Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angin ahmar bukan lagi penyakit orang tua

Kajian pesakit strok muda: Darah tinggi faktor risiko 56.2%; kolesterol tinggi (42%); merokok (33.7%); kencing manis, (29.7%) dan obesiti (18.5%)
Nov 17, 2025 | 5:30 AM
Dr Deidre Anne De Silva
Profesor Madya Dr Deidre Anne De Silva, Perunding Kanan, Institut Neurosains Kebangsaan (NNI). - Foto ihsan DR DEIDRE ANNE DE SILVA

Fahami Strok Iskemia Akut di Singapura

Strok iskemia ialah bentuk angin ahmar paling lazim dihidapi pesakit.

Ia berlaku apabila arteri yang membekalkan darah ke otak tersumbat atau menyempit secara tiba-tiba, menyebabkan bahagian otak tersebut kekurangan oksigen dan nutrien.

Akibatnya, tisu otak tidak dapat bertahan dan itulah yang mencetuskan tanda serta gejala strok.

Sekitar lapan daripada setiap 10 kes angin ahmar adalah jenis iskemia.

Di Singapura, kira-kira 10,000 orang dimasukkan ke hospital setiap tahun akibat serangan strok baru.

Ia merupakan penyebab kematian keempat paling utama dan punca utama ketidakupayaan dalam kalangan orang dewasa di negara ini.

Setiap Minit Bermakna: Kesan Jam Pertama Serangan Strok

Apabila otak kekurangan oksigen dan nutrien, fungsinya mula merosot.

Bagi setiap minit strok iskemia tidak dirawat, purata pesakit kehilangan 1.9 juta neuron dan 13.8 bilion sinaps – persambungan antara dua sel saraf atau neuron.

Setiap jam tanpa rawatan bersamaan dengan kehilangan neuron yang berlaku sepanjang 3.6 tahun proses penuaan normal.

Jika aliran darah dapat dipulihkan segera, tisu otak yang terjejas masih boleh pulih. Ini kerana pada peringkat awal, kerosakan tersebut bersifat sementara dan boleh diterbalikkan.

Namun, semakin lama rawatan ditangguhkan, kian banyak sel otak kehilangan keupayaan untuk bertahan tanpa oksigen dan nutrien, sekali gus menyebabkan kerosakan menjadi kekal.

Proses itu bermula dari saat pertama strok berlaku dan berterusan secara bertahap.

Itulah sebabnya setiap minit amat penting – pemulihan aliran darah dengan segera boleh menyelamatkan sel otak dan mengurangkan risiko ketidakupayaan jangka panjang.

‘Tempoh Emas’ 4.5 Jam: Kunci Utama Pemulihan

Bukti klinikal menunjukkan setiap minit amat berharga.

Pada detik serangan strok bermula, sel-sel otak mula mati dan kerosakan akan terus bertambah selagi otak tidak menerima oksigen dan nutrien.

Oleh itu, ia menjadi penanda aras bagi rawatan kecemasan angin ahmar.

Rawatan yang diberikan lebih awal sentiasa membuahkan hasil lebih baik.

Jika pesakit menerima rawatan dalam masa sejam, hasilnya jauh lebih baik berbanding selepas dua atau tiga jam.

Bahkan dalam tempoh 4.5 jam itu sendiri, faedah rawatan menurun dengan setiap minit berlalu.

Prinsipnya mudah. Semakin cepat aliran darah dipulihkan ke otak, semakin banyak tisu otak dapat diselamatkan.

Ini secara langsung meningkatkan peluang pemulihan, mengurangkan ketidakupayaan, dan dalam sesetengah kes, menyelamatkan nyawa.

Oleh itu, tindak balas segera amat penting pada setiap peringkat daripada mengenal pasti tanda angin ahmar, membawa pesakit ke hospital, hingga rawatan segera tanpa sebarang kelewatan.

Risiko Jika Rawatan Lewat Lebih 4.5 Jam

Pada peringkat lewat selepas serangan angin ahmar bermula, tisu otak biasanya telah mengalami kerosakan kekal.

Pemulihan aliran darah pada tahap ini tidak dapat menghidupkan semula sel yang telah mati, menyebabkan kesan kecacatan dan ketidakupayaan menjadi lebih teruk.

Selain rawatan trombolisis – kaedah perubatan menggunakan ubat bagi memecahkan atau melarutkan gumpalan darah di pembuluh darah – terdapat rawatan akut lain yang berkesan jika dimulakan lebih awal.

Ia seperti mengawal tekanan darah, merawat demam dan menstabilkan paras glukosa dalam darah.

Penjagaan awal strok turut membantu mencegah kerumitan seperti aspirasi, iaitu keadaan apabila makanan, cecair atau air liur memasuki saluran pernafasan dan boleh menyebabkan radang paru-paru.

Malangnya, apabila pesakit tiba lewat ke hospital, sebahagian komplikasi itu mungkin sudah berlaku dan sukar dirawat.

Rawatan Strok Terkini: Cara Pulihkan Aliran Darah dan Kurangkan Kerosakan Otak

Matlamat utama rawatan strok akut ialah memulihkan aliran darah ke otak secepat mungkin.

Bagi strok iskemia, ini boleh dicapai melalui dua kaedah utama pemulihan aliran darah (reperfusion):

Trombolisis intravena: Ubat trombolitik (ubat pelarut bekuan darah) disuntik ke dalam salur darah bagi melarutkan bekuan dan memulihkan aliran darah.

Kajian menunjukkan pesakit strok iskemia yang menerima rawatan ini mempunyai peluang lebih tinggi untuk pulih dengan lebih baik dan mengalami ketidakupayaan lebih ringan berbanding pesakit yang tidak dirawat.

Trombektomi endovaskular (EVT): Satu kateter (tiub panjang dan halus) dimasukkan melalui arteri di pangkal paha atau pergelangan tangan dan dibimbing ke kawasan arteri otak yang tersumbat.

Setelah sampai ke lokasi bekuan darah, bekuan itu boleh dibuang dengan beberapa cara:

+ Gunakan stent retriever, alat kecil yang menangkap dan mengeluarkan bekuan darah,
+ Sedut keluar bekuan (aspiration);
+ Larutkan gumpalan dengan ubat yang disalur terus ke tapak bekuan melalui kateter, atau
gabungan beberapa kaedah di atas.

Kaedah itu membantu memulihkan aliran darah ke bahagian otak yang terjejas, sekali gus mengurangkan risiko kecacatan kekal.

Semua rawatan strok akut diberikan berdasarkan kriteria klinikal yang ketat bagi memastikan keselamatan pesakit, memaksimumkan manfaat rawatan, serta meminimumkan sebarang risiko yang mungkin berlaku.

Penyelidikan dan Ubat Baru Buka Peluang Lebih Baik

Penyelidikan yang sedang dijalankan memainkan peranan penting dalam memperluas pilihan rawatan, khususnya melalui penggunaan semula ubat sedia ada.

Pendekatan ini menilai ubat yang asalnya dibangunkan untuk merawat penyakit lain, atau diuji bertahun-tahun lalu, bagi menentukan sama ada ia berkesan untuk strok dengan bantuan sistem penjagaan kesihatan dan teknologi pengimejan terkini.

Pembangunan ubat baru memakan masa panjang dan berisiko tinggi kira-kira 10 hingga 15 tahun dengan kadar kejayaan purata hanya 2 peratus.

Tempoh yang lama itu juga membawa beban kewangan besar kepada penyelidik dan pengeluar.

Oleh itu, penggunaan semula ubat kini muncul sebagai strategi yang menjanjikan, iaitu menggunakan ubat sedia ada bagi tujuan rawatan lain berdasarkan ciri, mekanisme, serta profil keselamatan dan keberkesanannya.

Contoh terbaik ialah dalam rawatan trombolisis, apabila ubat pelarut bekuan darah yang dahulu digunakan untuk serangan jantung kini dikaji dan dibuktikan berkesan untuk merawat strok iskemia akut.

Pendekatan itu bukan sahaja memperluas pilihan rawatan, bahkan juga meningkatkan akses dan ketersediaan, sekali gus membantu mencapai hasil rawatan yang lebih baik bagi pesakit angin ahmar.

Cabaran, Peranan Paramedik Pastikan Pesakit Terima Rawatan Tepat Masa

Terdapat beberapa cabaran dalam memastikan pesakit tiba ke hospital tepat pada masanya untuk rawatan.

Pertama ialah tahap kesedaran, sama ada bagi individu yang mengalami strok atau orang di sekelilingnya.

Dalam kebanyakan kes, pesakit sendiri tidak mampu meminta bantuan.

Oleh itu, ahli keluarga atau individu di sekeliling perlu peka terhadap tanda-tanda serangan angin ahmar dan segera menghubungi ambulans.

Inilah sebabnya kempen pendidikan awam sangat penting.

Kajian menunjukkan hanya 40 hingga 50 peratus penduduk mampu mengenal pasti gejala strok, faktor risikonya, atau nombor untuk menghubungi ambulans.

Cabaran kedua melibatkan perkhidmatan perubatan kecemasan.

Di Singapura, kita bertuah kerana mempunyai sistem yang cekap dan terlaras.

Pegawai pengendali Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) terlatih untuk memberi keutamaan kepada panggilan berkaitan angin ahmar, manakala paramedik dilatih mengenal pasti gejala strok, memberi rawatan awal, dan membawa pesakit ke hospital yang dilengkapi kemudahan rawatan strok segera.

Mereka juga memaklumkan hospital terlebih dahulu agar pasukan strok dapat bersedia menerima pesakit.

Rantaian itu bergantung pada tiga langkah penting iaitu kesedaran dan pengenalan awal orang awam, tindakan pantas pasukan kecemasan, serta kesediaan hospital memberikan rawatan tanpa lengah.

Strok Bukan Penyakit Warga Emas: Serangan Boleh Libat Golongan Muda

Strok memang lebih kerap berlaku dalam kalangan warga emas, tetapi ia boleh menyerang pada sebarang usia.

Walaupun strok dalam kalangan kanak-kanak jarang berlaku dan biasanya berpunca daripada sebab tertentu, kini semakin banyak kes strok dikesan dalam kalangan dewasa muda berusia 30-an, 40-an dan 50-an tahun.

Di Singapura, purata umur pesakit strok ialah sekitar 68 tahun, namun semakin kerap doktor merawat pesakit yang lebih muda.

Oleh itu, setiap individu tanpa mengira usia perlu peka terhadap tanda strok dan mengambil langkah mengurangkan risikonya.

Jika seseorang yang muda menunjukkan gejala strok, usah pandang ringan.

Segera hubungi ambulans, kerana strok boleh berlaku kepada golongan muda.

Faktor Risiko dan Peningkatan Kes Anak Muda

Faktor risiko strok boleh dibahagikan kepada dua kumpulan – faktor yang tidak boleh diubah seperti usia, baka, atau sejarah keluarga, dan faktor yang boleh diubah melalui gaya hidup dan rawatan.

Antara faktor boleh diubah, tekanan darah tinggi adalah yang paling penting dan sering digelar sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana ia tidak menunjukkan gejala dan hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan berkala.

Penyakit metabolik seperti darah tinggi, kencing manis, obesiti semakin membimbangkan kerana semakin banyak dikesan pada usia muda.

Ia berpunca daripada gaya hidup tidak aktif, pemakanan tidak sihat, dan kurang bersenam.

Perubahan itu telah menyebabkan peningkatan kes angin ahmar dalam kalangan mereka berusia 30-an, 40-an, dan 50-an tahun – kumpulan umur yang sebelum ini jarang dikaitkan dengan strok.

Satu kajian di Singapura terhadap pesakit strok muda mendapati darah tinggi merupakan faktor risiko paling biasa (56.2 peratus); diikuti kolesterol tinggi (42 peratus); tabiat merokok (33.7 peratus); kencing manis, (29.7 peratus) dan obesiti (18.5 peratus).

Faktor lain termasuk kurang kegiatan fizikal dan pemakanan tidak seimbang.

Berita baiknya, sehingga 80 peratus kes strok boleh dicegah dengan langkah yang betul.

Ini termasuk mengamalkan gaya hidup sihat, seperti bersenam, berhenti merokok, menjaga pemakanan seimbang, dan menjalani saringan kesihatan awal untuk mengesan tekanan darah tinggi, kolesterol, atau kencing manis yang sering tidak menunjukkan tanda awal.

Setelah didiagnosis, amat penting untuk mengawal penyakit itu dengan rawatan dan pemeriksaan susulan.

Pencegahan bukan sahaja mengurangkan risiko strok sepanjang hayat, malah boleh melambatkan kemunculannya.

Sekalipun seseorang akhirnya mengalami strok, menangguhkannya dari usia 50-an atau 60-an ke 80-an atau 90-an bermaksud puluhan tahun kehidupan lebih bermutu tanpa ketidakupayaan.

Bagi golongan muda, strok memberi kesan sosioekonomi yang besar kerana ia boleh menyebabkan ketidakupayaan kekal dalam tempoh paling produktif dalam kehidupan mereka.

Antara kesannya ialah kelemahan fizikal, gangguan kognitif, perubahan emosi, dan kehilangan keupayaan bekerja.

Kenali Tanda Strok Dengan Akronim FAST

Akronim FAST kekal sebagai cara paling berkesan untuk membantu orang ramai mengenali tanda strok dengan cepat.

Ia mudah diingati dan boleh dilaksanakan segera.

Ini sangat penting kerana strok ialah kecemasan perubatan dan setiap minit amat berharga.

FAST membawa maksud:

F – Face (Muka): Salah satu bahagian muka mungkin terlendut atau menjadi kebas. Minta individu tersenyum dan lihat sama ada senyumannya tidak seimbang.

A – Arm (Lengan): Kelemahan atau rasa kebas pada satu lengan. Jika kededua lengan diangkat, satu mungkin jatuh ke bawah.

S – Speech (Pertuturan): Pertuturan mungkin menjadi tidak jelas, atau pesakit sukar menyebut perkataan serta memahami percakapan orang lain.

T – Time (Masa untuk bertindak): Jika anda melihat mana-mana tanda ini, walaupun hanya satu, hubungi 995 segera agar pesakit dapat dibawa ke hospital yang bersedia merawat serangan strok.

Dua salah tanggapan umum perlu dijelaskan.

Pertama, tidak perlu menunggu semua tanda muncul untuk mengesyaki strok – satu tanda sahaja sudah mencukupi untuk bertindak.

Kedua, jangan abaikan gejala walaupun ia pulih sepenuhnya.

Ini kerana ia mungkin petanda Serangan Iskemik Sepintas atau Transient Ischaemic Attack (TIA) juga dikenali sebagai ‘mini-strok’.

TIA memberi amaran awal bahawa strok lebih serius boleh berlaku kemudian.

Akhirnya, FAST memberi kuasa kepada orang ramai bukan sahaja untuk mengenal pasti strok, bahkan juga untuk bertindak segera dengan memanggil ambulans supaya rawatan dapat dimulakan secepat mungkin.

Salah Tanggap Tentang Strok Boleh Melambat Rawatan

Salah tanggapan memainkan peranan besar dalam kelewatan rawatan.

Ramai pesakit tidak menyedari gejala yang dialami ialah strok, dan menganggapnya berpunca daripada masalah lain.

Ada juga yang tidak tahu rawatan kecemasan tersedia dan perlu diberikan secepatnya agar lebih berkesan.

Sikap menafikan keadaan juga biasa berlaku.

Sesetengah pesakit berharap gejala akan hilang sendiri.

Sering kali pesakit memilih untuk tidur, mengambil ubat seperti Paracetamol, atau mencuba rawatan tradisional dengan harapan keadaan mereka akan pulih sendiri.

Ada juga yang menunggu ahli keluarga pulang kerana tidak mahu menimbulkan panik.

Malangnya, berbaring dan menunggu adalah tindakan paling berbahaya, kerana setiap minit yang berlalu bermakna semakin banyak tisu otak berisiko rosak kekal.

Memandangkan strok boleh menjejas keupayaan pesakit mengenali gejala atau meminta bantuan, peranan ahli keluarga atau orang sekeliling amat penting untuk mengenal pasti tanda strok dan segera memanggil ambulans.

Tindakan Segera Penjaga, Keluarga Apabila Melihat Tanda

Huruf ‘T’ dalam FAST bermaksud ‘Masa untuk bertindak’. Di Singapura, hubungi 995 dengan segera.

Sementara menunggu ambulans tiba, ahli keluarga atau saksi harus memastikan keselamatan pesakit. Antara langkah penting ialah:

Pastikan keselamatan: Letakkan pesakit di tempat selamat agar tidak terjatuh atau cedera semasa episod strok.

Jangan berikan apa-apa melalui mulut: Elak memberi makanan, minuman, atau air walaupun sedikit, kerana strok boleh menjejas keupayaan menelan dan menyebabkan cecair masuk ke saluran pernafasan, meningkatkan risiko komplikasi serius.

Elak beri ubat: Walaupun ubat seperti aspirin kelihatan ringan, ia tidak sepatutnya diberikan tanpa arahan doktor.

Catat maklumat penting: Jika boleh, sediakan senarai ubat yang sedang diambil pesakit untuk membantu pasukan kecemasan membuat penilaian dan rawatan segera.

Langkah paling penting ialah menghubungi 995 dengan segera, supaya paramedik terlatih dapat membawa pesakit ke hospital yang mempunyai kemudahan rawatan strok akut.

Setiap minit yang dijimatkan meningkatkan peluang pemulihan.

Ramai beranggapan memadai pergi ke klinik keluarga atau poliklinik untuk mendapatkan nasihat, tetapi ini boleh menyebabkan kelewatan tambahan, kerana kemudahan tersebut tidak mempunyai peralatan untuk imbasan otak segera atau rawatan strok kecemasan.

Tindakan yang betul ialah menghubungi 995 dan terus ke jabatan kecemasan hospital.

Tingkat Kesedaran dan Sistem Sokongan

Kesedaran ialah kunci utama.

Walaupun kempen awam sudah dijalankan, orang ramai perlu aktif menyebarkan mesej ini melalui media sosial atau perbualan harian, kerana penting untuk semua mengenali tanda strok dan bertindak segera.

Anda mungkin menyelamatkan diri sendiri, atau orang lain, hanya dengan membuat panggilan ambulans.

Pada peringkat masyarakat, organisasi sokongan strok memainkan peranan penting dalam pendidikan dan sokongan.

Contohnya, Persatuan Strok Negara Singapura menganjurkan acara tahunan Langkah Harapan untuk Strok manakala Stesen Sokongan Strok mengadakan program kesedaran sempena Hari Strok Sedunia pada Oktober.

Pusat masyarakat juga membantu menyebarkan maklumat tentang pencegahan dan pengenalan gejala.

Dari segi sistem kesihatan, Singapura mempunyai rangka kerja kukuh untuk rawatan strok segera, namun proses itu sentiasa dikaji dan diperbaharui agar selaras dengan bukti klinikal terkini.

Matlamatnya ialah memastikan pesakit mendapat ubat dan rawatan yang terbaik secepat mungkin termasuk mempercepat imbasan otak, memulakan rawatan tanpa berlengah, dan memperkemas aliran kerja agar setiap pesakit dapat menerima campur tangan penyelamat nyawa tanpa penangguhan yang tidak perlu.

Penulis Perunding Kanan, Institut Neurosains Kebangsaan (NNI).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg