Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael bina benteng tanah sepanjang 23 kilometer, pisahkan lebih separuh Gaza
Israel bina benteng tanah sepanjang 23 kilometer, pisahkan lebih separuh Gaza
Israel bina benteng tanah sepanjang 23 kilometer, pisahkan lebih separuh Gaza
GAZA: Tentera Israel dilaporkan sedang membina benteng tanah gergasi sepanjang lebih 23 kilometer yang membahagikan lebih separuh Jaluran Gaza yang kini berada di bawah kawalannya, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa pemisahan sementara yang dipersetujui dalam gencatan senjata kini berpotensi menjadi sempadan kekal.
Pendedahan itu dibuat berdasarkan imej satelit yang dianalisis syarikat pemantauan bumi Planet Labs PBC dan disahkan oleh tentera Israel kepada agensi berita Associated Press (AP).
Berdasarkan imej satelit itu, benteng berkenaan dibina merentasi beberapa kawasan yang sebelum ini menempatkan penduduk Palestin tetapi kini musnah akibat operasi ketenteraan Israel.
Panjang benteng yang sudah siap melebihi 23 kilometer, iaitu lebih separuh daripada keseluruhan panjang Gaza yang kira-kira 40 kilometer, manakala lebarnya sekitar 11 kilometer di bahagian paling luas.
Tentera Israel mengesahkan benteng itu dibina di sepanjang kawasan dikenali sebagai “Garisan Kuning”, iaitu garisan yang menjadi sempadan penempatan semula tenteranya mengikut perjanjian gencatan senjata dengan Hamas yang dimeterai pada Oktober 2025.
Di bawah perjanjian yang disokong Amerika Syarikat itu, Garisan Kuning sepatutnya menjadi pemisah sementara sehingga pengunduran penuh tentera Israel daripada Gaza dapat dilaksanakan.
Bagaimanapun, pembinaan benteng secara besar-besaran itu menimbulkan kebimbangan bahawa Israel sedang mengukuhkan kedudukannya dan berhasrat mengekalkan penguasaan ke atas kawasan terbabit dalam jangka panjang.
Tentera Israel turut memaklumkan bahawa ia membangunkan “zon keselamatan” di sepanjang benteng berkenaan yang dilengkapi sistem risikan dan teknologi pemantauan.
“Kawasan itu dibina bagi menghalang penyusupan serta melindungi anggota tentera dan komuniti Israel berhampiran Gaza,” menurut kenyataan tentera Israel.
Namun, pihak tentera enggan mendedahkan sama ada benteng itu akan diteruskan sehingga merentasi keseluruhan Gaza atau berapa jauh lagi pembinaannya akan dilanjutkan.
Awal bulan Julai ini, Israel mengesahkan tenteranya kini menguasai lebih 60 peratus wilayah Gaza, iaitu jauh melebihi kawasan yang dibenarkan untuk dikekalkan sementara di bawah syarat gencatan senjata Oktober 2025.
Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan rakyat Palestin bahawa sebahagian besar wilayah Gaza mungkin tidak lagi dikembalikan selepas perang berakhir.
Menurut analisis imej satelit, pembinaan benteng itu berlangsung dengan pantas.
Di selatan Gaza, benteng yang pada 1 Julai hanya sepanjang kira-kira 500 meter, berkembang kepada kira-kira 2.4 kilometer menjelang 15 Julai.
Benteng itu kini memisahkan bandar Rafah yang musnah teruk daripada kawasan Al-Mawasi, lokasi penempatan khemah terbesar bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Jika pembinaan diteruskan mengikut laluan semasa, benteng itu dijangka bersambung dengan satu lagi jajaran sepanjang hampir 17 kilometer yang menghubungkan Khan Younis sehingga berhampiran Bandar Gaza di utara.
Imej satelit juga menunjukkan tentera Israel terus memperluaskan rangkaian jalan raya tentera, membina pangkalan baharu dan meratakan hampir keseluruhan bandar serta kawasan pertanian di bahagian Gaza yang kini berada di bawah kawalannya.
Beberapa bandar seperti Rafah, Bani Suheila dan Beit Lahiya dilaporkan hampir lenyap daripada landskap selepas dimusnahkan menggunakan jentolak serta bahan letupan.
Tentera Israel mempertahankan tindakan itu dengan mendakwa ia memusnahkan infrastruktur Hamas, termasuk rangkaian terowong, lokasi simpanan senjata dan kemudahan yang didakwa digunakan bagi tujuan ketenteraan.
Penduduk Palestin kini tertumpu di kawasan pantai di sebelah barat Garisan Kuning, dengan kebanyakan mereka tinggal di kem-kem khemah yang sesak dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.
Malah, ramai penduduk dikatakan tidak menyedari lokasi sebenar Garisan Kuning kerana terlalu berbahaya untuk menghampiri kawasan itu.
Tentera Israel mengakui sedang menandakan laluan Garisan Kuning dengan lebih jelas bagi mengurangkan kekeliruan, tetapi dalam tempoh beberapa bulan lalu, beberapa rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, dilaporkan terbunuh selepas menghampiri atau melintasi kawasan berkenaan.
Israel pula menegaskan tenteranya hanya melepaskan tembakan terhadap individu yang disyaki mengancam keselamatan anggota mereka.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025, sekurang-kurangnya 1,100 penduduk Palestin terbunuh di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.
Israel menyatakan angka keseluruhan korban yang dikemukakan kementerian itu secara amnya boleh dipercayai, namun tidak membezakan antara orang awam dan anggota bersenjata.
Dalam tempoh sama, lima anggota tentera Israel dilaporkan terbunuh dalam serangan kumpulan bersenjata Palestin.
Pelaksanaan penuh perjanjian gencatan senjata masih tergendala berikutan pertikaian mengenai proses pelucutan senjata Hamas.
Mengikut pelan yang disokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, tentera Israel sepatutnya berundur secara berperingkat ke pinggir Gaza sebelum digantikan oleh Pasukan Keselamatan Antarabangsa (ISF) di bawah penyelarasan Lembaga Keamanan.
Bagaimanapun, proses itu masih belum dapat dilaksanakan kerana Israel menegaskan pengunduran hanya akan diteruskan selepas Hamas melaksanakan proses pelucutan senjata, syarat yang masih ditolak kumpulan itu.
Setakat ini, Markas Pusat Amerika (Centcom), yang memantau pelaksanaan gencatan senjata, serta Lembaga Keamanan enggan mengulas mengenai pembinaan benteng tersebut. - Agensi berita
