Topik diikuti
Pergi ke BHkuDipanah petir: Kecederaan dalaman boleh berlaku meski mangsa kelihatan pulih
Dipanah petir: Kecederaan dalaman boleh berlaku meski mangsa kelihatan pulih
Ia boleh jejas jantung, otak, sistem saraf, paru-paru dan organ dalaman, bergantung kepada laluan arus elektrik yang melalui tubuh mangsa
Dipanah petir: Kecederaan dalaman boleh berlaku meski mangsa kelihatan pulih
Tragedi yang meragut nyawa seorang peserta kegiatan air di pantai Pasir Ris pada 5 Julai lalu membuka semula perbincangan mengenai bahaya sambaran petir.
Ia bukan sahaja boleh menyebabkan kematian serta-merta, malah mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan jangka pendek dan panjang kepada mangsa yang terselamat.
Pakar perubatan menjelaskan, kecederaan akibat sambaran petir tidak terhad kepada kesan melecur pada kulit.
Sebaliknya, ia boleh menjejas jantung, otak, sistem saraf, paru-paru dan organ dalaman, bergantung kepada laluan arus elektrik yang melalui tubuh mangsa.
Pengarah Perubatan HMI OneCare Clinic, Dr Adrian Poh, berkata sambaran petir menghasilkan tenaga elektrik yang amat tinggi dalam tempoh yang sangat singkat.
Namun, ia cukup untuk menyebabkan kerosakan serius kepada beberapa sistem utama badan.
“Kecederaan akibat petir boleh membawa kepada kecederaan maut dan juga kecederaan yang tidak membawa maut.
“Antara organ yang paling terjejas ialah sistem kardiovaskular, sistem pernafasan dan sistem saraf,” katanya ketika diwawancara radio CNA938.
Menurut beliau, dalam kes paling serius, sambaran petir boleh menyebabkan jantung terhenti (cardiac arrest), iaitu keadaan apabila jantung berhenti mengepam darah ke seluruh badan secara tiba-tiba.
Akibatnya, mangsa akan rebah, tidak sedarkan diri, berhenti bernafas dan boleh meninggal dunia jika bantuan pernafasan kecemasan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) tidak diberikan dengan segera.
Selain itu, arus elektrik juga boleh mencetuskan kecederaan neurologi seperti kekeliruan, kehilangan ingatan, kebas anggota badan dan kecederaan saraf.
“Mangsa juga mungkin terjatuh akibat hentakan arus elektrik sehingga mengalami kecederaan tulang belakang atau trauma fizikal lain,” katanya.
Jantung terhenti punca utama kematian
Dr Poh berkata ramai beranggapan seseorang yang disambar petir tidak dapat diselamatkan, sedangkan hakikatnya ramai mangsa boleh dipulihkan jika menerima bantuan kecemasan dengan segera.
Menurutnya, kematian biasanya berlaku apabila jantung berhenti berdegup secara tiba-tiba atau dikenali sebagai asistole.
“Apabila keadaan ini berlaku, bantuan pernafasan dan CPR mesti dimulakan segera.”
“Kajian menunjukkan mangsa sambaran petir yang mengalami jantung terhenti mempunyai peluang pemulihan yang baik jika CPR diberikan secepat mungkin, walaupun mereka kelihatan tidak sedarkan diri atau seolah-olah sudah meninggal dunia,” katanya.
Setiap minit yang berlalu sebelum CPR diberikan, boleh mengurangkan peluang mangsa untuk terus hidup.
Mangsa petir tidak simpan cas elektrik
Ramai bimbang menyentuh mangsa kerana menyangka tubuh mereka masih menyimpan cas elektrik.
Bagaimanapun, Dr Poh menegaskan tanggapan itu tidak benar.
“Mangsa sambaran petir tidak menyimpan cas elektrik selepas kejadian.
“Mereka selamat disentuh dan bantuan kecemasan perlu diberikan segera.”
Beliau menjelaskan bahawa kecederaan kepada individu lain biasanya berlaku bukan kerana cas elektrik pada mangsa.
Sebaliknya, ia akibat beberapa mekanisme lain seperti arus elektrik yang mengalir melalui tanah, percikan arus daripada objek berhampiran atau sentuhan secara langsung dengan mangsa ketika sambaran berlaku.
Corak kecederaan berbeza
Dr Poh berkata petir boleh menghasilkan tanda khas pada kulit yang dikenali sebagai, Lichtenberg figure, iaitu corak bercabang menyerupai pelepah daun atau ranting pokok.
Namun katanya, kecederaan luaran kadangkala kelihatan ringan sedangkan kerosakan organ dalaman jauh lebih serius.
“Arus elektrik boleh melalui laluan berbeza dalam tubuh manusia.
“Bergantung kepada laluan itu, organ dalaman juga boleh mengalami kecederaan walaupun kulit kelihatan hampir normal,” katanya.
Kerumitan boleh muncul kemudian
Menurut Dr Poh, walaupun kebanyakan mangsa kelihatan pulih selepas menerima rawatan awal, sebahagian daripada mereka boleh mengalami komplikasi beberapa minggu atau bulan kemudian.
Antaranya ialah gangguan ingatan, kesukaran memberi tumpuan, keletihan melampau, keadaan dikenali sebagai brain fog iaitu fikiran terasa kabur, sukar berfikir dengan jelas atau memproses maklumat, selain kerosakan saraf, gangguan saraf tunjang serta pembentukan katarak pada mata.
“Keadaan seperti masalah daya ingatan dan tumpuan mungkin tidak muncul serta-merta. Ada pesakit yang hanya menyedarinya beberapa bulan selepas kejadian,” katanya.
Beliau berkata mangsa yang pernah disambar petir perlu menjalani pemeriksaan susulan sekiranya mengalami gejala neurologi atau penglihatan yang semakin merosot.
Siapakah lebih berisiko?
Mengulas golongan yang lebih terdedah, Dr Poh berkata risiko bukan ditentukan oleh jantina atau bentuk fizikal seseorang.
Sebaliknya, faktor lokasi dan jenis kegiatan memainkan peranan lebih besar.
“Secara teori orang yang lebih tinggi mungkin sedikit berisiko, tetapi faktor itu sangat kecil.
”Risiko sebenar lebih bergantung kepada sama ada seseorang berada di kawasan lapang, melakukan kegiatan luar atau berada di kawasan berair ketika ribut petir berlaku,” katanya.
Beliau turut merujuk kajian tempatan yang mendapati sebahagian besar mangsa sambaran petir ialah lelaki berusia antara 20 dengan 40 tahun.
Namun katanya, keadaan itu lebih berkait dengan pekerjaan kerana ramai mangsa bekerja di kawasan terbuka seperti lapangan terbang, tapak pembinaan dan kawasan perindustrian.
Kedudukan badan penting
Sekiranya seseorang terperangkap di kawasan terbuka ketika ribut petir dan tidak sempat mendapatkan perlindungan, Dr Poh menasihatkan mereka mengurangkan risiko dengan mengambil posisi mencangkung sambil merapatkan kedua-dua kaki.
“Kedudukan ini boleh mengurangkan laluan arus elektrik melalui tubuh sekiranya berlaku sambaran berhampiran,” katanya.
Beliau turut menegaskan orang ramai perlu sentiasa memantau perubahan cuaca sebelum melakukan kegiatan luar, terutama aktiviti air.
Fenomena petir langit cerah
Sementara itu, Pakar Perubahan Iklim dan Kesihatan Persekitaran Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Wang Xianfeng, berkata sambaran petir boleh berlaku walaupun langit di sesuatu kawasan kelihatan cerah.
Fenomena yang dikenali sebagai “petir langit cerah” (clear-sky lightning atau bolt from the blue) berlaku apabila kilat terbentuk di bahagian atas awan ribut sebelum bergerak beberapa kilometer keluar dari kawasan awan dan menyambar bumi.
“Petir boleh bergerak sehingga kira-kira 10 kilometer dari awan ribut.
“Jika seseorang masih boleh mendengar bunyi guruh, itu bermakna dia masih berada dalam zon berbahaya untuk disambar petir,” katanya.
Beliau turut menjelaskan air sebenarnya tidak menarik petir, namun individu yang berada di laut atau tasik lebih mudah menjadi mangsa kerana berada di kawasan terbuka tanpa perlindungan.
“Wujud salah faham bahawa air menarik petir.
“Hakikatnya, risikonya lebih tinggi kerana kawasan itu terbuka dan tiada tempat berlindung, selain air mengalirkan elektrik dengan baik,” katanya.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang kegiatan luar sebaik sahaja terdengar bunyi guruh atau terlihat kilat, kerana ketika itu risiko sambaran petir sudah wujud.

