Sementara menunggu proses pemindahan hati beberapa tahun lalu, Encik Mahamood Ahamed, dibelenggu rasa tidak menentu dek dipantau rapi, serta resah dengan risiko berterusan dan kebimbangan bahawa keadaannya boleh menjadi lebih teruk.

Encik Mahamood, 69 tahun, dikesan menghidapi penyakit sirosis hati pada 2022, di samping mempunyai sejarah penyakit termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Sirosis hati adalah keadaan di mana jaringan parut terbentuk pada organ hati dan menjejas fungsinya.

Pada ketika itu, beliau dimaklumkan dirinya mungkin perlu menunggu dua hingga tiga tahun untuk menjalani pemindahan hati.

Namun pada akhir 2025, doktor mengesan satu perkembangan baharu – tumor barah berukuran 1.6 sentimeter tumbuh di dalam hatinya.

Penemuan itu menambah kebimbangan bahawa keadaan penyakit yang semakin teruk itu boleh menjejas kelayakannya untuk proses pemindahan hati.

Bagi memperlahankan pertumbuhan tumor tersebut serta mengurangkan risiko itu, Encik Mahamood disaran agar menyertai satu ujian klinikal melibatkan rawatan baharu, yang dikenali sebagai ‘histotripsy’.

Ia merupakan kaedah rawatan perubatan yang tidak memerlukan pembedahan atau torehan, dan hanya menggunakan gelombang ultrabunyi tertumpu.

Kaedah itu mampu memusnahkan dan mencairkan tisu tumor atau barah hati pada peringkat yang berkaitan dengan sel.

Ujian klinikal itu dipimpin oleh Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) dan Hospital Besar Singapura (SGH), dengan sokongan Yayasan Li Ka Shing (LKSF) dan badan eksosistem kedermawanan bebas yang dibangunkan Temasek Holdings, Temasek Trust (TT).

Ia bertujuan menilai keselamatan serta keberkesanan rawatan tersebut dalam kalangan pesakit Asia.

Segalanya didedahkan dalam satu taklimat media di NCSS di sekitar Hospital Boulevard di Outram, pada 11 Jun.

Ia berbeza dengan prosedur ablasi biasa yang melibatkan pembuangan tisu atau organ tubuh melalui pembedahan.

Kaedah terkini itu tidak memerlukan pembedahan dan biasanya hanya mengambil masa antara 20 dengan 50 minit, bergantung pada saiz dan kedudukan ketumbuhan berkenaan.

Encik Mahamood menjalani prosedur tersebut pada 19 Mac, dengan sesi rawatan selesai dalam masa kurang sejam dan beliau dibenarkan pulang keesokan harinya.

Imbasan susulan kemudian menunjukkan ketumbuhan tersebut telah mengecil dengan ketara.

Sehingga 11 Jun, beliau merupakan salah seorang daripada 10 pesakit di Singapura yang menyertai ujian klinikal itu, yang menetapkan sasaran mengambil sekitar 40 peserta.

Pesakit akan melalui saringan menggunakan ujian darah dan imbasan radiologi bagi menentukan kelayakannya, termasuk sama ada ketumbuhan yang dialami boleh disasarkan melalui ultrabunyi.

Ujian itu turut melibatkan enam sesi susulan dalam tempoh dua tahun bagi memantau hasil rawatan dan keberkesanan jangka panjang.

Bagi Encik Mahamood, pengalaman itu bukan sahaja dipacu oleh keperluan perubatan, malah pengalaman peribadi.

Beliau yang pernah menyaksikan ahli keluarganya melalui rawatan barah, berkata pengalaman itu mempengaruhi keputusannya untuk menyertai ujian tersebut.

“Perasaan dalam hati saya berbaur antara harapan dengan ketakutan. Saya telah melihat arwah kakak dan ibu bapa saya menderita ketika mereka menjalani rawatan barah.

“Prosedur yang tidak membabitkan pembedahan atau torehan ini membuatkan saya lebih rasakan harapan daripada ketakutan.

“Apabila saya menjalani rawatan itu, saya tidak rasakan sebarang kesakitan. Apabila saya bangun, ia seperti hari biasa bagi saya. Apabila saya dibenarkan keluar dari hospital, saya berasa sihat,” ujar Encik Mahamood.

Walaupun keadaan kesihatannya serius, tempoh rawatan yang singkat itu membolehkannya kembali meluangkan masa bersama keluarga.

Beliau sempat menemui 12 cucunya semasa Hari Raya Aidilfitri, tidak lama selepas prosedur tersebut dijalankan.

Ketua Jabatan Pembedahan Berkaitan Sistem Hati, Pankreas, dan Saluran Helempedu serta Pemindahan di SGH dan NCCS, serta Penyelidik Utama ujian klinikal itu, Profesor Brian Goh, menjelaskan:

“Pada asasnya, semua prosedur ablasi melibatkan pemusnahan ketumbuhan. Perbezaan utama ialah ‘histotripsy’ tidak memerlukan pembedahan atau torehan, berbanding prosedur ablasi biasa,” katanya.

Ketika Encik Mahamood meneruskan perjalanannya dalam senarai menunggu pemindahan hati, beliau terus dipantau rapi sambil menanti penderma yang sesuai.

Buat masa ini, beliau hanya berpegang kepada harapan positif, dan masa bersama keluarga, sambil melalui proses pemulihan dan penantian bagi pembedahan pemindahan hati.