Ramai menganggap pembedahan mengecilkan buah dada sebagai prosedur kecantikan untuk memperbaiki penampilan wanita.

Hakikatnya, rawatan itu juga boleh menjadi keperluan perubatan bagi mereka yang bertahun-tahun menanggung kesakitan akibat saiz buah dada terlalu besar.

Bagi sesetengah wanita, berat buah dada yang berlebihan bukan sekadar menyukarkan mereka mencari pakaian yang sesuai, malah boleh menyebabkan sakit leher, bahu dan belakang yang berpanjangan, mengganggu postur badan serta mengehadkan pergerakan harian.

Ada yang tidak mampu berlari atau melakukan senaman dengan selesa, manakala sebahagian lagi mengalami masalah kulit, kebas pada tangan dan kesukaran menjalankan kegiatan biasa.

Menurut pakar bedah plastik dari Argent Plastic Surgery di Hospital Mount Alvernia, Dr Lee Hanjing, keadaan buah dada terlalu besar, yang dikenali dalam istilah perubatan sebagai makromastia, boleh memberi kesan ketara terhadap kesihatan fizikal dan kesejahteraan emosi wanita.

Beliau berkata pembedahan mengecilkan buah dada, atau reduction mammoplasty, dilakukan dengan membuang lebihan tisu, lemak dan kulit bagi mengurangkan saiz serta berat buah dada.

Prosedur itu turut melibatkan pembentukan semula buah dada dan penyesuaian kedudukan puting supaya seimbang dengan bentuk tubuh pesakit.

“Tidak seperti kebanyakan prosedur kosmetik, pembedahan mengecilkan buah dada lazimnya dilakukan atas sebab perubatan.

“Wanita yang mempunyai buah dada terlalu besar dan berat sering mengalami masalah fizikal serta tekanan emosi yang ketara, dan keadaan itu tidak semestinya dapat diatasi melalui fisioterapi, penggunaan coli sokongan khas atau pengawalan berat badan,” jelas beliau.

Menurut Dr Lee, matlamat utama pembedahan tersebut bukan sekadar menghasilkan buah dada lebih kecil, tetapi mengurangkan ketidakselesaan dan membantu pesakit menjalani kehidupan lebih aktif.

Beliau menjelaskan bahawa berat buah dada yang berlebihan boleh memberi tekanan berterusan pada leher, bahu dan bahagian atas belakang.

Keadaan itu boleh menyebabkan sakit kronik yang berlarutan selama bertahun-tahun, terutama apabila pesakit terpaksa menanggung berat buah dada ketika berdiri, berjalan atau melakukan kegiatan fizikal.

Sesetengah wanita juga mengalami kesan lekukan yang menyakitkan pada bahu akibat tali coli yang menekan kulit kerana perlu menyokong buah dada yang berat.

Selain itu, bahagian lipatan kulit di bawah buah dada boleh mengalami ruam, kerengsaan dan jangkitan kulat akibat kelembapan serta geseran berterusan.

Dalam keadaan tertentu, pesakit mungkin mengalami perubahan postur badan, termasuk bahu yang semakin membongkok ke hadapan.

Tekanan terhadap postur badan juga boleh menyebabkan rasa kebas, mencucuk atau ketidakselesaan pada lengan dan tangan.

Dr Lee berkata kesan masalah tersebut bukan hanya fizikal kerana sesetengah wanita turut kehilangan keyakinan diri, berasa malu dengan bentuk tubuh atau mengelakkan kegiatan sosial dan sukan.

Mereka juga mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan pakaian yang sesuai dengan bentuk badan.

Beliau menegaskan wanita yang mengalami gejala sedemikian wajar mendapatkan pemeriksaan perubatan, tanpa mengira saiz buah dada mereka.

Wanita yang mengalami masalah akibat buah dada terlalu besar boleh mendapatkan nasihat doktor tanpa mengira saiz buah dada mereka.

Tanggapan salah masyarakat Asia

Menurut Dr Lee, beberapa tanggapan salah mengenai buah dada besar masih wujud dalam masyarakat Singapura dan negara Asia lain.

Antaranya, anggapan bahawa wanita Asia secara umum tidak mempunyai buah dada besar atau wanita Cina tidak memerlukan pembedahan mengecilkan buah dada.

Menurutnya, saiz buah dada berbeza antara individu dan dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk keturunan, hormon serta komposisi tubuh.

Masalah buah dada terlalu besar boleh berlaku kepada wanita daripada semua kaum, termasuk Melayu, Cina dan India.

Satu lagi tanggapan salah adalah buah dada besar hanya dialami wanita yang mempunyai berat badan berlebihan.

Dr Lee menjelaskan bahawa wanita yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) dalam lingkungan sihat juga boleh memiliki buah dada besar secara semula jadi.

Beliau berkata faktor keturunan merupakan antara penyebab paling lazim kerana saiz buah dada sering mempunyai kaitan dengan ciri fizikal ahli keluarga.

Perubahan hormon ketika akil baligh, kehamilan dan putus haid turut boleh merangsang pertumbuhan tisu buah dada.

Pertambahan berat badan boleh menyebabkan buah dada membesar kerana sebahagian daripadanya terdiri daripada tisu lemak.

Dalam kes tertentu, ubat-ubatan atau keadaan perubatan yang jarang berlaku boleh menyebabkan pembesaran buah dada secara luar biasa.

Bagaimanapun, bagi ramai wanita, tiada satu punca khusus yang dapat dikenal pasti.

Dr Lee turut menolak tanggapan bahawa memiliki buah dada besar sentiasa memberikan kelebihan kepada wanita.

Walaupun sesetengah pihak menganggapnya menarik dari sudut penampilan, bagi wanita yang mengalami kesakitan, keadaan itu boleh menjadi beban fizikal dan emosi.

Beliau berkata anggapan bahawa wanita yang mengadu sakit akibat buah dada besar sekadar membesar-besarkan masalah mereka juga tidak tepat.

Menurutnya, masalah fizikal akibat buah dada terlalu besar boleh menjejas kegiatan harian, postur badan dan kesejahteraan mental.

Tanggapan bahawa pembedahan mengecilkan buah dada semata-mata bertujuan memperbaiki penampilan boleh menyebabkan sesetengah wanita teragak-agak mendapatkan rawatan.

Siapakah yang sesuai jalani pembedahan?

Menurut Dr Lee, wanita yang sesuai menjalani pembedahan mengecilkan buah dada biasanya mengalami gejala fizikal yang berkaitan secara langsung dengan saiz dan berat buah dada.

Mereka juga perlu berada dalam keadaan kesihatan yang baik serta tidak mempunyai masalah perubatan yang menjadikan penggunaan bius penuh terlalu berisiko.

Pesakit perlu memahami bahawa pembedahan akan meninggalkan parut kekal dan mempunyai jangkaan yang munasabah mengenai hasil rawatan.

Dr Lee berkata wanita yang merokok perlu bersedia menghentikan tabiat tersebut sebelum dan selepas pembedahan kerana merokok boleh mengganggu penyembuhan luka serta meningkatkan risiko komplikasi.

Berat badan yang stabil juga penting kerana perubahan berat badan yang ketara selepas pembedahan boleh menjejas hasilnya.

Walaupun tiada had umur minimum yang ketat, pembedahan secara umum lebih sesuai dilakukan selepas perkembangan buah dada selesai.

Bagi wanita yang merancang untuk hamil, keputusan menjalani pembedahan perlu dibuat selepas mempertimbangkan kemungkinan perubahan bentuk buah dada semasa kehamilan dan penyusuan.

Setiap pesakit akan dinilai secara individu sebelum doktor menentukan sama ada prosedur itu sesuai.

Ketika konsultasi awal, doktor akan meneliti sejarah kesihatan, gejala yang dialami serta matlamat pesakit.

Pemeriksaan fizikal dilakukan bagi menilai bentuk dan keadaan buah dada, selain menentukan jumlah tisu yang mungkin perlu dibuang.

Di Argent Plastic Surgery, gambar tiga dimensi turut diambil menggunakan kamera khas bagi membantu doktor dan pesakit membincangkan kemungkinan hasil pembedahan dengan lebih jelas.

Pesakit juga digalak membawa laporan pemeriksaan mamogram atau imbasan ultrabunyi buah dada yang pernah dilakukan.

Menurut Dr Lee, konsultasi awal turut memberikan peluang kepada pesakit mendapatkan penjelasan mengenai risiko bius, parut pembedahan, kos rawatan, perlindungan insurans dan tempoh pemulihan.

Pembedahan ambil masa dua hingga empat jam

Pembedahan mengecilkan buah dada biasanya mengambil masa antara dua hingga empat jam, bergantung pada jumlah tisu yang perlu dibuang dan keadaan tubuh pesakit.

Prosedur tersebut dilakukan menggunakan bius penuh dan lazimnya boleh dijalankan sebagai pembedahan harian.

Menurut Dr Lee, pakar bedah terlebih dahulu membuat potongan pada kulit buah dada untuk mendapatkan akses kepada tisu di bahagian dalam.

Corak potongan ditentukan berdasarkan jumlah pengurangan saiz yang diperlukan serta lebihan kulit yang perlu dibuang.

Pakar bedah kemudian membuang lebihan tisu kelenjar, lemak dan kulit sebelum membentuk semula buah dada supaya lebih seimbang dengan tubuh pesakit.

Dalam sesetengah kes, kaedah sedut lemak turut digunakan bagi membuang lebihan lemak di bahagian tepi buah dada atau dada.

Puting buah dada kemudian dialihkan ke kedudukan lebih tinggi supaya sesuai dengan bentuk buah dada yang baharu.

Dalam kebanyakan pembedahan, puting masih disambung kepada bekalan darah dan saraf asal bagi mengurangkan risiko kerosakan tisu.

Namun, bagi pembedahan yang memerlukan pengurangan saiz sangat besar, puting mungkin perlu dipisahkan sepenuhnya sebelum dipindahkan semula ke kedudukan baharu.

Selepas bentuk yang diinginkan diperoleh, luka pembedahan ditutup menggunakan jahitan.

Dalam keadaan tertentu, tiub saliran sementara dipasang bagi mengeluarkan lebihan cecair dan mengurangkan risiko pengumpulan cecair di bawah kulit.

Pesakit juga akan dipakaikan coli sokongan khas selepas pembedahan.

Parut kekal antara perkara perlu difahami

Dr Lee menegaskan bahawa semua pembedahan mengecilkan buah dada akan meninggalkan parut kekal.

Bagaimanapun, lokasi dan keluasan parut bergantung pada teknik pembedahan serta jumlah tisu yang dibuang.

Bagi pengurangan saiz yang besar, pakar bedah mungkin menggunakan teknik potongan berbentuk sauh, yang melibatkan kawasan sekeliling puting, potongan menegak ke bawah dan potongan melintang di lipatan bawah buah dada.

Teknik ini membolehkan lebih banyak tisu dibuang dan buah dada dibentuk semula, tetapi meninggalkan parut lebih luas.

Bagi pengurangan sederhana, teknik potongan menegak yang menyerupai bentuk lolipop boleh digunakan.

Sementara itu, pengurangan kecil mungkin hanya memerlukan potongan di sekeliling kawasan puting, sekali gus menghasilkan parut yang kurang ketara.

Menurut Dr Lee, parut biasanya semakin pudar dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.

Rawatan penjagaan parut, termasuk penggunaan gel silikon dan perlindungan daripada cahaya matahari, boleh membantu memperbaiki penampilannya.

Rawatan laser tetap ada risiko

Rawatan laser juga mungkin disarankan selepas luka sembuh sepenuhnya bagi mengurangkan kemerahan, perubahan warna dan penebalan parut.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa seperti pembedahan besar lain, prosedur tersebut tetap mempunyai risiko.

Antaranya termasuk pendarahan, jangkitan luka, tindak balas terhadap bius, perubahan deria pada puting dan perbezaan bentuk antara kedua-dua buah dada.

Sesetengah pesakit juga mungkin mengalami luka yang lambat sembuh atau pembentukan parut tebal dan keloid.

Dalam kes yang jarang berlaku, gangguan bekalan darah boleh menyebabkan kerosakan tisu puting, malah kehilangan sebahagian atau keseluruhan puting.

Oleh itu, pesakit perlu memahami risiko sebelum membuat keputusan menjalani pembedahan.

Tempoh pemulihan berbeza antara pesakit.

Dr Lee berkata kebanyakan pesakit boleh pulang pada hari yang sama selepas pembedahan, bergantung pada keadaan kesihatan dan proses pemulihan awal mereka.

Dalam tempoh satu hingga dua minggu pertama, pesakit biasanya mengalami bengkak, lebam dan ketidakselesaan ringan yang boleh dikawal menggunakan ubat tahan sakit.

Mereka juga perlu memakai coli sokongan khas sepanjang tempoh pemulihan awal.

Pesakit yang bekerja di pejabat atau melakukan tugas yang tidak memerlukan banyak pergerakan lazimnya boleh kembali bekerja dalam tempoh seminggu dua.

Selepas dua hingga empat minggu, bengkak biasanya semakin berkurangan dan kegiatan ringan boleh dilakukan secara beransur-ansur.

Senaman pula lazimnya dibenarkan selepas sekitar enam minggu, bermula dengan kegiatan berintensiti rendah sebelum ditingkatkan secara berperingkat.

Menurut Dr Lee, bentuk buah dada yang lebih stabil dan hasil pembedahan biasanya dapat dinilai selepas tiga hingga enam bulan.

Bagaimanapun, pesakit tetap perlu menghadiri pemeriksaan susulan bagi memastikan luka sembuh dengan baik dan sebarang komplikasi dapat dikenal pasti lebih awal.

Pembedahan boleh jejas penyusuan bayi

Bagi wanita yang masih merancang untuk mempunyai anak, Dr Lee berkata kesan pembedahan terhadap penyusuan bayi merupakan antara perkara paling penting yang perlu dipertimbangkan.

Ini kerana pembedahan mengecilkan buah dada melibatkan pembuangan sebahagian tisu kelenjar yang berfungsi menghasilkan susu.

Oleh itu, keupayaan menyusukan bayi mungkin terjejas, bergantung pada jumlah tisu yang dibuang dan teknik pembedahan yang digunakan.

Walaupun ramai wanita masih boleh menyusukan bayi selepas menjalani prosedur tersebut, keupayaan itu tidak dapat dijamin.

Bagaimanapun, Dr Lee menjelaskan bahawa pembedahan mengecilkan buah dada tidak menjejas kesuburan atau keupayaan wanita untuk hamil.

Kehamilan dan penyusuan selepas pembedahan bagaimanapun boleh mengubah semula saiz, bentuk serta keadaan kulit buah dada.

Atas sebab itu, sesetengah pakar bedah menyarankan wanita yang belum selesai merancang keluarga supaya mempertimbangkan untuk menangguhkan prosedur tersebut.

Namun, keputusan itu bergantung pada keadaan kesihatan, tahap kesakitan dan keperluan individu.

Dr Lee berkata hasil pembedahan secara umum bertahan lama kerana tisu, lemak dan kulit yang dibuang tidak akan kembali dengan sendirinya.

Walaupun begitu, pertambahan berat badan yang ketara, kehamilan, penyusuan dan proses penuaan boleh menyebabkan perubahan pada buah dada yang masih ada.

Bagi kebanyakan pesakit yang mengekalkan berat badan stabil, hasil pembedahan boleh bertahan selama bertahun-tahun tanpa memerlukan pembedahan susulan.

Menurut beliau, wanita yang mengalami kesakitan berpanjangan akibat buah dada terlalu besar tidak seharusnya menganggap masalah tersebut sebagai sesuatu yang perlu ditanggung sepanjang hayat.

Sebaliknya, mereka wajar mendapatkan penilaian perubatan untuk mengetahui pilihan rawatan yang sesuai, termasuk sama ada pembedahan boleh membantu mengurangkan kesakitan dan memperbaiki mutu kehidupan.

Bagi Dr Lee, keputusan menjalani pembedahan perlu dibuat berdasarkan keperluan kesihatan, keadaan fizikal serta matlamat pesakit, dengan pemahaman yang jelas mengenai manfaat dan risikonya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti