Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hospital baru bakal siap dibina lebih cepat, dengan kos lebih rendah

Ye Kung: Ini menyusuli penubuhan Piawaian Reka Bentuk Kemudahan Penjagaan Kesihatan (HFDS)
Dec 9, 2025 | 7:49 PM
hospital, lebih pantas, kos lebih rendah
Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (kiri) mencuba khidmat ‘chatbot’ kecerdasan buatan (AI) Piawaian Reka Bentuk Kemudahan Penjagaan Kesihatan (HFDS) pada 9 Disember sempena majlis pelancaran HFDS. - Foto ZAOBAO

Hospital baru akan dapat dibina dengan lebih pantas dan pada kos yang lebih rendah pada masa hadapan menerusi pelaksanaan piawaian reka bentuk baru, menurut Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Ini menyusuli penubuhan Piawaian Reka Bentuk Kemudahan Penjagaan Kesihatan (HFDS) – rangka kerja pertama di Singapura yang menyelaraskan prinsip reka bentuk hospital merentasi seluruh sistem penjagaan kesihatan awam.

“Singapura telah membina hospital yang hebat dalam beberapa dekad (kebelakangan ini) dan ia telah berkhidmat dengan baik kepada rakyat, dan kita boleh berbangga dengan hospital (sedia ada).

“Namun dengan jumlah penduduk yang semakin menua (dan) permintaan penjagaan kesihatan yang meningkat, kita perlu membina dan membangunkan semula lebih banyak hospital.

“Kami kini bukan sahaja perlu membina hospital yang baik, tetapi kami perlu melakukannya dengan lebih baik, lebih pantas dan lebih berkesan dari segi kos,” ujarnya.

Encik Ong berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelancaran HFDS di Blok 138 Depot Road pada 9 Disember.

HFDS dibangunkan oleh MOH Holdings (MOHH) bersama ketiga-tiga kelompok penjagaan kesihatan awam Singapura – SingHealth, Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional (NHG) dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) – dengan mengambil kira maklum balas doktor dan pengendali kesihatan serta amalan terbaik dan pengajaran daripada projek-projek sebelum ini.

MOHH, sebagai syarikat induk kelompok-kelompok berkenaan, bertanggungjawab memperkukuh bekalan tenaga kerja penjagaan kesihatan negara.

Piawaian tersebut merangkumi penyeragaman dalam seni bina, reka bentuk dalaman, perancangan perubatan, serta sistem mekanikal dan elektrik, termasuk kaedah pembinaan.

Menurut Encik Ong, penyeragaman ini akan mempercepatkan proses reka bentuk setiap projek hospital baru dan memudahkan pelaksanaan pembinaan.

“Garis masa projek yang lebih pendek bukanlah satu-satunya matlamat (piawaian ini). Ia membawa banyak manfaat... (dengan) menjadikan pembinaan lebih mudah diramalkan.

“Ini bermakna kita mengurangkan keragaman kos dan risiko sepanjang projek. Semua ini akan membawa kepada kos projek yang lebih baik,” tambahnya.

Beliau menambah bahawa reka bentuk seragam membawa manfaat operasi.

Sebagai contoh, bilik bedah atau wad yang diseragamkan akan memudahkan doktor menyesuaikan diri tanpa perlu mempelajari susun atur baru setiap kali bertugas di hospital yang berbeza.

Langkah tersebut, katanya, bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah mempertingkat mutu penjagaan pesakit.

Pada masa sama, penyeragaman langkah kawalan jangkitan – seperti susun atur zon ‘bersih’ dan ‘kotor’ serta pemasangan sinki – menjadikan persekitaran penjagaan lebih selamat.

Projek hospital awam pertama yang menerapkan HFDS dan akan menyaksikan masa pembinaan lebih singkat adalah hospital baru di Tengah.

Pembinaannya dijangka mengambil masa sekitar tujuh tahun dan disasarkan siap pada awal 2030-an.

Sebagai perbandingan, Kampus Kesihatan Woodlands, yang dibuka secara rasmi pada 2024, mengambil masa 10 tahun untuk dibina – antara sebab ia mengambil tempoh sedemikian adalah kerana pembinaannya terjejas dek pandemik Covid-19, kata Encik Ong.

Secara berasingan, Kampus Hospital Besar Timur (EGH) yang baru, terletak di Bedok North, akan mengambil masa lebih kurang lapan setengah tahun untuk dibina. Apabila dibuka sepenuhnya sekitar 2029 hingga 2030, ia akan mempunyai kira-kira 1,400 katil, menukil laporan The Straits Times.

Selain TGCH, HFDS juga akan digunakan untuk pembinaan Menara Perubatan Hospital Tan Tock Seng yang baru, yang akan menambah kira-kira 600 katil akut dan ia bakal mempunyai jabatan kecemasan yang lebih besar.

Pembangunan semula Hospital Universiti Nasional (NUH) di Kent Ridge juga akan memanfaatkan HFDS. Di bawah pelan pembangunan semula, NUH dijangka akan menggantikan separuh daripada 1,200 katil dan menambah 100 katil baru menjelang 2033.

Baki katil lama akan turut digantikan, dengan 200 katil akan ditambah menjelang 2038, sekaligus meningkatkan jumlah katil kepada 1,500.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg