Isu kesihatan mental dan kos sara hidup akan menjadi tumpuan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di GRC Jalan Besar bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Beliau bertekad meningkatkan dasar pemeriksaan kesihatan penduduk dan mengembangkan rangkaian sukarelawan bagi program kesihatan mental di kejiranan tersebut.
Ini dijelaskan Dr Wan Rizal, 47 tahun, sewaktu ditemui Berita Harian (BH) di satu sidang media bagi mengenalkan barisan calon bagi GRC Jalan Besar di Whampoa Park pada 16 April.
Pasukan PAP di GRC Jalan Besar dipimpin Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, 57 tahun, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri).
Calon lain yang bertanding di bawah GRC ini pula terdiri daripada Cik Denise Phua, 65 tahun, dan muka baru dalam bidang politik, Encik Shawn Loh, 38 tahun, mantan pengarah program keselamatan dan daya bingkas di Kementerian Kewangan (MOH).
Pada sidang media itu juga, diumumkan pengunduran Menteri Negara (Pertahanan), Encik Heng Chee How, 63 tahun, daripada politik setelah hampir tiga dekad berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar di kejiranan Whampoa.
Menjelaskan tentang tumpuannya, Dr Wan Rizal yang menggantikan mantan Menteri Perhubungan dan Penerangan serta mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber, Dr Yaacob Ibrahim, di kejiranan Kolam Ayer (GRC Jalan Besar) pada 2020, berkata:
“Tumpuan saya adalah dalam memberi kesejahteraan buat warga emas kita dan keluarga muda yang menetap di flat sewa.
“Namun, kita juga menghadapi isu kos sara hidup sebagai satu cabaran. Justeru, kami akan terus mengadakan program yang lebih khusus (untuk keperluan setiap penduduk).”
Menyentuh tentang satu inisiatif M Kuasa Tiga (M³), Projek Dian, yang menyokong keluarga Melayu yang menetap di flat sewa, Dr Wan Rizal menerangkan niatnya untuk meneruskan inisiatif seperti itu, untuk kesemua penduduk Jalan Besar.
“Tidak kira taraf kedudukan mereka, mereka boleh dapatkan pertolongan,” katanya lagi.
Selain kos sara hidup, Dr Rizal turut berkongsi kebimbangannya terhadap kesihatan penduduk Jalan Besar.
“Penjagaan kesihatan itu bukan sahaja melalui rawatan, tetapi juga melalui pencegahan,” jelasnya sambil menambah pihaknya ingin memperluas program pemeriksaan kesihatan yang disediakan.
“Ramai (penduduk) tidak bertemu doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan, selain apabila mereka jatuh sakit.
“Kami juga ingin mengembangkan rangkaian sukarelawan di Jalan Besar. Dengan itu, lebih ramai penduduk akan mendapat sokongan dan bantuan kesihatan mental,” tambahnya.
Dalam pada itu, ketika memperkenalkan pasukannya di GRC Jalan Besar bagi GE2025, Cik Teo berkata:
“Selain mencipta sebuah bandar yang bersemangat, amat penting dalam memastikan penduduk dapat merasakan keadaan sebegini mencerminkan sebuah masyarakat yang penyayang.”
Menerangkan usaha pasukan beliau memberi lebih bantuan kepada masyarakat umum di Jalan Besar, Cik Teo menjelaskan kepentingan pendidikan dan peluang pekerjaan.
GRC Jalan Besar mempunyai 106,102 pengundi, tambahan daripada sejumlah 101,650 pengundi pada 2020.
Kejiranan ini mempunyai ramai warga emas yang akan menjadi antara isu tumpuan bagi GE2025.
Sebagai anggota baru bagi pasukan PAP di GRC Jalan Besar, Encik Loh pula berkata:
“Saya amat teruja menjadi sebahagian masyarakat Jalan Besar. Tidak lama dahulu, saya telah menyertai acara Whampoa $1 Good Deal, di mana saya dapat lihat penduduk menolong antara satu sama lain. Di situlah saya mula bersahabat baik bersama penduduk Jalan Besar”.
Sebagai seorang ayah kepada empat anak, Encik Loh akur bagaimana beliau mula fahami dan percaya akan kepentingan khidmat penjagaan kanak-kanak yang dimampui penduduk tetapi kekal bermutu tinggi.
“Adalah penting untuk mempunyai khidmat jagaan kanak-kanak yang berdekatan dengan rumah.
“Saya menghantar anak-anak saya ke pusat jagaan kanak-kanak dengan hanya berjalan dari blok kami sepanjang lapan tahun ini.
“Saya mempunyai sekurang-kurangnya lagi tiga tahun sebelum anak bongsu saya memasuki Darjah 1. Justeru, saya fahami kepentingan mempunyai khidmat jagaan kanak-kanak yang mudah diakses, bermutu dan dimampui, berdekatan dengan rumah.
“Di beberapa kawasan perumahan baru, kerana mereka membina flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dahulu, kita tidak mempunyai khidmat sebegini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg