AMMAN: Ketika Putera Ali bin Al Hussein bertanding merebut jawatan Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada 2015, peluang beliau untuk memimpin badan bola sepak dunia itu dilihat tipis.

Namun ketika itu, impian Jordan untuk layak ke Piala Dunia juga dianggap hampir mustahil.

Sedekad kemudian, keadaan berubah sama sekali.

Jordan kini berdiri di pentas terbesar bola sepak dunia sebagai salah satu daripada empat negara yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia Fifa 2026 – satu pencapaian yang dianggap simbol kebangkitan sukan negara kecil Asia Barat itu.

Ia juga lambang perpaduan rakyat Jordan dan diaspora Arab di seluruh dunia.

Bagi Putera Ali, kejayaan itu lebih bermakna daripada sebarang jawatan dalam Fifa.

“Ini jauh lebih penting,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui di hotel pasukan Jordan di California sebelum menentang Algeria.

Menurut beliau, kejayaan Jordan layak ke Piala Dunia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil lebih dua dekad pembangunan bola sepak akar umbi yang dilakukan secara tekal dan sabar.

Dengan bantuan pakar teknikal antarabangsa, Jordan membina sistem pembangunan belia sendiri, termasuk pusat pencarian bakat untuk melatih pemain tempatan seawal usia 10 tahun.

Berbeza dengan sesetengah negara kecil lain yang bergantung kepada pemain diaspora dari Eropah atau pemain naturalisasi, Jordan memilih pendekatan membangunkan bakat tempatan.

“Mereka ialah anak-anak saya,” kata Putera Ali mengenai pemain Jordan.

“Ada antara mereka kini sebaya dengan anak saya. Ada juga yang saya anggap seperti adik.”

Pendekatan peribadi itu memperlihatkan bagaimana Putera Ali bukan sekadar presiden persatuan bola sepak, malah, figura yang sangat dekat dengan skuad kebangsaan Jordan.

Beliau mengiringi pasukan sepanjang kejohanan, menjadi orang tengah antara pemain dengan jurulatih, malah membantu mereka membentuk jersi pasukan bersama anak perempuannya.

Jersi Jordan di Piala Dunia 2026 turut membawa lambang penting identiti nasional negara itu – corak merah putih shemagh, kain tradisional Jordan yang sering dipakai penyokong di stadium.

“Kami fikir, mengapa tidak masukkan terus identiti itu pada jersi?” katanya.

Namun, kisah Jordan di Piala Dunia 2026 jauh melangkaui bola sepak.

Kejohanan di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico itu diadakan ketika Asia Barat terus bergolak akibat perang Gaza, ketegangan Iran-Israel dan ketidakstabilan serantau.

Jordan yang terletak bersempadan dengan Israel menjadi antara negara paling terkesan dengan konflik berterusan di rantau itu.

Negara itu menempatkan jutaan pelarian Palestin dan baru-baru ini turut berdepan ancaman keselamatan apabila peluru berpandu Iran dilapor melintasi ruang udara negara itu dalam serangan terhadap lokasi yang menempatkan kepentingan tentera Amerika Syarikat di rantau berkenaan.

Dalam konteks itu, kemaraan Jordan ke Piala Dunia memberi makna simbolik lebih besar kepada rakyat negara itu dan dunia Arab.

“Asia Barat bukan satu kawasan yang seragam seperti yang sering dianggap orang luar,” kata Putera Ali.

“Kami di Jordan tidak mempunyai minyak atau kekayaan seperti sesetengah negara lain. Tetapi kami mewakili Levant secara keseluruhan – Palestin, Syria, Lebanon – kerana mereka melihat diri mereka dalam kami.”

Perpaduan itu jelas kelihatan di stadium ketika Jordan menentang Algeria.

Ramai penyokong Jordan memakai shemagh, iaitu kain penutup kepala tradisional Arab bercorak merah putih yang sering dikaitkan dengan identiti Jordan, bersama keffiyeh hitam putih Palestin, iaitu kain tradisional yang menjadi lambang identiti nasional dan perjuangan rakyat Palestin, sebagai tanda perpaduan dan sokongan terhadap rakyat Palestin.

Sehari sebelum perlawanan, beberapa rakyat Palestin yang cedera akibat perang Gaza dan dibawa ke Amerika Syarikat untuk rawatan, turut mengunjungi pasukan Jordan.

“Penting untuk kami menunjukkan sokongan kepada mereka, dan mereka juga menyokong kami,” kata Putera Ali yang ibunya berasal dari Palestin.

“Tetapi ia sangat menyedihkan apabila melihat ada mangsa kehilangan tangan dan anggota badan. Ia sangat emosional.”

Bagi diaspora Jordan di Amerika pula, penyertaan negara itu di Piala Dunia menjadi detik penyatuan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Di luar hotel pasukan di San Jose, rakyat Jordan dan Palestin dari Chicago, Michigan dan California berkumpul menyanyikan lagu serta melaungkan sokongan sebelum pemain bertolak ke stadium.

“Ini saat paling membanggakan dalam hidup saya,” kata Encik Farouk Jarrah, 65 tahun, yang berhijrah ke Amerika ketika berusia 17 tahun.

“Bagi negara kecil seperti kami yang bertahan di rantau penuh cabaran, anda tidak boleh bayangkan betapa bangganya kami.”

Kehadiran Jordan turut mencetuskan detik luar biasa di luar padang.

Satu video tular menunjukkan seorang anggota keselamatan hotel, Cik Shannon Manson, bergurau sambil mengiringi Putera Ali menaiki bas latihan kerana beliau terlalu lama melayan penyokong dan menandatangani autograf.

“Saya tak tahu dia seorang putera, tetapi saya rasa sangat gembira,” kata Cik Manson, selepas video itu menjadi viral dalam kalangan masyarakat Jordan dan Asia Barat.

Putera Ali sendiri ketawa mengenang kejadian itu.

“Dia halau saya keluar,” katanya sambil bergurau.

Di Portland dan California, anggota polis serta pengawal keselamatan dilihat memakai selendang Jordan yang diberikan penyokong.

Bagi Putera Ali, momen seperti itu menunjukkan bagaimana bola sepak mampu merentasi politik dan sempadan.

“Ini sangat penting kerana ia menunjukkan penghargaan antara satu sama lain tanpa mengira politik,” katanya. – Agensi berita.

Walaupun Jordan hampir tersingkir selepas tewas kepada Algeria dan berdepan juara dunia Argentina yang diketuai Lionel Messi, penyertaan negara itu sudah dianggap kemenangan besar.

Bagi Putera Ali, Jordan kini bukan lagi pasukan kecil yang hanya menjadi pemerhati di luar pentas dunia.

“Ia satu cabaran besar, tetapi jika mahu berada di tahap ini, kita perlu berdepan pasukan terbaik untuk melihat sejauh mana kemampuan sebenar kita,” katanya.

“Mungkin selepas perlawanan, mereka pula yang mahu autograf pemain kami.” - Agensi berita