Topic followed successfully
Go to BHkuElak kulit kusam semasa beraya
Elak kulit kusam semasa beraya
Perubahan gaya hidup sepanjang musim perayaan main peranan besar pada kesihatan kulit
Elak kulit kusam semasa beraya
Setelah memasuki minggu ketiga Hari Raya, ‘Aina’ (bukan nama sebenar), 29 tahun, mula menyedari sesuatu yang tidak kena pada kulitnya.
“Sepanjang Raya, saya rasa gembira, makan sedap, jumpa ramai orang. Tapi bila tengok cermin selepas itu, kulit nampak kusam, kering dan tak bermaya. Macam hilang seri,” katanya.
Pengalaman Aina bukan sesuatu yang luar biasa.
Ramai individu berdepan perubahan kulit selepas musim perayaan, sama ada dalam bentuk jerawat, kekeringan atau sensitiviti yang meningkat.
Menurut Doktor Estetik dan Pengarah Perubatan, Dr Shirley Kwee, dari Cambridge Medical Group, perubahan gaya hidup sepanjang perayaan memainkan peranan besar terhadap kesihatan kulit.
“Ramai yang tidur lewat, mengambil makanan berlemak dan manis, serta memakai solekan untuk tempoh yang lama.
“Semua ini boleh menjejas keseimbangan kulit dan lapisan pelindungnya,” jelas beliau.
Aina sendiri mengakui rutin hariannya berubah sepenuhnya sepanjang Raya.
“Biasanya saya tidur awal dan jaga makan. Tapi masa Raya, hampir setiap malam balik lewat. Kadang-kadang terus tidur tanpa penjagaan kulit yang betul,” katanya.
Secara perubatan, kulit kusam bukan sekadar isu kosmetik, tetapi tanda bahawa fungsi semula jadi kulit terganggu.
Menurut rujukan dermatologi klinikal dalam pangkalan data, PubMed Central (PMC), kulit kusam berlaku apabila sel kulit mati terkumpul pada permukaan, sekali gus menghalang pantulan cahaya dan menyebabkan kulit kelihatan tidak sekata serta lesu.
Selain itu, laporan oleh Healthline menjelaskan bahawa kulit yang kehilangan hidrasi akan menjadi kurang anjal, lebih kasar dan mudah menunjukkan garis halus.
Dalam kes Aina, beliau menyedari perubahan itu hampir serta-merta.
“Bila sentuh muka, rasa kasar. Pakai solekan pun tak cantik, nampak patchy,” katanya.
Dr Kwee menjelaskan bahawa pengambilan makanan manis dan karbohidrat halus boleh mencetuskan keradangan dalam badan.
“Ini boleh meningkatkan penghasilan minyak pada kulit dan memburukkan jerawat bagi sesetengah individu,” katanya.
Dalam masa yang sama, makanan masin dan minuman manis boleh menyebabkan kehilangan air dalam badan.
“Apabila badan kurang air, kulit akan kelihatan lebih kering dan kusam,” tambah beliau.
Aina mengakui perubahan pemakanan turut menyumbang kepada keadaan kulitnya.
“Memang banyak makan kuih manis dan minum air bergula masa Raya. Lepas itu baru perasan kulit jadi lain,” katanya.
Selain pemakanan, kekurangan tidur turut memberi kesan besar.
“Waktu tidur adalah masa kulit menjalani proses pembaikan. Jika tidur terganggu, kulit boleh kelihatan kusam, sembap dan lebih sensitif,” jelas Dr Kwee.
Secara fisiologi, kurang tidur meningkatkan hormon stres seperti kortisol, yang boleh melemahkan fungsi perlindungan kulit serta meningkatkan keradangan.
Bagi Aina, kesan itu paling ketara pada bahagian bawah mata.
“Lingkaran hitam makin jelas, muka nampak letih walaupun sebenarnya tak penat sangat,” katanya.
Reaksi kulit selepas Raya juga berbeza bagi setiap individu.
Mereka yang berkulit berminyak lebih cenderung mengalami jerawat dan pori tersumbat, manakala individu berkulit kering atau sensitif pula mungkin mengalami rasa tegang, mengelupas atau kerengsaan.
Dalam kes Aina, beliau mengalami gabungan kedua-duanya.
“Ada jerawat kecil, tapi pada masa sama kulit rasa kering. Macam tak seimbang,” katanya.
Untuk memulihkan keadaan, Dr Kwee menyarankan agar kembali kepada rutin penjagaan kulit yang asas.
“Cuci muka dengan betul, pastikan pengambilan air mencukupi, gunakan pelembap dan pelindung matahari setiap hari, serta kembali kepada jadual tidur yang teratur,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memilih produk yang sesuai.
“Kandungan seperti seramida dan asid hialuronik boleh membantu mengekalkan kelembapan dan menyokong lapisan pelindung kulit,” tambahnya.
Aina kini cuba memperbaiki rutin hariannya.
“Saya dah mula minum lebih air, tidur awal dan guna pelembap dengan lebih konsisten. Kulit mula nampak lebih baik sedikit demi sedikit,” katanya.
Namun, jika keadaan kulit tidak pulih selepas beberapa minggu, Dr Kwee menyarankan agar mendapatkan penilaian profesional.
Rawatan seperti rawatan muka perubatan, rawatan laser atau terapi hidrasi mungkin diperlukan bergantung kepada keadaan kulit individu.
“Jika masalah seperti jerawat, kekeringan atau pigmentasi berterusan, pemeriksaan awal penting untuk mengenal pasti punca sebenar,” katanya.
Bagi Aina, pengalaman itu menjadi peringatan tentang pentingnya menjaga keseimbangan.
“Raya memang masa untuk menikmati hidup, tapi sekarang saya sedar kulit pun perlukan perhatian,” katanya.
“Sekarang saya lebih berhati-hati. Saya tak boleh ambil mudah rutin penjagaan kulit walaupun sibuk beraya,” kata Aina.
Menurutnya, pengalaman itu membuka matanya bahawa perubahan kecil dalam rutin harian boleh memberi kesan besar kepada keadaan kulit.
“Saya belajar bahawa kulit perlukan rehat, air yang cukup dan penjagaan yang konsisten.
“Kalau kita abaikan, kesannya memang cepat nampak,” kata beliau.

