Setiap tahun, jutaan umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Makkah untuk menunaikan ibadah haji – satu perjalanan yang bukan sahaja mengukuhkan sudut rohani, malah, mencabar dari segi fizikal.

Kebanyakan persiapan lazimnya tertumpu kepada hal logistik.

Ia termasuk penerbangan, vaksinasi, penginapan, serta perbelanjaaan ketika di Tanah Suci.

Dengan musim haji yang hampir tiba, saya ingin berkongsi mengenai satu aspek – persiapan minda – yang sama penting tetapi sering kurang diberi perhatian.

Maklumat ini boleh membawa manfaat kepada mereka yang akan pergi Tanah Suci pada masa terdekat atau berura-ura untuk menunaikan haji.

Ibadah haji merupakan pengalaman yang sangat intensif.

Jemaah akan dicabar dengan cuaca panas, kesesakan manusia, keletihan, ketidaktentuan, serta emosi yang mendalam dalam tempoh masa yang singkat.

Walaupun transformasi positif boleh diraih setelah mengatasi cabaran yang dihadapi, saya harap dengan perkongsian ini, bakal jemaah boleh menumpukan usaha dan tenaga mereka kepada ibadah dengan lebih baik ketika di Tanah Suci kelak.

Siapkan Minda Sebelum Berangkat

Dalam minggu-minggu sebelum berangkat, bakal jemaah digalak agar melakukan persiapan minda.

Ini agar anda tidak tergopoh-gapah ketika sedang melalui proses ibadah atau dibelenggu emosi negatif.

Antara langkah terpenting sebagai permulaan ialah menetapkan niat.

Anda mungkin ada beberapa matlamat ketika menunaikan haji seperti untuk meraih pahala, membersihkan rohani dan meningkatkan iman.

Anda boleh melakarkan bayangan visual akan apa yang boleh anda lalukan agar anda boleh mengatakan dengan yakin bahawa matlamat itu sudah tercapai setelah menunaikan ibadah haji.

Sebagai contoh, jika anda ingin merebut peluang meningkatkan pembacaan Al-Quran ketika di Tanah Suci, anda boleh menetapkan bayangan visual dalam minda anda bahawa anda sedang melakukannya.

Dengan adanya niat dan matlamat yang sudah tersemat, anda akan mempunyai kompas hala tuju untuk memberikan anda arah ketika berdepan dengan cabaran semasa di Tanah Suci.

Saya juga ingin menggalakkan bakal jemaah agar membentuk gambaran realistik tentang pengalaman haji.

Walaupun kita sering melihat imej yang memaparkan ketenangan dan kekhusyukan, hakikatnya, ia melibatkan jemaah perlu beratur panjang, dalam keadaan sesak, keletihan secara fizikal, dan saat-saat berhadapan kekeliruan.

Mempersiapkan diri kita untuk cabaran yang mendatang bukanlah bermakna anda bersikap negatif. Tetapi ia merupakan bentuk persediaan mental.

Apabila minda sudah bersedia menghadapi cabaran, anda akan melindungi diri anda daripada rasa tertekan jika ia benar-benar berlaku.

Menerima hakikat itu lebih awal juga dapat membantu kita kekal terbuka terhadap pengalaman sebenar, tanpa sentiasa membandingkannya dengan gambaran ideal.

Bakal jemaah juga boleh meraih faedah daripada melakukan latihan emosi.

Dalam kehidupan harian kita di Singapura, kita cenderung mengelakkan ketidakselesaan dengan mudah.

Ini terutama sekali di Singapura yang mempunyai banyak kemudahan dan adanya sistem sokongan daripada ahli keluarga atau teman.

Namun, haji menuntut keupayaan untuk bertahan dalam ketidakselesaan tanpa bertindak secara impulsif.

Dalam tempoh sebelum berangkat, kita boleh melatih diri melalui perkara kecil – bersabar ketika menunggu, menyedari rasa marah tanpa terus bertindak, atau berhenti seketika sebelum memberi reaksi apabila tertekan.

Latihan ini menguatkan kemahiran mengawal emosi, yang sangat berguna semasa menunaikan ibadah haji.

Akhir sekali, dialog dalaman kita juga memainkan peranan besar.

Dalam keadaan tertekan, suara hati boleh menjadi negatif seperti, “Aku tak mampu”, atau “Ini terlalu susah”.

Anda boleh memantau atau membuat refleksi apakah kata-kata negatif yang kerap melalui minda anda apabila menghadapi cabaran. Kata-kata negatif itu selalunya tidak tepat.

Lantas, anda boleh memikirkan bagaimana anda boleh mengimbangi kata-kata negatif tersebut.

Sebagai contoh, “Walaupun perkara ini sukar, saya tahu ia amat bermaknanya dan saya boleh rasa bangga setelah melakukan sesuatu yang mencabar” atau “Ini memang susah tetapi aku boleh lalui ini sedikit demi sedikit”.

Persiapan psikologi melibatkan usaha membentuk semula suara itu menjadi dorongan bagi diri kita.

Ini kerana cara kita bercakap dengan diri sendiri memberi kesan langsung kepada daya ketahanan kita.

Semasa haji: Amalkan persiapan minda dari segi praktikal

Apabila berada di Makkah, persiapan psikologi beralih daripada perancangan ke pelaksanaan.

Salah satu strategi utama ialah mengurus rentak diri untuk mengelakkan kelelahan fizikal atau ‘burnout’.

Dalam suasana terdapat dorongan untuk melakukan pelbagai perkara dengan cepat atau mengikut orang lain, amatlah penting untuk anda mengingatkan diri bahawa ibadah haji bukan satu perlumbaan.

Kelelahan fizikal boleh mempengaruhi emosi kita dan menjejas kesihatan kita.

Lantas, berehatlah apabila perlu dan lakukan ibadah mengikut kemampuan diri untuk mengekalkan keseimbangan mental.

Amalan berhenti sejenak, atau ‘pause moments’, juga boleh membantu.

Di tengah-tengah kesibukan, ambil beberapa saat untuk berhenti, bernafas, dan mengingati semula niat.

Detik kecil itu bertindak sebagai ‘reset’ psikologi yang membantu kita kembali memberi tumpuan dengan tenang.

Persekitaran yang sesak juga boleh mencetuskan emosi yang kuat marah apabila ditolak; kecewa apabila jadual tergendala’ atau cemas dalam ruang yang sempit.

Dalam keadaan sebegitu, kuncinya bukan bertindak mengikut emosi, tetapi mewujudkan ruang antara perasaan dengan tindakan.

Soalan mudah seperti, “Apakah reaksi yang selari dengan niat aku?” boleh membantu anda bertindak dengan lebih tenang dan mengikut cara yang selaras dengan apakah yang anda ingin capai.

Walaupun anda sudah membuat persediaan menyeluruh, amatlah penting untuk anda memahami bahawa tidak semua keadaan dalam kawalan anda.

Pelbagai cabaran di luar jangkaan boleh berlaku ketika memunaikan haji.

Melawan keadaan hanya akan menambah tekanan dan meningkatkan tahap emosi yang negatif.

Amalkan pemikiran, “Kawal apakah yang boleh kita kawal” atau ‘Control what I can control’.

Penerimaan tidak bermaksud kita suka keadaan tersebut, tetapi kita mengakuinya tanpa bergelut dengan keadaan.

Dalam masa yang sama, teruslah mengingatkan diri anda tentang makna ibadah yang anda capai.

Ketika penat, ingatkan diri tentang tujuan perjalanan itu. Setiap langkah boleh menjadi ibadah, setiap penantian boleh menjadi ruang refleksi.

Peringatan tentang matlamat yang dilakar boleh dijadikan sebagai sumber motivasi dalam membantu anda menghadapi cabaran.

Akhir sekali, amalkan belas ihsan kepada orang lain dan juga diri sendiri.

Setiap anggota jemaah mempunyai cabaran masing-masing.

Kesabaran dan kebaikan kecil boleh memberi kesan besar kepada diri kita dan orang lain.

Dan apabila anda sendiri berasa lemah atau tertekan, berikanlah kata-kata perangsang kepada diri sendiri dengan kelembutan, bukan kritikan.

Perjalanan Ke Dalam Diri

Haji kerap disebut sebagai perjalanan seumur hidup.

Dari sudut psikologi, ia juga merupakan perjalanan ke dalam diri – mengenali reaksi, kebiasaan, serta keupayaan kita untuk bersabar dan merendah diri.

Persiapan mental tidak bererti anda tidak akan menghadapi cabaran ketika melakukan ibadah haji.

Tetapi ia mengubah cara kita menghadapinya. Dengan niat, kesedaran, dan belas ihsan, saat-saat yang sukar juga boleh menjadi penuh makna.

Akhirnya, matlamatnya bukan sahaja untuk melaksanakan haji dengan sempurna, malah, dengan penuh keikhlasan.

Dan keikhlasan itu bermula daripada bagaimana anda mempersiapkan minda untuk perjalanan ini.

Penulis Pakar Psikologi Klinikal Kanan dan Pengasas, ImPossible Psychological Services.

Laporan berkaitan
Persediaan sambut RamadanFeb 16, 2026 | 5:30 AM
Di sebalik ‘pok pek Raya’...Mar 23, 2026 | 5:30 AM