Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CareShield Hayat tawar bayaran bulanan lebih tinggi mulai 2026, bantuan subsidi $570j tampung kenaikan premium

Aug 27, 2025 | 4:54 PM
Singapura, CareShield Hayat, kesihatan, skim insurans, polisi
Premium bagi skim insurans penjagaan jangka panjang kebangsaan akan meningkat, namun pemerintah berkata ia akan menyediakan tambahan $570 juta dalam bentuk sokongan premium dari 2026 hingga 2030 bagi membantu pemegang polisi menampung kenaikan tersebut. - Foto fail

Pemberian bayaran tunai bulanan di bawah skim insurans kebangsaan, CareShield Hayat, akan ditingkatkan bagi membantu penduduk Singapura yang mengalami kecacatan teruk untuk menampung kos penjagaan jangka panjang yang kian meningkat dengan pesat.

Kadar pertumbuhan bayaran itu akan naik daripada 2 peratus setahun setakat ini kepada 4 peratus setahun dari 2026 hingga 2030.

Ia merupakan tambahan 2 peratus berbanding jumlah pemberian bayaran pada 2020 hingga 2025.

Sebagai contoh, pemegang polisi yang membuat tuntutan pada 2030 akan menerima $806 sebulan, berbanding $731 sebulan di bawah kadar tahunan sebelumnya.

Namun, untuk menampung bayaran tunai yang lebih tinggi, premium – bayaran berkala untuk insurans – juga perlu disesuaikan.

Untuk meringankan kos tersebut, pemerintah akan menyediakan tambahan $570 juta agar dapat memberi subsidi kepada pembayaran premium – yang boleh dibayar sepenuhnya menggunakan MediSave – hingga 2030.

Ini merupakan antara perubahan utama yang dicadangkan oleh Majlis CareShield Hayat, yang diketuai oleh mantan eksekutif kumpulan di DBS Bank, Cik Jeanette Wong.

Majlis itu telah ditugaskan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) supaya menyemak skim CareShield Hayat pada awal 2025 dan mengeluarkan saranan mereka pada 27 Ogos, yang kini sudah diterima pemerintah.

Perubahan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Januari 2026.

Semasa menjalankan semakan, majlis itu telah berunding dengan hampir 300 individu, termasuk penjaga, karyawan penjagaan kesihatan, pemimpin kesatuan dan rakan kongsi masyarakat.

Mengulas mengenai semakan skim itu dalam satu taklimat bersama wartawan, Cik Wong berkata:

“Menerusi semakan ini, majlis berusaha memastikan pemberian bayaran tunai CareShield Hayat terus memberikan sokongan yang bermakna untuk menampung kos penjagaan jangka panjang, sambil memastikan premium kekal mampu dibayar.”

Ini merupakan semakan pertama skim tersebut sejak ia dilancarkan pada 2020 sebagai pelan wajib yang menawarkan perlindungan seumur hidup bagi penduduk Singapura yang lahir pada 1980 dan selepas itu, tanpa mengira kecacatan atau keadaan kesihatan sedia ada.

Mereka yang lahir pada 1979 atau sebelum tidak wajib memiliknya.

Di bawah CareShield Hayat, mereka akan mula membayar premium tahunan menerusi akaun Medisave apabila mencapai usia 30 tahun dan berhenti membayar pada usia 67 tahun.

Mereka akan terus dilindungi bagi baki hayat mereka walaupun sudah berhenti membayar premium.

Namun, jika seseorang itu mengalami kecacatan teruk selepas mencecah 30 tahun, mereka boleh berhenti membayar premium dan mula menerima pemberian bayaran CareShield Hayat.

Menurut MOH, semakan tersebut dibuat berikutan peningkatan permintaan terhadap penjagaan jangka panjang akibat populasi yang semakin menua, sekali gus menyebabkan peningkatan kos.

Situasi itu dipacu dengan kos tenaga kerja dan teknologi.

MOH berkata perbelanjaan operasi tahunan untuk penjagaan jangka panjang kebangsaan hampir berganda dalam tempoh lima tahun lalu, daripada $1.7 bilion kepada sekitar $3 bilion setakat ini.

Dengan cadangan majlis yang dikemukakan, kohort yang lebih muda akan menghadapi kenaikan premium yang lebih besar manakala warga emas akan kurang terjejas.

Namun, pemerintah akan membantu dengan menyediakan lebih daripada $570 juta dalam sokongan tambahan sepanjang lima tahun akan datang – 2026 hingga 2030 – di samping subsidi premium sedia ada.

Ia merangkumi sokongan peralihan sebanyak $440 juta untuk memansuhkan dan mengurangkan kenaikan premium secara berperingkat, serta subsidi premium berdasarkan kemampuan bagi pemegang polisi berpendapatan rendah hingga sederhana berjumlah lebih $130 juta.

Mereka yang tidak mampu membayar premium CareShield Hayat selepas subsidi dan mempunyai sokongan keluarga yang terhad akan dijemput untuk memohon sokongan premium tambahan sekiranya mereka layak.

MOH berkata langkah sokongan itu akan memastikan kenaikan premium tahunan dari 2026 hingga 2030 dikurangkan kepada sekitar $38 secara purata, dan tidak melebihi $75.

Bagi membuat tuntutan daripada CareShield Hayat, seseorang perlu dinilai mengalami kecacatan teruk, iaitu tidak mampu melakukan sekurang-kurangnya tiga daripada enam Kegiatan Kehidupan Harian (ADL).

Antaranya mencuci, membuang air, memakai baju, makan, berpindah dan bergerak.

Setakat ini, tiada perubahan akan dibuat terhadap kriteria kelayakan itu.

Mereka yang ingin mendapatkan perlindungan lebih luas selain daripada penambahbaikan yang dicadangkan boleh membeli pelan tambahan yang ditawarkan oleh syarikat insurans swasta untuk memperkukuh perlindungan mereka, tambah MOH.

Mulai 2026, CareShield Hayat tidak lagi akan menerima warga lebih berusia yang mengalami kecacatan ringan dan sederhana.

Syarat penilaian kelayakan sebelum ini telah dilonggarkan buat sementara waktu bagi membolehkan golongan lebih berusia menyertai skim tersebut, meskipun mereka mengalami kecacatan ringan dan sederhana.

Namun, majlis telah mencadangkan supaya kriteria asal dikembalikan pada 2026, memandangkan kadar penyertaan menurun dengan ketara sepanjang tempoh kelonggaran empat tahun lalu, demi memastikan premium kekal berpatutan dan adil.

Golongan warga lebih tua ini masih boleh memilih untuk menyertai skim tersebut pada 2025.

Tetapi bermula 1 Januari 2026, hanya mereka yang lahir pada 1979 dan sebelumnya yang tidak mempunyai kecacatan sedia ada boleh menyertai CareShield Hayat.

Selain itu, majlis tersebut juga mencadangkan agar penambahbaikan lanjut dibuat terhadap proses penilaian dan tuntutan, berdasarkan maklum balas yang diterima sepanjang sesi libat urusnya dengan penduduk Singapura.

Langkah itu akan mengurangkan beban pentadbiran bagi penerima penjagaan jangka panjang dan penjaga mereka, serta mempertingkatkan pengalaman tuntutan bagi pemegang polisi.

Sejak 2021, jumlah penilai bertauliah hampir berganda kepada lebih 700 orang, dengan lebih dua pertiga daripadanya menyediakan khidmat lawatan ke rumah.

MOH berkata pihaknya sedang meneliti pelaksanaan penilaian secara tele bagi menyokong pemohon dengan lebih baik.

MOH turut berkata lebih $26 juta tuntutan telah dibayar di bawah skim tersebut, manakala $2.8 bilion premium CareShield Hayat telah diterima sehingga Disember 2024.

Ini termasuk sekitar $800 juta dalam bentuk sokongan premium daripada pemerintah.

Sepanjang 2024, seramai 1,821 individu telah meraih manfaat daripada CareShield Hayat.

Mereka berusia antara 30 hingga 93 tahun, dengan purata umur pertengahan 52 tahun.

Ini bermakna sekitar separuh daripada pemohon tuntutan CareShield Hayat berada dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an.

MOH menambah bahawa sekitar 1.93 juta rakyat Singapura dan penduduk tetap berusia 30 tahun ke atas dilindungi di bawah CareShield Hayat, manakala sekitar 535,000 individu pula dilindungi melalui ElderShield.

Ini bermakna sekitar lapan daripada 10 penduduk Singapura mempunyai salah satu daripada skim insurans penjagaan jangka panjang itu.

ElderShield ialah skim terdahulu yang menawarkan bayaran tunai lebih rendah, iaitu $300 atau $400 sebulan, dan hanya untuk tempoh sehingga lima atau enam tahun, bergantung kepada jenis pelan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg