bulan lalu pula, satu gigi menjadi sakit dan longgar sehingga doktor gigi terpaksa mencabutnya.
Satu demi satu masalah gigi timbul sedang usia meningkat. Kos prosedur pergigian juga tidak murah.
Semasa ke klinik gigi baru-baru ini, saya mendapati sebilangan kos prosedur atau rawatan gigi agak tinggi, walaupun ada yang boleh dibayar melalui MediSave.
Pihak majikan ada memberi elaun faedah pergigian setiap tahun namun selalunya kos pergigian melebihi elaun tersebut, memandangkan kos penjagaan gigi kini agak tinggi.
The Straits Times (ST) ada melaporkan kos penjagaan gigi telah meningkat sejak beberapa tahun lalu, didorong inflasi dan kenaikan kos perniagaan, namun ramai pekerja mendapati faedah pergigian mereka agak ketinggalan untuk menampung kenaikan tersebut.
Kenaikan kos itu menyebabkan ramai pekerja terpaksa mengeluarkan belanja sendiri, dengan ada yang pergi ke klinik gigi di Johor Bahru untuk mendapatkan harga lebih rendah.
Perkara itu mendapat perhatian Persatuan Pergigian Singapura yang menyeru agar majikan menyemak semula faedah pergigian yang diberikan kepada pekerja.
Menurut laman web NTUC Health Denticare, yang mempunyai 19 klinik di Singapura, rawatan pergigian asas seperti pembersihan adalah sekitar $50 pada 2020. Rawatan sama kini berharga $65.40.
Sementara kumpulan pergigian Q&M, yang mengendalikan lebih 100 klinik di sini, mengenakan bayaran mulai $87.20, meningkat daripada $74.90 pada 2021, bagi rawatan pergigian asas.
Sememangnya penjagaan gigi boleh dikatakan sama penting dengan penjagaan kesihatan asas. Ini selain terdapat trend kos penjagaan gigi lebih tinggi daripada kos doktor umum.
Justeru, majikan harus menimbangkan untuk menaikkan skim insurans atau elaun faedah penjagaan gigi mereka.
Jika gigi tidak sihat, pekerja perlu mengambil cuti sakit yang akhirnya merugikan majikan juga. Gigi yang sihat boleh membantu menghasilkan pekerja lebih sihat dan bahagia, sekali gus menjadikan pekerja itu lebih berdaya hasil.
Jika faedah elaun pergigian rendah, pekerja mungkin terpaksa mengurangkan lawatan ke klinik doktor gigi demi menjimatkan wang yang perlu dikeluarkan daripada kocek sendiri.
Ini pula berisiko menyebabkan masalah gigi lebih besar, yang bukan sahaja menyebabkan pekerja tidak sihat dan perlu mengambil cuti sakit, bahkan menyebabkan rungutan berterusan tentang faedah elaun pergigian yang terlalu kecil dan menjadikan pekerja lebih tertekan dan rasa kurang gembira.
Amatlah diharapkan majikan dapat terus menyemak semula kadar elaun faedah pergigian dan menaikkannya sejajar dengan kos prosedur pergigian yang meningkat tahun demi tahun.
Berikanlah jumlah agak mencukupi yang akan mendorong pekerja terus melakukan rawatan berkala di klinik doktor gigi – enam bulan sekali – untuk membantu penjagaan gigi lebih sihat.
Sedang syarikat dan majikan bersaing merekrut dan mengekalkan pekerja, skim faedah pergigian ini adalah antara faktor penting juga, selain gaji, bonus dan faedah kesihatan lain.
Pekerja lebih sihat dan bahagia adalah pekerja yang dapat menyumbang dengan lebih baik kepada majikan dan syarikat.
Kini, setelah saya sendiri melalui masalah gigi, baru saya mendapat jawapan kepada pertanyaan saya dahulu tentang sebilangan warga emas yang terpaksa memakai gigi palsu.
Saya kini lebih teliti dalam menjaga gigi dan mula mengumpul wang kerana ada kemungkinan perlu juga memakai gigi palsu jika masalah gigi berterusan, atau jika mengikut nasihat sebilangan doktor gigi, supaya menggunakan kaedah implan (penanaman) gigi yang lebih moden dan selesa, namun kosnya pula adalah lebih tinggi.
Apapun, peliharalah gigi sebaik mungkin, kerana ia adalah satu nikmat besar yang membolehkan kita menggigit, mengunyah makanan dengan selesa dan merasai keenakannya. Hargailah gigi sebelum ia hilang sedang tubuh kita dimamah usia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg