Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elak makan terlalu banyak untuk hindari refluks

Rawatan termasuk ubat-ubatan antirefluks dan perubahan gaya hidup
Oct 28, 2024 | 5:30 AM
Cik Zahirah Mohamad Sazali kini lebih berhati-hati dan lebih berdisiplin dengan tidak memakan coklat secara berlebihan untuk mengelak daripada terkena refluks akibat gejala seperti sakit tekak yang berterusan dan batuk kronik.
Cik Zahirah Mohamad Sazali kini lebih berhati-hati dan lebih berdisiplin dengan tidak memakan coklat secara berlebihan untuk mengelak daripada terkena refluks akibat gejala seperti sakit tekak yang berterusan dan batuk kronik. - Foto AGLOW ENT CENTRE

Cik Zahirah Mohamad Sazali begitu teruja apabila ayahnya pulang dari Timur Tengah membawa pelbagai jenis coklat yang terkenal di sana.

Coklat yang tebal dan berkrim itu sungguh ‘menggoda’, dan tanpa berfikir panjang, Cik Zahirah menikmati lima keping coklat dalam satu masa.

Namun, kegembiraannya tidak bertahan lama.

Keesokan harinya, beliau mula mengalami rasa tidak selesa pada tekaknya, sering batuk dan suaranya menjadi serak.

Pada mulanya Cik Zahirah menganggap ia hanya sakit tekak biasa dan mendapatkan rawatan di klinik biasa, tetapi keadaannya tidak bertambah baik.

Beliau akhirnya memutuskan untuk berjumpa pakar telinga, hidung, dan tekak (ENT), Dr Ker Liang, dari Pusat ENT Aglow.

Setelah pemeriksaan menyeluruh, Dr Ker mendapati Cik Zahirah mengalami masalah yang dikenali sebagai refluks laringofaringeal atau Laryngopharyngeal Reflux (LPR).

Dalam kes Cik Zahirah, memakan coklat dalam jumlah yang berlebihan telah menyebabkan asid perutnya kembali naik ke saluran tekak dan pita suara, mengakibatkan gejala seperti sakit tekak yang berterusan dan batuk kronik.

Selepas menjalani rawatan yang terdiri daripada ubat-ubatan antirefluks dan perubahan gaya hidup yang disyorkan, keadaan Cik Zahirah beransur pulih.

Kini, beliau masih boleh menikmati coklat kegemarannya tetapi dengan syarat beliau perlu makan dengan lebih berhati-hati dan dalam jumlah yang sederhana.

Apakah Itu refluks laringofaringeal?

Masalah refluks laringofaringeal atau LPR terjadi apabila asid dari perut naik semula ke dalam saluran makanan dan seterusnya sampai ke bahagian tekak serta pita suara.

Walaupun mirip dengan Gerd atau refluks gastroesophageal, LPR melibatkan saluran yang lebih tinggi, iaitu laring (bahagian atas atau salur angin tempat letaknya pita suara) dan faring (rongga yang dikelilingi otot pada bahagian belakang dalam mulut yang bersambung dengan esofagus), menyebabkan gejala yang lebih teruk seperti suara serak, batuk berterusan dan rasa seperti ada sesuatu di tekak.

Dr Ker menjelaskan: “Kebanyakan pesakit yang mengalami LPR tidak sedar mereka mempunyai masalah ini kerana ia tidak semestinya menyebabkan pedih ulu hati seperti Gerd.

“Gejala yang lebih ketara biasanya melibatkan tekak dan suara, seperti batuk berpanjangan, suara menjadi serak atau sakit tekak yang berterusan.”

Faktor Penyebab dan Risiko

Coklat, terutamanya yang mengandungi kandungan lemak yang tinggi, kafein dan bahan lain seperti methylxanthine boleh melemahkan sfinkter esofagus bawah atau Lower Esophageal Sphincter atau LES.

LES adalah otot yang berfungsi untuk menghalang asid perut daripada naik semula ke saluran makanan.

Apabila otot ini lemah, asid boleh bergerak naik dan menyebabkan refluks, termasuk masalah seperti LPR.

Ini menjelaskan bagaimana coklat yang Cik Zahirah makan, walaupun lazat, boleh menjadi penyebab masalah asid refluks yang dialaminya itu.

“Coklat yang kaya dengan kafein dan lemak bukan sahaja lambat dicerna, malah cenderung meningkatkan risiko refluks,” kata Dr Ker.

Ini menyebabkan gejala LPR lebih mudah berlaku, terutama apabila coklat dimakan dalam jumlah yang banyak atau sebelum tidur.

Selain coklat, terdapat beberapa lagi faktor yang boleh menyumbang kepada masalah itu seperti makanan pedas, berlemak, serta tabiat seperti merokok atau meminum minuman keras.

Rawatan dan Langkah Pencegahan

Rawatan LPR biasanya melibatkan beberapa perubahan gaya hidup dan diet, serta penggunaan ubat bagi mengurangkan pengeluaran asid dalam perut.

Dalam sesetengah kes yang lebih serius, pembedahan mungkin diperlukan untuk menguatkan LES dan menghalang asid refluks daripada terus berlaku.

Salah satu langkah penting dalam merawat LPR adalah dengan mengamalkan makan dalam jumlah yang sedikit dan kerap.

Makanan yang banyak sekali gus boleh meningkatkan tekanan dalam perut, menyebabkan asid lebih mudah naik ke tekak.

Oleh itu, makan secara sederhana adalah kunci utama dalam mengelakkan gejala LPR.

“Pesakit juga dinasihatkan agar tidak berbaring selepas makan, sekurang-kurangnya selama tiga jam.

“Ini bagi memberi masa kepada makanan untuk dicerna dengan betul tanpa memberi tekanan kepada sfinkter esofagus,” nasihat Dr Ker.

Selain itu, makanan dan minuman tertentu yang boleh merangsang pengeluaran asid perlu dielakkan.

Antaranya ialah makanan pedas, bergoreng, minuman berkafein seperti kopi, teh, dan juga jus sitrus yang asidik.

Minuman keras juga harus dielakkan kerana ia boleh melemahkan LES.

Bagi Cik Zahirah, beliau kini lebih berhati-hati dalam memilih makanan.

“Saya tak sangka coklat boleh menyebabkan masalah seperti ini. Dulu saya makan tanpa memikirkan akibatnya tetapi sekarang saya perlu lebih berdisiplin. Saya masih boleh makan coklat, tetapi dalam jumlah yang sedikit,” katanya.

Dr Ker turut menegaskan pentingnya mengekalkan berat badan sihat kerana berat badan berlebihan boleh menambah tekanan pada perut dan menyebabkan asid refluks.

Selain itu, berhenti merokok adalah langkah penting kerana nikotin di dalam rokok boleh melemahkan LES dan merangsang pengeluaran asid perut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg