Encik Shawn Loh, mantan pengarah di Kementerian Kewangan (MOF), “merupakan pilihan yang sangat tepat buat penduduk Jalan Besar,” kata Cik Josephine Teo, yang merupakan menteri utama dalam pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Jalan Besar.
“Saya berharap Perdana Menteri mempertimbang Shawn untuk bertanding di kawasan undi kami,” kata Cik Teo, yang juga Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Kanak-Kanak SG60 yang berlangsung di perkarangan Perpustakaan Negara pada 13 April.
“Kami ingin membentuk pasukan yang kukuh demi memenuhi keperluan penduduk.
“Kami sangat bertuah kerana dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami memiliki pasukan yang membawa pelbagai perspektif serta sumber yang bernilai,” katanya.
Encik Loh, 38 tahun, pernah berkhidmat sebagai pengarah program keselamatan dan daya ketahanan di MOF dan merupakan salah seorang daripada lapan wajah baru PAP yang diperkenal menerusi sebuah video oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 12 April.
Beliau juga merupakan pengarah Belanjawan pada 2024 dan 2025, iaitu dua Belanjawan pertama yang menyertakan program daripada inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura atau “Forward Singapore”.
Encik Loh menyertai MOF pada Jun 2023, dan telah mengusahakan pelbagai program termasuk skim baucarr Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan SG60.
Sebelum menyertai MOF, beliau merupakan naib presiden bagi perniagaan Singapura dan pembangunan tenaga kerja industri di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Cik Teo berkata, dengan perubahan ketara dalam keadaan ekonomi semasa, pengalaman luas Encik Loh dalam sektor privet dan awam serta pandangan antarabangsa beliau dapat membantu mengukuhkan program dan inisiatif mereka untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana dengan lebih baik.
Encik Loh, yang mempunyai empat anak dan kini berkhidmat di syarikat tempatan Commonwealth Capital Group, berkata:
“Saya rasa banyak perniagaan kini bimbang tentang persekitaran semasa dan saya berharap dapat membantu.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg