Semakin ramai wanita kini memilih latihan kekuatan bukan semata-mata untuk penampilan, tetapi demi kesihatan jangka panjang, keupayaan fizikal dan ketahanan mental.
Pakar kecergasan dan pengasas gim wanita yang ditemu bual Berita Minggu berkata mereka menyaksikan perubahan ketara dalam motivasi dan demografik wanita yang bersenam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Golongan wanita daripada remaja hingga warga emas semakin cenderung kepada latihan rintangan dan kegiatan mengangkat berat untuk membina kekuatan, meningkatkan keyakinan diri serta menyokong kesihatan fizikal dan mental mereka.
Di FitFab yang diasaskan oleh personaliti media Cik Haslinda Ali, wanita dari pelbagai peringkat usia menyertai senaman yang menumpukan kepada kekuatan dan fungsi tubuh.
“Ramai ibu dan nenek datang ke kelas. Ada yang tak mampu buat tekan tubi dulu, tapi sekarang dah boleh angkat berat dan buat squat dengan yakin. Ia bukan soal saiz (badan), tapi kepercayaan pada diri (kekuatan) sendiri,” kata Cik Haslinda.
Begitu juga di Glowco Move, gim dan jenama pakaian aktif wanita Muslimah yang diasaskan oleh Cik Nawal Alhaddad, yang menyediakan ruang terangkum dan selamat untuk wanita, terutama dari latar belakang konservatif meneroka dunia kecergasan.
“Selepas pandemik, wanita semakin prihatin tentang kesihatan. Latihan kekuatan beri rasa kawalan dan keyakinan. Ia bukan lagi sekadar untuk kelihatan kurus, tetapi supaya mereka boleh dukung anak tanpa sakit belakang, atau hadapi kehamilan dan pemulihan dengan lebih kuat,” kata Cik Nawal.
Menurutnya, Glowco bukan sahaja menyediakan ruang senaman mesra wanita, malah memperjuangkan gaya hidup aktif dan selesa untuk wanita Muslimah.
“Kami mahu wanita rasa mereka boleh bergerak bebas, tanpa rasa dihakimi,” tambahnya.
Amore Fitness, gim khas untuk wanita yang telah lama bertapak di Singapura, melaporkan peningkatan ketara dalam keanggotaan wanita sejak pandemik.
Kelas popular termasuk latihan fungsian (functional training) dan senaman Pilates jenis ‘reformer’ yang tertumpu kepada kekuatan.
“Wanita kini semakin kurang bergantung kepada senaman kardio semata-mata. Mereka mula angkat berat, fokus pada mobiliti dan kesihatan jangka panjang,” kata pengarah Amore, Encik Lim Kian Leong.
Malah, peralatan di Amore telah diubah suai untuk lebih mesra wanita, seperti barbel dengan cengkaman lebih nipis dan palang tarik tubi yang lebih rendah.
Di RX Performance, sebuah gim yang memberi tumpuan kepada kekuatan, wanita kini membentuk kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan anggota, peningkatan 10 peratus dalam setahun.
“Ramai datang untuk bina keupayaan fizikal, jaga kesihatan mental dan bersedia hadapi kehamilan atau penuaan,” kata salah seorang jurulatih.
Program Legends di gim itu khusus untuk mereka yang lebih dewasa dengan tumpuan kepada keseimbangan, kekuatan otot dan pergerakan.
Walaupun wanita dari lingkungan usia 30-an hingga 50-an masih merupakan kumpulan utama di gim, semakin ramai golongan muda dan pelajar turut menyertai.
Namun begitu, mitos lama masih wujud.
“Ramai wanita takut badan jadi besar kalau angkat berat,” kata Cik Haslinda.
“Sebenarnya latihan kekuatan bantu kurangkan lemak, seimbangkan hormon, dan cegah masalah tulang, semua ini penting apabila usia meningkat.”
Encik Lim menambah bahawa kesihatan mental juga menjadi motivasi utama.
“Ramai wanita bersenam untuk kurangkan tekanan dan tingkatkan mood. Kami juga gembira lihat ibu dan anak, malah warga emas 70-an tahun, bersenam dengan penuh semangat.”
Untuk wanita yang baru ingin mula bersenam, nasihatnya jelas – mulakan perlahan, kekal konsisten dan cari jenis senaman yang disukai.
“Jangan bandingkan diri anda dengan orang lain. Setiap perjalanan adalah unik,” kata Encik Lim lagi.
“Walaupun hanya 20 minit senaman, ia satu langkah ke depan. Kekuatan itu bermula dari keberanian untuk mencuba,” tambah Cik Nawal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg