Apabila demensia memasuki tahap lanjut, bahagian otak yang mengawal keupayaan mengunyah, menelan, menimbulkan rasa lapar dan dahaga boleh terjejas.
Anda mungkin perasan orang tersayang:
– Meludah atau menolak makanan.
– Menyimpan makanan/minuman dalam mulut terlalu lama.
– Hilang selera makan atau mendakwa tidak lapar.
– Sering terbatuk atau tercekik ketika makan/minum.
– Penurunan berat badan.
Keputusan berkaitan cara memberi makan amat sukar.
Doktor mungkin berbincang tentang dua pilihan iaitu makan dengan cara menyuap atau melalui tiub.
Apakah itu Pneumonia Aspirasi? Aspirasi berlaku apabila makanan atau cecair masuk ke saluran pernafasan (paru-paru) dan bukannya ke dalam perut.
Pesakit lemah atau uzur berisiko tinggi mendapat pneumonia aspirasi atau jangkitan paru-paru yang disebabkan kemasukan cecair atau makanan ke dalam paru-paru.
Penjaga yang memberi makanan/minuman melalui mulut kepada pesakit perlu mengetahui terdapat risiko.
Risiko itu termasuk pesakit tidak makan secukupnya, batuk atau tercekik semasa makan/minum atau makanan/cecair masuk ke saluran pernafasan (trakea).
Langkah keselamatan yang boleh diambil termasuk duduk tegak semasa makan, elak gangguan ketika makan.
Hidangkan dalam jumlah kecil dan kerap. Usah paksa pesakit makan dan pastikan beliau sudah menelan sebelum suapan seterusnya.
Melalui suapan, pesakit masih boleh menikmati rasa makanan kegemaran, interaksi lebih rapat dengan anggota keluarga dan mengelak kesulitan seperti memasukkan semula tiub.
Masalah Yang Mungkin Timbul: Sakit atau sesak nafas jika tersedak, risiko pneumonia aspirasi (jangkitan paru-paru), masa makan yang lama dan tidak cukup nutrisi atau gagal mengambil ubat.
Nutrien, cecair dan ubat dimasukkan melalui tiub ke dalam perut
Antara Kebaikan termasuk memberi kalori mencukupi jika perut masih berfungsi.
Masa makannya juga lebih singkat, sesuai bagi yang tidak boleh menelan, ubat juga boleh diberi melalui tiub.
Kemungkinan masalah yang boleh dihadapi termasuk tidak selesa ketika memasukkan tiub, pesakit mungkin cuba mencabut tiub.
Pesakit mungkin memerlukan ubat atau diikat secara fizikal. Terdapat juga risiko jangkitan di tempat masuk tiub dan tiub boleh tersumbat dan perlu diganti.
Kedua-dua kaedah mempunyai manfaat dan risikonya.
Keputusan harus dibuat berdasarkan nilai pesakit, mutu hidup dan nasihat pasukan perubatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg