Topic followed successfully
Go to BHkuGanjaran aplikasi Healthy 365 bagi tarik lebih ramai penderma darah, atasi kekurangan
Ganjaran aplikasi Healthy 365 bagi tarik lebih ramai penderma darah, atasi kekurangan
Potensi krisis bekalan darah dijangka berlaku pada 2033, bilangan penderma belia merosot
Ganjaran aplikasi Healthy 365 bagi tarik lebih ramai penderma darah, atasi kekurangan
Dengan potensi krisis bekalan darah yang dijangka berlaku pada 2033 dan bilangan kumpulan penderma belia yang semakin merosot, pihak berkuasa memperkenalkan insentif baru untuk menarik dan mengekalkan penderma darah, termasuk memberikan ganjaran Healthpoint.
“Masa sukar akan tiba. Kita perlu mula mengambil langkah untuk menangani cabaran ini.
“Hari ini, kita masih berada dalam kedudukan yang agak baik dengan bekalan derma darah lebih tinggi daripada permintaan, secara amnya, sepanjang tahun.
“Tetapi tahap permintaan menunjukkan peningkatan, manakala tahap pendermaan mengarah ke bawah,” kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 15 April.
Beliau menambah, dalam masa tujuh tahun diunjurkan permintaan akan melebihi bekalan.
Menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA), unjuran itu adalah berdasarkan trend penduduk semasa.
Apabila permintaan darah lebih tinggi daripada bekalan, prosedur pembedahan yang memerlukan sokongan pemindahan darah mungkin perlu ditangguhkan, atau dibatalkan, jelas Encik Ong.
Pesakit anemia mungkin tidak dapat menerima pemindahan darah yang boleh menyebabkan komplikasi serius, atau kematian.
Encik Ong berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Maraton Derma Darah 80 Untuk 80 yang diadakan di Pusat Barah Nasional Singapura, pada 15 April, sempena ulang tahun ke-80 Program Darah Kebangsaan.
Acara maraton itu bertujuan mendapatkan sejumlah 80 organisasi untuk sekurang-kurangnya 80 kakitangannya menyumbang 80 unit darah.
Mulai separuh kedua 2026, HSA, Palang Merah Singapura (SRC) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan menganugerahkan Healthpoint kepada penderma darah melalui aplikasi mudah alih Healthy 365.
Healthpoint boleh ditebus untuk mendapatkan baucar elektronik (e-baucar) yang boleh digunakan bagi pengangkutan awam, serta di beberapa kedai makanan dan pasar raya.
Diskaun premium MediShield Hayat sehingga $580 juga boleh ditebus dengan mata ganjaran tersebut.
Sekitar 130,000 unit darah dikumpulkan setiap tahun dan kini terdapat lebih daripada 77,000 penderma – 1.3 peratus daripada jumlah penduduk Singapura.
Sekurang-kurangnya sekitar 120,000 unit diperlukan dalam setahun, dengan permintaan dijangka meningkat sebanyak 1 peratus hingga 1.3 peratus setiap tahun sepanjang dekad akan datang.
Permintaan yang semakin meningkat disebabkan penduduk semakin tua dan peningkatan kelaziman kes barah, yang bersama-sama menyumbang kepada sebahagian besar penggunaan darah di sini.
Sebaliknya, bilangan penderma belia semakin mengecil secara drastik.
Pada 2025, 12 peratus atau kurang daripada 9,600 orang, adalah penderma berumur 16 hingga 25 tahun. Ia kemerosotan daripada 28 peratus, atau kira-kira 20,000 belia, pada 2015.
Menurut HSA dan SRC, kemerosotan penderma remaja didorong oleh berkurangnya penduduk belia sebanyak 15 peratus sepanjang dekad ini serta penurunan kadar penyertaan penderma dalam kalangan golongan muda.
HSA akan memperkenalkan alat kelayakan penderma elektronik baru di laman webnya mulai Mei, yang akan membolehkan penderma mendapatkan maklumat segera tentang kelayakan mereka berdasarkan sejarah perjalanan terkini.
Alat itu akan memaklumkan penderma bila mereka boleh menderma seterusnya dan menempah janji temu untuk berbuat demikian.
Aplikasi DonateBlood juga akan disepadukan dengan aplikasi HealthHub pada masa depan bagi penderma menempah dan mengurus janji temu derma darah dan penjagaan kesihatan melalui aplikasi yang sama.
