Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakal dibenar pulang ke S’pura setelah 2 bulan di hospital Madrid

Dijadual terbang naik pesawat komersial diiringi doktor dan tangki oksigen; meski awalnya dikatakan punya harapan tipis untuk hidup susulan serangan jantung ketika melancong
Jun 5, 2025 | 5:30 AM
Siti Dahlia Mohd Dali, serangan jantung, Madrid, Sepanyol, ICU
Cik Siti Dahlia Mohd Dali, 61 tahun, yang mengalami serangan jantung ketika sedang bercuti dengan suami, Encik Mohd Nordin Varijan, 63 tahun, di Madrid, Sepanyol pada 30 April, akhirnya dibenarkan keluar dari Unit Jagaan Rapi (ICU) pada 28 Mei. - Foto NURUL HAZIQAH MOHD NORDIN

Setelah hampir dua bulan dirawat di sebuah hospital di Madrid, Sepanyol, susulan serangan jantung semasa bercuti bersama suami, Cik Siti Dahlia Mohd Dali, dibenarkan keluar dari Unit Jagaan Rapi (ICU) pada 28 Mei dan meneruskan rawatan di wad biasa.

Awalnya, pakar perubatan menyifatkan Cik Siti Dahlia, 61 tahun, hanya mempunyai harapan tipis untuk hidup.

Beliau perlu bergantung pada mesin penyambung nyawa, beberapa organnya dikatakan tidak berfungsi dan proses bagi mendapatkan maklumat tentang pengebumian di luar negara sudah bermula dengan anggota keluarga lain turut terbang ke Madrid untuk berada di sisinya.

Namun kini, bukan sahaja beliau dirawat di wad biasa, malah perkembangan tahap kesihatannya yang memberangsangkan bakal membolehkan beliau menaiki pesawat seperti biasa berbanding ambulans udara yang dijangka sebelum ini, kata anak bongsunya, Cik Nurul Haziqah Mohd Nordin, 25 tahun.

Meskipun bakal menaiki pesawat komersial dan dijadual terbang pulang pada 10 atau 11 Jun, Cik Siti Dahlia, perlu diiringi seorang doktor di samping membawa tangki oksigen dalam penerbangan yang dijangka memakan masa sekitar 16 jam termasuk transit.

Dalam jawapannya melalui e-mel, guru prasekolah yang bersama ayahnya, Encik Mohd Nordin Varijan, 63 tahun, dan menjadi peneman ibunya di Hospital Clinico Universitario San Carlo, di Madrid, berkata:

“Mak sudah sedar sekarang dan kadang-kadang apabila beliau melihat Ayah dan saya berjalan ke arahnya, Mak akan tersenyum dan melambai ke arah kami.

“Tiada lagi wayar-wayar yang disambung pada Mak seperti dulu dan Mak tidak perlu lagi bergantung pada ventilator...

“Mak dah boleh duduk, regangkan semua tangan, kaki dan jemari, bongkok ke depan dan menggerakkan kepala ke kiri dan kanan.”

Malah, beliau sudah mula makan makanan pepejal yang lebih lembut seperti roti dan jem cecah susu, buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Saya dapat melihat peningkatan ketara pada keadaan Mak. Untuk memberikan peratusan, saya boleh katakan mungkin dalam 70 hingga 75 peratus (berbanding keadaan sebelum ini apabila terdapat banyak mesin dan wayar pada ibunya).

“Doktor kata Mak masih perlu meneruskan rawatan, pemantauan dan fisioterapi apabila Mak kembali ke hospital di Singapura...,” tambah Cik Nurul Haziqah, yang mendapatkan penginapan sementara melalui laman web, Airbnb atau Booking.com, dengan jarak 10 minit berjalan kaki ke hospital.

Pasangan ayah dan anak itu akan berkunjung ke hospital setiap hari dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari dan dari 6 petang hingga 7.30 malam – masa yang dibolehkan oleh pihak hospital.

Cik Siti Dahlia, suri rumah, yang juga ibu dua anak perempuan, berlepas ke Madrid bersama suami yang merupakan seorang pesara, pada malam 28 April.

Pasangan itu dijadual pulang ke Singapura pada 9 Mei setelah bercuti di Sepanyol dan Maghribi selama 12 hari.

Namun, Cik Siti Dahlia, yang tidak punya sebarang masalah kesihatan sebelum ini, malah kerap melancong bersama keluarganya, tiba-tiba mengalami serangan jantung dan dikejarkan ke hospital di Madrid pada 30 April – kejadian yang mengejutkan seisi keluarga.

“Menurut doktor, Mak tidak dapat mengingati peristiwa pahit itu. Malah, Mak tidak dapat ingat hari kami menghantar Mak dan Ayah di lapangan terbang, walaupun saya menunjukkan gambar-gambar yang kami ambil bersama.

“Apabila saya bertanya kepadanya sama ada Mak ingat atau mendengar kami ketika kami datang dan melawatnya, Mak juga tidak ingat. Mak cuma ingat Haris (anak saudara rapatnya) ada di situ apabila Mak terjaga...”

Buat masa ini, keluarga itu sedang menanti pengesahan daripada doktor dan pihak insurans berhubung keperluan perubatan Cik Siti Dahlia sebelum beliau dibenarkan terbang balik ke Singapura.

Menurut Cik Nurul Haziqah, pengalaman yang dilalui ibunya itu membawa pengajaran berharga.

“Saya berpendapat adalah amat penting untuk kita semua belajar cara memberi bantuan CPR (pernafasan kecemasan)...

“Ayah kata doktor ada menyebut jika tidak kerana CPR yang diberikan pada detik genting itu, keadaan Mak mungkin jauh berbeza, malah lebih teruk berbanding sekarang.

“Saya percaya mempelajari cara memberikan bantuan CPR amat penting dan ia kemahiran sangat berharga, kerana kita tidak akan tahu bila kita diperlukan untuk melakukannya...,” tambah Cik Nurul Haziqah, tentang tindakan pantas seorang jururawat yang turut menyertai rombongan ibunya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg