Topik diikuti
Pergi ke BHkuKejang kelopak mata bertukar jadi kejang separuh wajah
Kejang kelopak mata bertukar jadi kejang separuh wajah
Ramai pesakit anggap kejang hanya kesan keletihan, tekanan atau terlalu lama menatap skrin komputer dan telefon
Kejang kelopak mata bertukar jadi kejang separuh wajah
Ramai orang pernah mengalami kekejangan kelopak mata selepas seharian bekerja, kurang tidur atau berdepan tekanan.
Dalam kebanyakan keadaan, gangguan itu hanya berlaku seketika dan akan pulih dengan rehat.
Namun, keadaan berbeza apabila kekejangan itu berlaku berulang kali, hanya melibatkan sebelah wajah dan secara beransur-ansur merebak daripada kelopak mata ke pipi, mulut dan rahang.
Gejala seperti itu mungkin menandakan kejang separuh wajah (hemifacial spasm), iaitu gangguan neurologi yang berpunca daripada masalah pada saraf muka.
Ramai pesakit pada mulanya menganggap keadaan itu hanyalah kesan keletihan, tekanan atau terlalu lama menatap skrin komputer dan telefon.
Akibatnya, ramai hanya mendapatkan rawatan apabila kejang menjadi semakin ketara, lebih kerap berlaku atau mula mengganggu kegiatan harian serta menjejas keyakinan diri.
Gejala Lazim
Kekejangan separuh muka kerap bermula secara halus dan boleh disalah anggap sebagai kedutan akibat keletihan atau tekanan.
Antara gejala yang biasa dialami termasuk:
+ Kedutan berulang di sekeliling satu mata;
+ Tarikan atau ketegangan tanpa kawalan pada satu sisi muka;
+ Kedutan yang merebak dari mata ke pipi atau mulut;
+ Kekejangan muka yang bertambah teruk apabila rasa tertekan, penat atau semasa bercakap;
+ Sukar membuka satu mata ketika kekejangan lebih kuat;
+ Gejala berterusan dan semakin ketara dari masa ke masa.
Sesetengah pesakit turut melaporkan rasa tegang pada muka, ketidakselesaan atau rasa rendah diri yang semakin meningkat semasa berinteraksi secara sosial.
Jika tekanan atau kerengsaan pada saraf muka berterusan, saraf itu boleh menjadi semakin sensitif sehingga menyebabkan kekejangan berlaku dengan lebih kerap dan lebih kuat.
Dalam kes berlarutan, keadaan itu boleh menjejas tumpuan, penglihatan, pemanduan, komunikasi, mutu tidur dan kegiatan harian, sekali gus memberi kesan kepada mutu hidup pesakit.
Apakah Kekejangan Separuh Wajah?
Kekejangan separuh wajah ialah pengecutan otot tanpa kawalan pada satu sisi muka.
Ia lazimnya bermula di sekitar mata sebelum merebak ke bahagian lain muka.
Ada pesakit yang menggambarkannya sebagai mata yang “tidak berhenti bergetar” atau sensasi tarikan pada satu sisi muka.
Walaupun keadaan itu biasanya tidak mengancam nyawa, kekejangan yang berterusan boleh menjejas keyakinan diri, tumpuan, prestasi kerja, pemanduan dan interaksi sosial.
Kajian perubatan antarabangsa menunjukkan kekejangan separa muka itu lebih kerap ditemui dalam kalangan orang dewasa pertengahan umur, walaupun ia turut boleh berlaku pada individu lebih muda.
Hubungannya dengan Otak dan Saraf
Kejang separuh wajah berlaku apabila saraf muka, yang mengawal pergerakan otot seperti berkelip, tersenyum dan menghasilkan pelbagai ekspresi wajah, mengalami gangguan.
Dalam kebanyakan kes, gangguan itu berpunca daripada salur darah yang menekan saraf muka berhampiran batang otak, iaitu bahagian bawah otak yang menghubungkan otak dengan saraf tunjang.
Denyutan salur darah yang berlaku berulang kali boleh merengsakan saraf tersebut, sekali gus menyebabkan otot pada sebelah wajah mengecut atau bergerak tanpa kawalan.
Oleh sebab itu, kejang atau kedutan pada sebelah wajah yang berterusan tidak seharusnya dianggap sekadar berpunca daripada tekanan, keletihan atau kurang tidur.
Kedutan kelopak mata akibat keletihan lazimnya bersifat sementara dan akan pulih selepas berehat.
Sebaliknya, kejang separuh wajah biasanya berlarutan, hanya menjejas satu sisi muka dan boleh menjadi kian kerap serta semakin teruk jika tidak dirawat.
Kepentingan Kesedaran Awam
Hari ini, semakin ramai, khususnya golongan muda, lebih peka terhadap kesihatan dan gemar mendapatkan maklumat mengenai gejala penyakit menerusi Internet serta media sosial.
Walaupun langkah itu dapat meningkatkan kesedaran, maklumat yang diperoleh tidak seharusnya menggantikan pemeriksaan doktor.
Pakar menegaskan bahawa orang ramai perlu mengenali tanda-tanda awal sesuatu penyakit dan mendapatkan penilaian perubatan jika gejala berlarutan atau semakin teruk.
Bukan setiap kedutan pada wajah menandakan gangguan neurologi yang serius.
Namun, jika kekejangan berlaku berulang kali, semakin kerap atau mula menjejas kehidupan harian, pesakit tidak seharusnya berlengah mendapatkan rawatan.
Pemeriksaan biasanya bermula dengan penilaian neurologi sebelum disusuli ujian pengimejan seperti imbasan resonans magnetik (MRI), jika perlu.
Ia bagi mengenal pasti sama ada terdapat tekanan pada saraf muka atau masalah struktur lain yang menjadi puncanya.
Pengurusan dan Rawatan
Pengurusan kejang separuh wajah bergantung pada tahap keterukan gejala serta sejauh manakah ia menjejas kehidupan harian pesakit.
Bagi kes ringan, doktor mungkin hanya memantau perkembangan gejala, terutama jika kekejangan berlaku sekali-sekala dan tidak mengganggu kegiatan harian.
Sesetengah pesakit pula boleh diberi ubat-ubatan atau suntikan toksin botulinum (Botox) untuk membantu mengurangkan pengecutan otot dan melegakan gejala buat sementara waktu.
Namun, jika kekejangan berlaku semakin kerap, bertambah teruk atau mula menjejas penglihatan, pertuturan dan kegiatan harian, pesakit biasanya memerlukan penilaian lanjut bagi mengenal pasti puncanya.
MRI misalnya, dapat membantu doktor menilai keadaan saraf muka dan mengesan sama ada terdapat salur darah atau struktur lain yang menekan saraf berhampiran batang otak.
Maklumat itu penting bagi menentukan pilihan rawatan yang paling sesuai untuk setiap pesakit.
Dalam kes lebih teruk atau semakin progresif, pembedahan mungkin dipertimbangkan bagi melegakan tekanan pada saraf muka.
Rawatan ini biasanya disyorkan kepada pesakit yang mengalami kekejangan berterusan sehingga menjejas kegiatan harian, walaupun telah menjalani rawatan seperti ubat-ubatan atau suntikan toksin botulinum.
Matlamat pembedahan adalah untuk mengurangkan tekanan pada saraf muka, sekali gus menghentikan kerengsaan yang menyebabkan otot pada sebelah wajah terus mengecut tanpa kawalan.
Pakar menegaskan bahawa kesedaran awam memainkan peranan penting supaya pesakit dapat mengenal pasti tanda awal penyakit dan mendapatkan rawatan sebelum gejala menjadi lebih serius.
Gejala gangguan neurologi tidak semestinya muncul secara tiba-tiba. Adakala ia bermula dengan perubahan kecil yang berlaku sekali-sekala sebelum menjadi semakin kerap dan ketara.
Mengenal pasti tanda-tanda itu lebih awal membolehkan pesakit mendapatkan penilaian perubatan dan rawatan yang sesuai sebelum keadaan menjejas mutu hidup.
Penulis Pakar Bedah Saraf Kanan dan Pengarah Pembedahan Saraf di Advanced Brain and Spine Surgical Centre.
