Topik diikuti
Pergi ke BHkuDatuk 12 cucu temui harapan baru dalam rawatan percubaan musnah tumor tanpa bedah
Datuk 12 cucu temui harapan baru dalam rawatan percubaan musnah tumor tanpa bedah
Kaedah ultrabunyi dalam projek perintis NCCS, SGH bantu pesakit kecilkan ketumbuhan dengan selamat tanpa rasa sakit sementara tunggu pemindahan hati
Datuk 12 cucu temui harapan baru dalam rawatan percubaan musnah tumor tanpa bedah
Sementara menunggu proses pemindahan hati beberapa tahun lalu, Encik Mahamood Ahamed dibelenggu rasa tidak menentu dek dipantau rapi serta resah dengan risiko berterusan dan kebimbangan keadaannya boleh menjadi lebih teruk.
Lelaki berusia 69 tahun itu dikesan dengan barah hati pada 2022, di samping mempunyai sejarah penyakit termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
Pada ketika itu, beliau dimaklumkan dirinya mungkin perlu menunggu dua hingga tiga tahun untuk menjalani pemindahan hati.
Namun pada akhir 2025, doktor mengesan satu perkembangan baharu – tumor barah berukuran 1.6 sentimeter tumbuh di dalam hatinya.
Penemuan itu menambah kebimbangan keadaan penyakit yang semakin teruk boleh menjejas kelayakannya untuk proses pemindahan hati.
Bagi memperlahankan pertumbuhan tumor tersebut serta mengurangkan risiko itu, Encik Mahamood disarankan menyertai satu ujian klinikal melibatkan rawatan baharu, yang dikenali sebagai histotripsi, iaitu kaedah rawatan perubatan baharu yang tidak memerlukan pembedahan atau torehan dan menggunakan gelombang bunyi ultrabunyi tertumpu.
Ia mampu memusnahkan dan mencairkan tisu tumor atau barah hati pada peringkat yang berkaitan dengan sel.
Ujian klinikal ini dipimpin Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) dan Hospital Besar Singapura (SGH), dengan sokongan Yayasan Li Ka Shing (LKSF) dan badan eksosistem kedermawanan bebas yang dibangunkan Temasek Holdings, Temasek Trust (TT).
Ia bertujuan menilai keselamatan serta keberkesanan rawatan tersebut dalam kalangan pesakit Asia.
Segalanya didedahkan dalam satu taklimat media di NCSS sekitar Hospital Boulevard di Outram, pada 11 Jun.
Berbeza dengan prosedur ablasi biasa yang memerlukan kemasukan alat melalui perut, kaedah ini tidak memerlukan pembedahan dan biasanya hanya mengambil masa antara 20 dengan 50 minit, bergantung kepada saiz dan kedudukan ketumbuhan berkenaan.
Encik Mahamood menjalani prosedur tersebut pada 19 Mac, dengan sesi rawatan selesai dalam masa kurang sejam dan beliau dibenarkan pulang keesokan harinya.
Imbasan susulan kemudian menunjukkan ketumbuhan tersebut telah mengecil dengan ketara.
Sehingga 11 Jun, beliau merupakan salah seorang daripada 10 pesakit di Singapura yang menyertai ujian klinikal ini, yang menetapkan sasaran mengambil sekitar 40 peserta.
Pesakit akan melalui saringan menggunakan ujian darah dan imbasan radiologi bagi menentukan kelayakannya, termasuk sama ada ketumbuhan yang dialami boleh disasarkan melalui ultrabunyi.
Ujian ini turut melibatkan enam sesi susulan dalam tempoh dua tahun bagi memantau hasil rawatan dan keberkesanan jangka panjang.
Bagi Encik Mahamood, pengalaman ini bukan sahaja dipacu oleh keperluan perubatan, tetapi juga pengalaman peribadi.
Beliau yang pernah menyaksikan ahli keluarganya melalui rawatan barah, berkata pengalaman itu mempengaruhi keputusannya untuk menyertai ujian tersebut.
“Perasaan di dalam hati berupa antara harapan dan ketakutan. Saya telah melihat arwah kakak dan ibu bapa saya menderita ketika mereka menjalani rawatan barah.
“Prosedur yang tidak membabitkan pembedahan atau torehan ini membuatkan saya lebih merasakan harapan daripada ketakutan.
“Apabila saya menjalani rawatan itu, saya tidak merasakan sebarang kesakitan. Apabila saya bangun, ia seperti hari biasa bagi saya. Apabila saya dibenarkan keluar dari hospital, saya berasa sihat,” ujar Encik Mahamood.
Walaupun keadaan kesihatannya serius, tempoh rawatan yang singkat itu membolehkannya kembali meluangkan masa bersama keluarga.
Beliau sempat menemui 12 cucunya semasa Hari Raya Aidilfitri, tidak lama selepas prosedur tersebut dijalankan.
Ketua Jabatan Pembedahan Hepatopankreatobiliari (hati, pankreas, dan sistem hempedu) dan Pemindahan di SGH dan NCCS, serta Penyelidik Utama ujian klinikal itu, Profesor Brian Goh, menjelaskan:
“Pada asasnya, semua prosedur ablasi melibatkan pemusnahan ketumbuhan. Perbezaan utama ialah histotripsi tidak memerlukan pembedahan atau torehan, berbanding prosedur ablasi yang biasa dijalankan,” katanya.
Ketika Encik Mahamood meneruskan perjalanannya dalam senarai menunggu pemindahan hati, beliau terus dipantau rapi sambil menanti penderma yang sesuai.
Buat masa ini, beliau hanya berpegang kepada harapan positif, dan masa bersama keluarga, sambil melalui proses pemulihan dan penantian bagi bedah pindah hati.
