Apabila Singapura semakin menuju ke arah menjadi sebuah masyarakat yang menua, keperluan untuk mengenal pasti dan menangani masalah kesihatan warga emas menjadi kian mendesak.
Antara penyakit yang sering dianggap ringan namun mampu meninggalkan kesan besar adalah kayap, atau nama perubatannya herpes zoster.
Ia jangkitan yang boleh menyebabkan sakit berpanjangan dan menjejas mutu hidup pesakit.
Kayap berlaku apabila virus varicella zoster – virus yang menyebabkan penyakit cacar air (chickenpox) aktif semula dalam tubuh.
Selepas seseorang pulih daripada cacar air, virus itu kekal ‘tidur’ dalam saraf badan dan boleh ‘bangkit’ semula bertahun-tahun kemudian.
Apabila aktif semula, ia menyebabkan ruam merah yang menyakitkan dan melepuh, biasanya di satu bahagian tubuh sahaja.
Masalahnya tidak berhenti di situ.
Bagi ramai warga emas, kesakitan yang berpanjangan selepas ruam hilang dikenali sebagai neuralgia lepas herpes atau postherpetic neuralgia (PHN).
Ia merupakan sakit yang bisa di sepanjang saraf selepas berlaku serangan herpes.
Dengan itu, ia boleh mengganggu tidur, pergerakan, dan mutu hidup.
Kayap yang melibatkan mata atau telinga boleh menjadi sangat serius.
Jika tidak dirawat awal, ia boleh menyebabkan masalah penglihatan kekal atau gangguan pendengaran.
Dalam sesetengah kes yang jarang berlaku, kayap juga boleh menyebabkan jangkitan bakteria pada saraf muka yang boleh merebak ke otak dan mengancam nyawa.
Warga emas lebih berisiko kerana sistem imun mereka secara semula jadi menjadi lebih lemah dengan usia.
Inilah sebabnya vaksinasi menjadi langkah pencegahan yang sangat penting.
Saya ingin berkongsi kisah Encik Hassan, seorang warga emas berusia 72 tahun yang tinggal di Toa Payoh.
Beliau seorang yang aktif dan berdikari, sering menyertai senaman pagi di pusat masyarakat dan bermain badminton setiap minggu.
Pada 2024, Encik Hassan mula mengalami ruam yang sangat sakit di bahagian kiri badan.
Selepas pemeriksaan, beliau disahkan menghidap kayap.
Malangnya, walaupun ruam telah sembuh, beliau terus mengalami sakit saraf yang teruk.
Akibatnya, beliau terpaksa berhenti bersosial, tidak dapat tidur lena, dan kehilangan keyakinan diri.
Apabila beliau datang ke Alami Clinic, kami memulakan rawatan dengan ubat sakit saraf dan fisioterapi.
Walaupun kesakitan akhirnya berkurang, proses pemulihan mengambil masa beberapa bulan.
Kes Encik Hassan menunjukkan betapa kayap bukan sekadar ruam sementara, ia boleh meragut kebebasan dan mutu hidup seseorang warga emas.
Kayap boleh dicegah. Kini terdapat dua jenis vaksin: Live attenuated vaccine iaitu vaksin hidup dilemahkan seperti Zostavax, dan vaksin rekombinan berasaskan protein seperti Shingrix.
Shingrix mempunyai keberkesanan yang lebih tinggi, melebihi 90 peratus dalam mencegah kayap dan PHN, walaupun dalam kalangan warga emas lanjut usia.
Vaksin bukan sekadar menghalang ruam yang menyakitkan.
Ia turut melindungi kebebasan warga emas, mengurangkan risiko kerumitan seperti jangkitan pada mata dan telinga, di samping mengurangkan kemungkinan dimasukkan ke hospital.
Pencegahan adalah pelaburan terbaik untuk kesihatan jangka panjang.
Kayap sukar dikenali pada peringkat awal. Berikut beberapa tanda amaran penting:
– Pada mulanya, ia mungkin hanya kelihatan seperti tompok merah yang sedikit timbul, sebelum muncul lepuh yang jelas.
– Rasa sakit yang kuat di satu bahagian badan sebelum ruam muncul boleh menjadi tanda awal.
– Bagi pesakit demensia atau yang kurang mampu berkomunikasi, mereka mungkin tidak boleh memberitahu bahawa mereka sakit.
Tanda-tanda amaran termasuk:
– Sukar makan
– Terlalu mengantuk atau mudah marah
– Tiba-tiba jadi lemah, atau
– Kerap jatuh tanpa sebab jelas
Jika tanda-tanda itu berlaku, segera dapatkan pemeriksaan perubatan.
Rawatan awal dalam tempoh 72 jam selepas ruam muncul sangat penting untuk mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang.
Namun, kos vaksin kayap masih menjadi halangan utama.
Berbeza dengan vaksin influenza dan pneumokokal yang disubsidi, ramai warga emas ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin kayap kerana ia mahal, terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tidak mengalami penyakit kronik.
Saya menyambut baik cadangan subsidi pemerintah untuk vaksin kayap.
Jika dilaksanakan, ia akan memberi manfaat besar kepada masyarakat Singapura:
Kurangkan Kes Kayap dan Komplikasi: Lebih ramai warga emas divaksin, lebih sedikit kes baharu dan komplikasi serius seperti jangkitan mata atau telinga.
Kurangkan Beban Sistem Kesihatan: Kurangnya kes bermakna kurang lawatan klinik dan rawatan di hospital.
Tingkatkan Mutu Hidup: Warga emas dapat terus aktif dan berdikari tanpa gangguan kesakitan.
Pelaburan Bijak: Kos vaksin jauh lebih rendah berbanding kos merawat komplikasi jangka panjang.
Di Alami Clinic, kami mula menggalakkan warga emas mendapatkan vaksin kayap melalui sesi kaunseling kesihatan dan ceramah dalam masyarakat.
Kami juga membantu keluarga mengenali tanda awal penyakit ini, khususnya untuk pesakit dementia atau warga emas yang tinggal bersendirian.
Dengan adanya subsidi, kami yakin lebih ramai warga emas akan mengambil langkah pencegahan melalui vaksinasi, selaras dengan usaha negara mewujudkan masyarakat yang aktif dan sihat.
Kayap mungkin kelihatan seperti masalah kecil jika dibandingkan dengan angin ahmar atau serangan jantung.
Namun, bagi warga emas, ia boleh menjadi ancaman senyap yang merampas kebebasan dan keselesaan hidup mereka.
Dengan vaksinasi, kita mempunyai peluang untuk menghalang penderitaan ini sebelum ia bermula.
Subsidi vaksin kayap bukan sekadar langkah prihatin pemerintah tetapi pelaburan penting demi kesejahteraan negara.
Bagi warga emas seperti Encik Hassan, vaksin kayap boleh menentukan sama ada mereka terus menikmati kehidupan aktif atau menderita dalam kesakitan.
Marilah kita bekerjasama dalam memastikan warga emas Singapura hidup lebih sihat, lebih lama, dan lebih bermaruah.
Penulis pakar perubatan geriatrik dari Alami Clinic by Dr Farhan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg