32j banjiri Makkah, Madinah pada 10 hari pertama Ramadan
32j banjiri Makkah, Madinah pada 10 hari pertama Ramadan
RIYADH: Seramai 31,950,000 anggota jemaah dan pengiring umrah dilaporkan telah mengunjungi Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah sepanjang 10 hari pertama Ramadan.
Beribu-ribu pekerja, sukarelawan, dan anggota keselamatan bekerja sepanjang masa untuk memastikan pergerakan keluar masuk jemaaah yang lancar di kedua-dua masjid tersebut yang biasanya sesak sepanjang Ramadan.
Para petugas juga memastikan kemudahan yang bersih, dan panduan yang mudah diakses oleh jemaah daripada seantero dunia.
Tempoh 10 hari pertama Ramadan biasanya menyaksikan peningkatan bilangan jemaah yang berterusan, tetapi 10 hari terakhir – terutamanya malam-malam apabila lailatulqadar dicari – menarik perhimpunan terbesar.
Pihak berkuasa sedang bersedia untuk menangani jumlah jemaah yang lebih tinggi dalam beberapa hari akan datang.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Arab Saudi mencatat rekod baharu jumlah jemaah umrah apabila seramai 904,000 orang menunaikan ibadah itu dalam satu hari pada 4 Ramadan 1447 Hijrah, menurut pihak pengurusan Masjidil Haram.
Angka tersebut jauh mengatasi rekod 2025 yang mencatatkan sekitar 500,000 anggota jemaah pada 7 Mac, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara kehadiran umat Islam ke Tanah Suci pada bulan Ramadan.
Pihak berkuasa menyatakan lonjakan jumlah jemaah memerlukan langkah keselamatan dan pengurusan orang ramai dipertingkat bagi memastikan ibadah berjalan lancar.
“Kawasan mataf diperuntukkan khusus untuk jemaah umrah sepanjang hari bagi memastikan tawaf dapat dilaksanakan dengan selamat,” menurut kenyataan pengurusan Haramain.
Sepanjang Ramadan, terutama pada hari Jumaat serta waktu maghrib, isyak, tarawih dan tahajud pada 10 malam terakhir, ruang solat di Masjidil Haram dipenuhi dengan cepat.
Jemaah diarahkan menggunakan kawasan lapang dan ruang solat tambahan yang ditetapkan sekiranya ruang utama di Masjidil Haram penuh.
Pihak berkuasa turut melarang jemaah berkumpul di laluan pejalan kaki, jalan raya dan halaman masjid bagi mengelakkan kesesakan berbahaya.
“Pergerakan masuk dan keluar mesti mengikut papan tanda arah yang ditetapkan,” menurut pihak pengurusan masjid.
Bagi mengurangkan kesesakan di sekitar masjid, laluan pejalan kaki khas diwujudkan di kawasan tengah kota Makkah, manakala kenderaan tidak dibenarkan memasuki zon tersebut untuk tempoh tertentu sekitar waktu solat.
Motosikal dan basikal tanpa kebenaran turut diharamkan di kawasan berkenaan, sementara kenderaan yang menghalang keselamatan pejalan kaki akan ditunda serta dikenakan saman trafik.
Pengangkutan jemaah diselaraskan menggunakan bas awam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dan 14 kawasan tempat meletak kenderaan khas termasuk sembilan di dalam kota suci serta lima di laluan masuk ke Makkah.
Jemaah yang tidak dapat memasuki Masjidil Haram akibat kesesakan akan diarahkan ke masjid berhampiran dan dewan solat yang dilengkapi kemudahan. – Agensi berita.


