24 Jan 1987: Titik noktah kisah tong najis, ‘Lori 32 Pintu’ di S’pura
24 Jan 1987: Titik noktah kisah tong najis, ‘Lori 32 Pintu’ di S’pura
Pusat Pengumpulan Tong Najis Lorong Halus adalah yang terakhir ditutup di S’pura
Kalau sebut tentang ‘tong tahi’ atau tong najis, generasi yang dewasa pada era silam hingga 1980-an akan ketawa berdekah-dekah mengenangkan pengalaman membuang air besar di tandas awam, dengan najis itu terkumpul dalam bekas bulat diperbuat daripada besi atau kayu.
Akan ada petugas yang akan mengambil ‘tong tahi’ berkenaan setiap hari.
Tapi ada juga cerita-cerita lucu yang didengar tentang mereka yang duduk di ‘bilik termenung’ bagi melegakan perut yang sakit tetapi jadi terperanjat apabila petugas datang bagi menarik tong berkenaan sehingga najis jatuh dalam sungai atau rumput di bawah, tanpa menghiraukan masih ada yang belum selesai ‘buat bisnes’ di situ.
Sejarah ‘night soil bucket system’ - penggunaan tong najis
Penggunaan tong ini tidak hanya unik di Singapura.
Kalau dilungsur laman Remember Singapore, dinyatakan sistem penggunaan tong najis ini juga digunakan secara meluas di negara lain di Asia dan Eropah.
Singapura menggunakannya sekitar tahun 1890-an. Sistem itu tidak dikawal selia dan bergantung pada kuli Cina yang meronda bagi mengumpul najis dari rumah ke rumah sebelum diangkut ke ladang untuk dijadikan baja.
Tong kayu yang digunakan untuk menyimpan najis tersebut sering kali tidak dapat ditutup dengan rapat, sehingga mengakibatkan kebocoran dan situasi yang sangat berbau busuk.
Bagi memperbaiki keadaan tersebut, kerajaan perbandaran telah meluluskan undang-undang pada 1889 untuk mengehadkan waktu operasi pengumpulan najis.
Tong besi gantikan tong kayu, galian lubang juga tidak dibenarkan
Dua tahun kemudian, mereka mengharamkan penggunaan tong kayu dan menggantikannya dengan tong besi pula.
Penggalian dan penggunaan lubang najis (cesspits) juga tidak lagi dibenarkan. Sebaliknya, pemilik rumah diwajibkan meletakkan tong atau tempayan di atas permukaan tanah yang kukuh bagi pengumpulan sisa buangan mereka. Sementara itu, kerajaan perbandaran turut membina lebih banyak tandas awam pada akhir 1890-an.
Menjelang abad baru, kerajaan perbandaran ingin melaksanakan sistem sanitasi yang lebih baik untuk Singapura. Namun, kemajuannya perlahan dan tidak berkesan.
Pada 1909, pihak berkuasa melantik Encik G. Midgeley Taylor, seorang jurutera sanitasi British untuk merangka sistem pembetungan yang baru. Encik Robert Peirce (1863-1933), jurutera perbandaran British yang bertapak di Singapura antara tahun 1901 dengan 1916, mengambil rekaan Taylor dan memperbaikinya lagi.
Loji pelupusan kumbahan untuk beberapa kawasan sahaja
Pada awal abad ke-20, sebuah loji rawatan telah dibina di Alexandra Road bagi meluaskan rangkaian pembetungan ke sebahagian kawasan pusat bandar. Air yang telah dirawat itu akhirnya dibuang ke dalam Sungai Singapura. Memandangkan Loji Pelupusan Kumbahan Alexandra yang baru itu hanya dapat memberi khidmat kepada sebahagian kecil kawasan perbandaran, sistem tong najis terpaksa diteruskan.
Loji Pelupusan Kumbahan Alexandra tidak lama kemudian tidak lagi mampu menampung pertumbuhan penduduk yang pesat.
Pemeriksaan di Sungai Singapura menunjukkan separuh daripada bahan yang dibuang ke dalam sungai tersebut merupakan kumbahan mentah.
Kemudahan di Alexandra kemudian dinaik taraf dan diperluaskan, namun lebih banyak pemasangan diperlukan menjelang 1930-an.
Sebuah Loji Pelupusan Enap Cemar Perbandaran telah dibina pada akhir 1930-an di kawasan yang kini dikenali sebagai Lorong Halus, di sepanjang Sungei Serangoon.
Pada 1941, stesen pengepaman dan pelupusan baru masing-masing dibina di Rangoon Road dan Kim Chuan Road, dan sistem sanitasi mula disediakan di Kampong Kapor, Kampong Java, Geylang, Katong, Siglap serta sebahagian kawasan Bukit Timah dan Balestier.
Tawanan perang Jepun dikerahkan kumpul tong najis sebelum Pelan Induk Pembetungan dilancar
Semasa Zaman Pendudukan Jepun, ramai tawanan perang (POW) telah dipaksa oleh pihak Jepun untuk menjalankan kerja-kerja pengumpulan tong najis tersebut.
Selepas kemerdekaan Singapura, pemerintah melancarkan Pelan Induk Pembetungan pada akhir 1960-an.
Singapura dibahagikan kepada enam daerah, termasuk kawasan Kranji, Bedok, Jurong, dan Seletar, di mana kumbahan dikumpul dan dipam ke stesen rawatan berpusat.
Air sisa tersebut kemudian dirawat mengikut piawaian antarabangsa sebelum dilepaskan ke laut.
Pekerja tong najis kerja keras
Pada 1972, Kementerian Sekitaran (ENV) telah ditubuhkan dengan kakitangan yang diambil daripada Jabatan Kerja Raya (PWD) dan Bahagian Kesihatan Awam Sekitaran.
Salah satu tugas utamanya adalah untuk meningkatkan kecekapan secara besar-besaran dalam mengawal kesihatan alam sekitar dan pencemaran di Singapura.
Pada 1970-an, sebahagian besar Singapura masih berciri luar bandar dan tidak mempunyai sistem pembetungan.
Di bawah ENV, ratusan pekerja pengumpul tong najis bekerja setiap hari untuk membersihkan tong dari tandas perkampungan dan rumah kedai.
Menjelang awal 1980-an, loji rawatan kumbahan tambahan telah dibina dan rangkaian pembetungan diperluaskan secara besar-besaran.
Dalam tempoh lebih dua dekad, sebanyak $1.6 bilion telah dibelanjakan untuk sistem pembetungan bagi meningkatkan taraf hidup di Singapura.
Kebersihan, kesihatan awam diutamakan
Kesihatan awam dan kebersihan dipertingkatkan lagi melalui pelbagai cara lain.
Ribuan penjaja jalanan telah dipindahkan dan ditempatkan di pusat-pusat penjaja dan pasar.
Kawasan setinggan dan rumah sesak, dengan tandas mereka yang tergantung di atas sungai, telah dibersihkan dan dirobohkan.
Penternakan babi telah dihentikan secara berperingkat. Program pembersihan selama 10 tahun, dari 1977 hingga 1987, turut dijalankan di Sungai Singapura dan Kallang Basin, yang dahulunya keruh dan berbau busuk.
Sistem tong najis dihentikan secara berperingkat
Menjelang 1984, hampir 90 peratus kawasan Singapura telah mempunyai sistem sanitasi moden. Sudah tiba masanya untuk sistem tong najis dihentikan secara berperingkat.
Pusat pengumpulan tong najis di Albert Street, Toh Tuck Road dan Jalan Afifi (berhampiran Paya Lebar Road) kemudian ditutup pada tahun 1980-an. Lebih 15,000 tong najis telah dilupuskan.
Pusat pengumpulan tong najis terakhir di Lorong Halus ditutup pada 24 Januari 1987
Pada 24 Januari 1987, pusat pengumpulan tong najis terakhir Singapura yang terletak di Lorong Halus telah ditutup secara rasmi.
Tatkala sistem tong najis yang berusia seabad itu menjadi sejarah, baki 78 pekerja pengumpul najis telah ditempatkan semula sebagai pekerja pembersihan atau diberhentikan.
Lori pengumpul najis yang terkenal dan mesra dikenali sebagai ‘Lori 32 Pintu, turut lenyap setelah beroperasi di jalan raya Singapura selama berdekad-dekad lamanya.
Pada majlis penutupan Pusat Pengumpulan Tong Najis Lorong Halus, tong najis terakhir telah dibersihkan dan disimpan oleh ENV sebagai peringatan terhadap sistem tong najis Singapura yang sudah usang.
Ia juga merupakan satu penghormatan kepada ribuan bekas pekerja yang telah menyumbang kepada kesihatan awam dan kebersihan Singapura melalui pekerjaan manual yang berat ini.
Replika tong najis tersebut menjadi salah satu barangan pameran di ‘Galeri Singapura Mampan’ atau Sustainable Singapore Gallery di Bendungan Marina.

