Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Telinga berdesing, gejala awal hilang pendengaran

Tinitus boleh berlaku tanpa punca yang dapat dikenal pasti
Jul 7, 2025 | 5:30 AM
Dr Teo Kejia,  mount elizabeth
Dr Teo Kejia, Pakar Perunding Kanan, Precision Neurosurgery, Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Singapura. - Foto ihsan DR TEO KEJIA

Punca biasa tinitus

Dalam sesetengah kes, tinitus atau telinga berdesing boleh berlaku tanpa punca yang dapat dikenal pasti.

Punca sebenar tinitus masih belum jelas, tetapi beberapa faktor dikaitkan dengan perkembangannya:

Pendedahan pada bunyi bising: Bunyi bising yang kuat dari tempat kerja, konsert, acara sukan, atau berkhidmat dalam bidang ketenteraan boleh menyebabkan tinitus. Ia mungkin akibat pendedahan pada tembakan, jentera dan letupan.

Hilang pendengaran: Tinitus amat berkait rapat dengan kehilangan pendengaran, sama ada disebabkan oleh faktor penuaan atau pendedahan berpanjangan pada bunyi kuat. Namun, tidak semua individu yang mengalami kehilangan pendengaran akan mendapat tinitus.

Ubat-ubatan: Sesetengah ubat boleh mencetuskan tinitus, terutama dos yang tinggi. Ini termasuk ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen, naproxen dan aspirin serta beberapa antibiotik, ubat kemoterapi, ubat antimalaria dan ubat yang di­guna­kan uuntuk melegakan kemurungan atau antidepresan.

Pengumpulan tahi telinga atau jangkitan telinga: Sumbatan akibat tahi telinga berlebihan atau cecair daripada jangkitan boleh menyebabkan tinitus.

Kepala atau leher cedera: Kerosakan pada struktur telinga, saraf auditori, atau kawasan otak yang memproses bunyi akibat trauma pada kepala atau leher boleh menyebabkan tinitus.

Masalah sendi rahang (TMJ): Mengetap rahang atau mengetap gigi boleh menjejas tisu berhampiran telinga, dan mungkin mencetus atau memburukkan tinitus.

Tumor: Ketumbuhan seperti Schwannoma vestibular juga dikenali sebagai neuroma akustik – sejenis tumor jinak bukan barah serta tumor lain di bahagian kepala atau leher boleh menjadi punca keadaan ini.

Gangguan saluran darah: Tekanan darah tinggi, aterosklerosis atau saluran darah tidak normal berhampiran telinga boleh mengubah aliran darah dan menyumbang kepada tinitus.

Kesihatan kronik: Tinitus telah dikaitkan dengan keadaan seperti kencing manis, migrain, gangguan tiroid, anemia, dan penyakit autoimun seperti lupus dan sklerosis berbilang iaitu sejenis penyakit kronik yang menjejas sistem saraf pusat, khususnya otak dan saraf tunjang.

Perbezaan tinitus akibat neuroma akustik dengan punca lain

Pesakit boleh membezakan tinitus akibat neuroma akustik dengan memberi perhatian pada kehilangan pendengaran sebelah telinga, bunyi berdesing, dan masalah keseimbangan, khususnya apabila gejala bertambah buruk dan tidak seimbang.

Neuroma akustik lazimnya seiring gejala seperti tinitus yang disertai kehilangan pendengaran sebelah telinga dan masalah keseimbangan, sedangkan punca tinitus lain mungkin tidak melibatkan gejala khusus itu.

Berbeza dengan tinitus akibat pendedahan kepada bunyi bising, tinitus yang berpunca daripada neuroma akustik sering hadir bersama gejala neurologi lain.

Penilaian perubatan, termasuk ujian pendengaran dan pengimejan, perlu untuk menentukan punca sebenar.

Bilakah perlu jumpa doktor?

Pesakit disaran menemui doktor jika mengalami deringan dalam telinga yang berterusan melebihi seminggu, kehilangan pendengaran, rasa pening, vertigo (sensasi pergerakan palsu), atau tinitus yang menyerupai bunyi degupan jantung.

Jika pesakit mengalami kehilangan pendengaran secara tiba-tiba selain daripada tinitus, mereka juga harus segera menjalani pemeriksaan doktor.

Rawatan untuk kehilangan pendengaran secara tiba-tiba paling berkesan dalam tempoh tiga hari.

Perkembangan tinitus dalam kalangan pesakit neuroma akustik 

Tinitus, yang digambarkan sebagai bunyi berdesing, berdengung atau berdesis, berlaku dalam kalangan pesakit neuroma akustik akibat tekanan atau gangguan disebabkan oleh tumor saraf pendengaran.

Apabila tumor membesar, ia boleh mengganggu atau menekan saraf pendengaran, sekali gus menjejas penghantaran isyarat bunyi secara normal ke otak.

Gangguan itu boleh menyebabkan otak mentafsir bunyi yang tidak wujud, lalu menghasilkan gejala tinitus

Tinitus kerap menjadi gejala awal kerana pertumbuhan tumor menjejas saraf pendengaran secara langsung, menyebabkan perubahan awal dalam fungsi pendengaran sebelum gejala lain muncul.

Dalam konteks ini, tinitus bernada tinggi merupakan bentuk yang paling lazim dialami pesakit.

Kesan neuroma akustik terhadap vertigo dan mabuk gerak (motion sickness)

Neuroma akustik boleh memburukkan vertigo serta gejala berkaitan seperti mabuk gerak.

Apabila tumor jinak itu membesar, ia boleh menekan saraf vestibulokoklear yang berperanan dalam pendengaran dan keseimbangan.

Tekanan ini mengganggu fungsi normal telinga dalam dan pusat keseimbangan di otak, lalu mencetuskan pening, ketidakseimbangan (vertigo), dan meningkatkan kerentanan terhadap mabuk gerak.

Gejala yang dialami pesakit bergantung kepada saiz, kedudukan tumor, serta tahap tekanan yang dikenakan ke atas saraf tersebut.

Kadar neuroma akustik di Singapura/Asia

Walaupun data khusus bagi Singapura atau rantau Asia masih terhad, anggaran kadar kejadian neuroma akustik di peringkat sejagat menunjukkan ia lebih lazim daripada yang dipercayai sebelum ini.

Kajian melaporkan kadar sekitar 1 hingga 2 kes bagi setiap 100,000 penduduk, dengan anggaran seorang daripada 500 orang dewasa berumur lebih 70 tahun berisiko mengalami neuroma akustik pada suatu ketika dalam hidup mereka.

Neuroma akustik menjejas lelaki dan wanita secara sama rata dan boleh berlaku pada sebarang peringkat usia, walaupun ia paling kerap didiagnosis dalam kalangan individu berumur antara 45 dengan 70 tahun.

Dahulu dianggap sebagai penyakit yang jarang berlaku, namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kadar diagnosis neuroma akustik kian meningkat.

Perangkaan sejagat menunjukkan kadar kejadian mencapai 3.07 kes bagi setiap 100,000 orang pada 2011, mencerminkan trend peningkatan secara berterusan di seluruh dunia.

Apakah neuroma akustik?

Neuroma akustik juga dikenali sebagai schwannoma vestibular iaitu tumor yang tumbuh perlahan pada saraf vestibulokoklear dan bukan barah.

Saraf itu menghubungkan otak ke telinga dalam dan bercabang pada bahagian yang memainkan peranan penting dalam pendengaran dan keseimbangan.

Tumor itu berasal daripada sel Schwann iaitu sel yang bertanggungjawab menghasilkan selaput mielin yang menyelaputi gentian saraf.

Itulah sebabnya tumor tersebut dikenali sebagai schwannoma. Schwannoma boleh berlaku pada mana-mana saraf kranial atau periferal dalam badan tetapi dalam otak, neuroma akustik adalah schwannoma paling biasa.

Oleh kerana pertumbuhannya yang perlahan, neuroma akustik boleh kekal pada saiz yang sama selama bertahun-tahun bagi sesetengah pesakit.

Ia biasanya tidak menyerang dan memusnahkan tisu seperti tumor barah namun, ia boleh menyebabkan gejala apabila ia membesar dan menekan struktur sekeliling yang penting.

Punca neuroma akustik

Hampir semua neuroma akustik melibatkan sekurang-kurangnya satu mutasi dalam gen penting yang ditemui pada kromosom 22.

Apabila berfungsi secara normal, gen itu menghalang sel Schwann daripada membesar tanpa kawalan menjadi tumor.

Bagaimanapun, mutasi dalam gen itu boleh menyebabkan pembentukan ketumbuhan.

Dalam kebanyakan kes, punca sebenar mutasi itu masih tidak diketahui.

Sekitar 95 peratus neuroma akustik berlaku secara rawak akibat mutasi genetik dan bukannya diwarisi.

Tiada bukti kukuh yang mengaitkan makanan tertentu, merokok atau faktor persekitaran dengan peningkatan risiko mendapat neuroma akustik.

Selain faktor risiko yang tidak lazim seperti pendedahan kepada radiasi semasa zaman kanak-kanak, tiada punca yang dikenal pasti menjelaskan mengapa kebanyakan kes neuroma akustik berlaku.

Dalam sekitar 95 peratus kes neuroma akustik sporadik, hanya satu tumor dikesan.

Namun begitu, sekitar 5 peratus pesakit mengalami tumor pada kedua-dua belah saraf pendengaran dan mungkin turut mempunyai ketumbuhan jinak lain di otak dan saraf tunjang, seperti meningioma, ependimoma dan schwannoma.

Keadaan itu dikenali sebagai Neurofibromatosis Jenis 2 (NF2), suatu gangguan genetik yang boleh diwarisi daripada ibu bapa.

Ia disebabkan oleh mutasi dalam gen NF2 pada kromosom 22. Bagaimanapun dalam hampir separuh kes NF2, tiada sejarah keluarga mengenai penyakit ini.

NF2 didiagnosis apabila seseorang mempunyai neuroma akustik dua hala, satu neuroma akustik dengan sejarah keluarga NF2 atau satu neuroma akustik bersama tumor otak atau saraf tunjang yang lain.

Gejala ueuroma akustik

Oleh kerana neuroma akustik biasanya tumbuh pada saraf keseimbangan dan pendengaran, gejala biasa adalah:

Rasa penuh dalam telinga: Mereka yang menghidapi neuroma akustik mungkin mengalami sensasi penuh dalam telinga, seolah-olah ada air di dalamnya. Sensasi ini biasanya disebabkan oleh kehilangan pendengaran akibat tumor.

Kehilangan pendengaran sebelah: Lebih 90 peratus individu dengan neuroma akustik mengalami tahap kehilangan pendengaran sebelah (satu sisi). Jenis kehilangan pendengaran ini boleh menyukarkan untuk mendengar dalam persekitaran yang bising atau menentukan arah bunyi.

Tanda-tanda kehilangan pendengaran ini termasuk cenderung memegang telefon di sebelah telinga tertentu atau kesukaran mengikuti perbualan dalam tempat yang sesak.

Kehilangan pendengaran ini biasanya berkembang secara beransur-ansur dari masa ke masa dan akhirnya boleh menyebabkan pekak sepenuhnya di telinga yang terjejas.

Dalam kes yang jarang berlaku iaittu sekitar 5 peratus pesakit, kehilangan pendengaran boleh berlaku secara tiba-tiba.

Kehilangan ini boleh menjadi sebahagian atau sepenuhnya dan dalam sesetengah kes, pendengaran mungkin pulih secara spontan.

Kehilangan pendengaran secara tiba-tiba boleh menjadi gejala awal yang membawa kepada diagnosis atau boleh berlaku beberapa bulan atau beberapa tahun sebelum tumor dikenal pasti.

Tumor boleh memberi kesan kepada julat bunyi yang boleh didengari seseorang serta kejelasan bunyi itu.

Perlu diingat, kehilangan pendengaran boleh berlaku walaupun tumor tidak membesar.

Sebilangan kecil pesakit neuroma akustik mungkin belum mengalami kehilangan pendengaran yang disebabkan oleh tumor.

Dalam beberapa kes, kehilangan pendengaran ringan akibat neuroma akustik mungkin tidak disedari, yang boleh menyebabkan kelewatan dalam diagnosis.

Masalah keseimbangan dan vertigo: Oleh kerana neuroma akustik berkembang dari saraf vestibular yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan, ketidakseimbangan atau masalah keseimbangan boleh menjadi tanda awal keadaan ini.

Hampir separuh daripada individu dengan neuroma akustik melaporkan gejala ini, yang sering bertambah buruk apabila tumor membesar.

Dalam kes tumor yang lebih besar, tekanan ke atas bahagian otak kecil (serebelum) mungkin berlaku, meningkatkan risiko jatuh, biasanya ke arah sisi tumor.

Sistem keseimbangan badan boleh menyesuaikan diri dengan kehilangan fungsi vestibular, yang berpotensi menyebabkan penstabilan dari masa ke masa.

Walaupun vertigo sebenar – iaitu sensasi berpusing atau rasa condong – jarang dikaitkan secara langsung dengan neuroma akustik, ia kadangkala boleh berlaku disebabkan oleh pertumbuhan atau pendarahan tumor.

Muka kebas: Keadaan ini boleh berlaku apabila tumor yang membesar menekan saraf trigeminal. Pesakit mungkin mengalami rasa kebas yang berterusan atau berlaku secara berkala, disertai sensasi mencucuk halus (parestesia) pada bahagian muka yang sepadan dengan kedudukan neuroma akustik.

Sensasi ini lazimnya muncul di sekitar sudut mulut atau pada pipi.

Dalam sesetengah kes, mata turut mengalami kerengsaan atau kemerahan akibat gangguan pada saraf yang menjejas tindak balas kelipan semula jadi untuk melindungi permukaan mata.

Kedutan atau kelemahan pada muka: Keadaan ini boleh berlaku apabila tumor menekan saraf muka, menyebabkan pergerakan tidak terkawal seperti kedutan atau kejang pada otot di sekitar mata, kening, dahi atau mulut.

Dalam kes yang jarang berlaku, pesakit mungkin turut mengalami kelemahan pada wajah.

Namun begitu, kelemahan otot muka kebiasaannya hanya muncul apabila tumor akustik mencapai saiz yang besar, dan ia jarang menjadi gejala utama semasa peringkat awal diagnosis.

Bunyi dalam telinga (tinnitus): Tinitus ialah gejala yang sering dilaporkan dalam neuroma akustik.

Individu dengan neuroma akustik sering mendengar nada bernada tinggi di telinga yang terjejas oleh tumor.

Dalam kes lain, tinitus mungkin menyerupai bunyi desiran, berdengung, atau deruman – serupa dengan bunyi yang didengar apabila memegang kulit kerang ke telinga.

Walaupun kebanyakan pesakit dengan neuroma akustik mengalami kedua-dua tinitus dan kehilangan pendengaran di satu telinga, sesetengahnya mungkin mengalami tinitus tanpa kehilangan pendengaran yang ketara.

Tinitus boleh berubah dari segi intensiti dan coraknya; ia mungkin datang dan pergi atau kekal berterusan, melibatkan satu atau pelbagai nada, dan berkisar daripada sangat perlahan hingga sangat kuat.

Masalah menelan: Keadaan ini boleh berlaku apabila ketumbuhan itu memberi tekanan ke atas saraf vagus dan hipoglosal. Kedua-dua saraf ini memainkan peranan penting dalam proses menelan, termasuk kawalan deria di bahagian tekak serta pergerakan pita suara dan lidah

Perubahan deria rasa dan keluar air mata: Ini adalah gejala yang jarang berlaku tetapi ia perlu dinilai oleh doktor. Saraf muka membantu mengawal deria rasa dan pembentukan air mata seperti menangis. Tekanan ke atas saraf boleh menyebabkan mata kering atau menghasilkan air mata secara tidak terjangka serta perubahan dalam persepsi rasa.

Sakit kepala dan tekanan: Apabila neuroma akustik membesar, ia boleh memberi tekanan pada lapisan dalam tengkorak (dura). Dura mempunyai serat deria yang boleh menghantar sensasi tekanan. Sakit kepala akibat neuroma akustik boleh menjadi kusam atau berdenyut, dan biasanya berlaku di satu sisi kepala. Kesakitan ini boleh merebak ke leher atau ke bahagian atas atau hadapan kepala.

Neuroma akustik yang sangat besar boleh menyebabkan penyumbatan aliran cecair serebrospinal (dikenali sebagai hidrosefalus obstruktif) yang membawa kepada sakit kepala.

Penulis Pakar Perunding Kanan, Precision Neurosurgery, Mount Elizabeth Medical Centre, Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg