Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asas sokongan tubuh manusia

Jun 23, 2025 | 5:30 AM
Tulang belakang adalah salah satu bahagian paling penting dalam tubuh. Tulang belakang memberi sokongan dan struktur dan tanpanya, anda tidak dapat berdiri atau mengekalkan keseimbangan.
Tulang belakang adalah salah satu bahagian paling penting dalam tubuh. Tulang belakang memberi sokongan dan struktur dan tanpanya, anda tidak dapat berdiri atau mengekalkan keseimbangan. - Foto ISTOCKPHOTO

Tulang belakang merupakan struktur tulang yang sangat penting dalam tubuh manusia.

Ia bukan sekadar menyokong tubuh untuk berdiri tegak, bahkan ia turut memainkan peranan utama dalam membolehkan kita bergerak, duduk, berjalan, membongkok dan berpusing.

Tulang belakang menghubungkan pelbagai bahagian dalam sistem muskuloskeletal iaitu rangka tulang dan otot manusia, serta melindungi salah satu struktur paling penting dalam tubuh – iaitu saraf tunjang.

Apakah Itu Tulang Belakang?

Tulang belakang ialah satu lajur panjang terdiri daripada 33 ruas tulang (dipanggil vertebra). Ia bermula dari pangkal tengkorak di leher hingga ke tulang ekor di dasar pelvis.

Setiap ruas tulang itu bertindak seperti batu bata yang tersusun dan disokong oleh tisu lembut seperti cakera intervertebra, sendi faset, ligamen, otot, serta saraf tunjang yang melalui saluran khas di tengahnya.

Tulang belakang yang sihat mempunyai tiga lengkungan semula jadi yang membentuk huruf “S” apabila dilihat dari sisi.

Lengkungan itu bertindak sebagai penyerap hentakan semula jadi bagi mengurangkan tekanan ke atas setiap ruas dan membantu dalam keseimbangan badan.

Fungsi Utama Tulang Belakang

Tulang belakang mempunyai empat fungsi utama. Pertama, ia memberi bentuk dan struktur kepada tubuh, membolehkan kita berdiri tegak dengan postur yang betul.

Kedua, ia menyokong berat badan dan membolehkan pelbagai jenis pergerakan.

Ketiga, ia melindungi saraf tunjang – laluan isyarat antara otak dengan seluruh tubuh.

Keempat, ia membenarkan fleksibiliti, seperti membongkok, berpusing dan membengkokkan badan.

Segmen Tulang Belakang

Servikal – Leher, bolehkan kepala berpusing dan menunduk.

Toraks – Tumpuan tulang rusuk, lengkung ke belakang (kifosis).

Lumbar – Tanggung berat badan dan beban angkat.

Sakrum – Vertebra bercantum, hubungkan tulang pinggul.

Koksiks – Tulang tongkeng (empat tulang bercantum).

Bahagian Penting Tulang Belakang

Vertebra (ruas tulang): Terdapat 33 vertebra dalam tulang belakang, yang membentuk terowong dikenali sebagai saluran spina untuk melindungi saraf tunjang.

Sebahagian besar vertebra boleh bergerak, manakala beberapa vertebra paling bawah (sakrum dan koksiks) telah bercantum dan tidak bergerak.

Cakera intervertebra: Di antara setiap vertebra terdapat cakera leper berbentuk bulat yang berfungsi sebagai penyerap hentakan.

Cakera itu mengandungi bahagian tengah seperti gel yang dikenali sebagai nukleus pulposus dan dikelilingi cincin luar yang lebih keras dikenali sebagai anulus fibrosus.

Sendi faset: Sendi ini membolehkan pergerakan antara tulang belakang dengan disalut dengan rawan licin untuk mengelakkan geseran. Ia membenarkan kita berpusing dan menambah kestabilan.

Saraf tunjang dan akar saraf: Saraf tunjang terdiri daripada beribu-ribu gentian saraf. Ia bermula dari pangkal otak dan turun ke bawah pinggang. Dari situ, 31 pasang saraf bercabang keluar ke seluruh tubuh.

Tisu lembut: Ligamen menyambungkan satu vertebra dengan vertebra lain. Otot memberikan sokongan kepada tulang belakang dan membantu pergerakan. Tendon pula menyambungkan otot ke tulang dan mengelakkan kecederaan semasa bergerak.

Masalah biasa: Sakit belakang, leher, cakera teranjak, isu sendi artrosis, spondilosis, skoliosis, kifosis, osteoporosis, patah tulang dan kecederaan saraf tunjang.

Tanda perlu awas: Sakit tidak reda, kebas anggota, lemah otot, hilang kawalan kencing/usus.

Jagaan dan Pencegahan

Untuk mengekalkan tulang belakang yang sihat, penting untuk menguatkan otot teras melalui senaman berkala.

Pastikan postur sentiasa betul ketika duduk dan berdiri. Elakkan membongkok terlalu lama dan gunakan teknik yang betul ketika mengangkat barang.

Kekalkan berat badan ideal, dan berhenti merokok kerana ia menjejas bekalan darah ke cakera tulang belakang.

Rawatan Umum: Fisioterapi, urutan terapeutik, akupunktur. Ubat antiradang dan meredakan otot.

Suntikan epidural atau blok saraf bagi kes kronik. Pembedahan merupakan pilihan terakhir.

Bila Perlu Jumpa Doktor?

Anda perlu mendapatkan pemeriksaan jika alami:

Sakit belakang yang disertai demam

Lemah kaki atau tangan

Kehilangan kawalan buang air

Kesakitan yang tidak hilang selepas berehat atau rawatan biasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg