Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hospital awam ubah cara jaga pesakit, satu doktor urus rawatan pelbagai penyakit

Pesakit tidak perlu berjumpa beberapa pakar untuk penyakit berbeza; usaha dilancar di tiga hospital sejak awal 2025
Sep 20, 2025 | 4:00 PM
Ong Ye Kung, model penjagaan
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan perubahan model penjagaan bagi pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital awam pada 20 September semasa berucap di Upacara Pengesahan Ikrar Doktor Perubatan oleh Majlis Perubatan Singapura (SMC) yang diadakan di Universiti Nasional Singapura (NUS). - Foto ZAOBAO

Pesakit yang menghidap pelbagai penyakit kronik atau akut dan mendapatkan rawatan di hospital awam hanya perlu berurusan dengan seorang doktor sahaja untuk mendapat rawatan menyeluruh mengikut model penjagaan baru yang diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 20 September.

Di bawah model baru itu, doktor yang berperanan sebagai Doktor Utama akan membangunkan pelan penjagaan menyeluruh untuk pesakit dengan mendapatkan kepakaran daripada doktor pakar atau profesional penjagaan kesihatan yang berkaitan, jika perlu.

Ia berbeza daripada model semasa – pesakit sedemikian harus berjumpa beberapa doktor pakar berbeza untuk merawat penyakit yang berbeza, kata MOH dalam kenyataannya.

Model tersebut, yang disifatkan MOH sebagai model pasukan penjagaan bersatu, telah dilaksanakan sejak awal 2025 di Hospital Besar Changi (CGH), Hospital Alexandra dan Woodlands Health.

Buat masa ini, model penjagaan baru itu merangkumi empat disiplin perubatan – Perubatan Umum, Pembedahan Umum, Pembedahan Ortopedik dan Perubatan Pediatrik – dan akan diperluaskan kepada lebih banyak disiplin perubatan secara berperingkat, kata MOH.

Lebih separuh daripada doktor pakar di institusi penjagaan kesihatan awam di sini menyumbang kepada empat disiplin itu, kata MOH, menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM).

MOH berkata lebih banyak disiplin akan ditambah di fasa selanjutnya, dengan semua hospital awam di sini bakal melaksanakan model penjagaan baru tersebut pada tahun-tahun akan datang.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata model semasa kurang sempurna, terutama apabila merawat lebih ramai warga emas yang menghidapi berbilang penyakit.

Hampir seperempat daripada penduduk Singapura dijangka berusia 65 tahun dan ke atas menjelang 2030.

Ketika berucap di Upacara Peneguhan Ikrar Doktor Perubatan oleh Majlis Perubatan Singapura (SMC) pada 20 September, Encik Ong berkata:

“Adalah lebih baik jika kami dapat menyepadukan dan menyelaraskan rawatan berbeza, (bantu) pesakit dan penjaga mereka mendapatkan gambaran keseluruhan keadaan kesihatan pesakit, dan memaklumkan pelan penjagaan bersepadu kepada mereka.

“Ini memerlukan perubahan besar pada pasukan penjagaan kami di hospital. Ia akan memakan beberapa tahun, tetapi proses ini telah dimulakan.”

Encik Ong menyatakan demikian kepada sekitar 500 doktor yang hadir di Konservatori Muzik Yong Siew Toh (YST) di Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk melafazkan ikrar komitmen menjaga pesakit serta standard profesional dan etika yang tinggi.

Setiap doktor di Singapura perlu melafazkan ikrar tersebut sebelum mengamalkan perubatan di sini, sebagaimana ditetapkan dalam Peraturan Pendaftaran Perubatan 2010 di bawah Akta Pendaftaran Perubatan.

Menurut MOH, peranan Doktor Utama ini akan digalas oleh doktor pakar atau Klinisian Hospital (HC) di hospital-hospital awam, dengan dibantu anggota pasukan kendalian mereka.

Apabila pesakit dimasukkan ke hospital misalnya, Doktor Utama akan menyelaras semua aspek penjagaan pesakit dan jika perlu, berunding dengan doktor pakar lain.

“(Dalam model penjagaan semasa), pakar berbeza terlibat dalam rawatan seorang pesakit warga emas yang menghidap penyakit bagi pelbagai sistem organ.

“Ia boleh menyebabkan proses penjagaan terganggu, selain boleh mengelirukan pesakit dan penjaga.

“Pembaharuan ini memastikan mutu penjagaan untuk pesakit dan untuk menangani profil pesakit yang berubah,” ujar jurucakap MOH.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NHG Health, Profesor Joe Sim, berkata transformasi pasukan penjagaan itu memanfaatkan pesakit kerana penjagaan pesakit kini lebih kemas.

Beliau berkata: “Pesakit kami meraih manfaat daripada transformasi pasukan penjagaan dengan kesinambungan penjagaan berteraskan pasukan perubatan yang telah dipertingkat dan hubungan lebih baik antara doktor dengan pesakit.

“Ini di samping jaminan tambahan bahawa penjagaan pesakit dibuat oleh doktor berdedikasi dan berpengalaman, yang akan bersama pesakit dalam perjalanan penjagaan kesihatan mereka.”

NHG Health mengendalikan beberapa institusi penjagaan kesihatan bagi kelompok pusat dan utara Singapura, termasuk Woodlands Health.

Antara pesakit yang sedang dirawat di bawah model penjagaan baru itu ialah Encik Osman Abdollah, yang berkata beliau tidak lagi perlu berjumpa doktor berbeza atau pergi ke hospital secara kerap untuk membuat janji temu susulan.

Pelan penjagaan bagi pesara berusia 91 tahun itu, yang menghidap beberapa penyakit kronik termasuk penyakit buah pinggang dan jantung, kini dikendali oleh Klinisian Hospital Kanan di Hospital Alexandra, Dr Neeta Kesu Belani.

Sementara itu, Encik Ong berkata laluan kerjaya HC juga akan dipertingkat. Antara lain, gaji doktor di bawah skim HC akan disemak supaya ia lebih selaras dengan peluasan tanggungjawab mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg