Saya bertemu dengan Cik Lina (bukan nama sebenar), di klinik pada September lalu.

Beliau datang untuk pemeriksaan kesihatan selepas menjalani mamogram dua hari sebelumnya.

Beliau mengambil keputusan menjalani pemeriksaan itu kerana bimbang selepas seorang rakan karibnya disahkan menghidap barah buah dada.

Namun, saya terpaksa menyampaikan berita yang tidak dijangkakannya.

Keputusan mamogram menunjukkan terdapat perubahan luar biasa pada buah dadanya yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Saya cuba menjelaskan bahawa keputusan itu belum bermakna beliau menghidap barah.

Tetapi kebimbangannya begitu kuat sehingga beliau mungkin sukar memberikan perhatian kepada penjelasan saya.

Pada petang itu, Cik Lina, 52 tahun, memberitahu keluarganya mengenai keputusan pemeriksaan tersebut.

Berita itu segera menimbulkan keresahan.

Anak perempuannya mula mencari maklumat mengenai barah buah dada di Internet, manakala suaminya cuba menenangkannya.

“Mungkin tiada apa-apa yang serius,” kata suaminya.

Namun, fikiran Cik Lina terus dihantui kemungkinan bahawa perubahan yang dikesan itu mungkin barah.

Beberapa hari kemudian, beliau menjalani mamogram tambahan dan pemeriksaan ultrabunyi buah dada.

Hasilnya melegakan.

Perubahan yang dikesan itu tidak berbahaya dan beliau tidak menghidap barah.

Pengalaman Cik Lina bukan sesuatu yang luar biasa.

Ramai wanita berdepan kebimbangan yang sama apabila dimaklumkan bahawa keputusan mamogram mereka menunjukkan sesuatu yang tidak normal.

Perkara paling penting yang perlu difahami ialah keputusan mamogram tidak normal bukan bermakna seseorang wanita telah disahkan menghidap barah buah dada.

Ia hanya menunjukkan terdapat perubahan yang perlu diperiksa dengan lebih teliti.

Apakah maksud keputusan mamogram tidak normal?

Mamogram ialah pemeriksaan buah dada menggunakan X-ray berdos rendah untuk mengesan perubahan pada tisu buah dada, termasuk perubahan yang terlalu kecil untuk dirasai melalui sentuhan.

Pemeriksaan ini penting kerana barah buah dada pada peringkat awal mungkin tidak menyebabkan kesakitan atau menunjukkan sebarang gejala.

Melalui imej mamogram, doktor boleh mengesan ketulan, perubahan bentuk tisu, kawasan yang kelihatan lebih padat atau bintik kecil yang mungkin memerlukan perhatian.

Bintik kecil itu dikenali sebagai mikrokalsifikasi, iaitu pengumpulan kalsium yang sangat halus dalam tisu buah dada.

Kebanyakan pengumpulan kalsium ini tidak berbahaya. Namun, corak tertentu mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut kerana boleh dikaitkan dengan perubahan awal barah.

Ada kalanya, imej mamogram menunjukkan kawasan yang kelihatan berbeza daripada tisu buah dada di sekelilingnya.

Perubahan itu tidak semestinya berpunca daripada penyakit.

Sebagai contoh, tisu buah dada yang bertindih ketika imej x-ray diambil boleh menghasilkan bayangan yang kelihatan seperti ketulan.

Selain itu, sista, iaitu kantung kecil berisi cecair, juga boleh menyebabkan perubahan pada imej mamogram.

Kesan pembedahan terdahulu, kecederaan atau perubahan semula jadi akibat peningkatan usia turut boleh mempengaruhi rupa tisu buah dada.

Sesetengah wanita pula mempunyai buah dada yang lebih padat, bermakna kandungan tisu kelenjar dan tisu berserat lebih tinggi berbanding lemak.

Keadaan ini boleh menyukarkan doktor mengesan perubahan tertentu melalui mamogram kerana tisu padat dan sesetengah ketumbuhan kelihatan hampir sama pada imej x-ray.

Oleh itu, apabila doktor menyatakan keputusan mamogram tidak normal, maksudnya adalah terdapat sesuatu yang perlu diteliti, bukannya barah telah disahkan.

Mengapakah perlu jalani mamogram lagi?

Ramai wanita berasa takut apabila diminta kembali untuk menjalani mamogram tambahan.

Mereka mungkin menyangka pemeriksaan pertama telah menemukan sesuatu yang serius.

Sebenarnya, pemeriksaan tambahan sering diperlukan hanya untuk mendapatkan imej yang lebih jelas.

Bayangkan mengambil gambar sesuatu objek yang sebahagiannya terlindung oleh objek lain.

Dari satu sudut, objek itu mungkin kelihatan seperti mempunyai bentuk yang luar biasa.

Namun, apabila gambar diambil dari sudut berbeza, barulah jelas bentuk tersebut sebenarnya normal.

Prinsip yang sama digunakan dalam mamogram tambahan.

Pakar radiologi, iaitu doktor yang pakar dalam menilai imej perubatan, mungkin mengambil gambar buah dada dari sudut lain atau memberikan tumpuan kepada kawasan tertentu.

Dalam banyak keadaan, imej tambahan menunjukkan bahawa kawasan yang pada awalnya menimbulkan kebimbangan sebenarnya hanyalah tisu buah dada biasa yang bertindih.

Jika tiada perubahan mencurigakan ditemukan, wanita berkenaan mungkin hanya perlu meneruskan pemeriksaan saringan mengikut jadual yang disarankan doktor.

Mengapakah ujian ultrabunyi diperlukan?

Ultrabunyi buah dada ialah pemeriksaan yang menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej bahagian dalam buah dada.

Berbeza daripada mamogram, pemeriksaan ini tidak menggunakan x-ray atau radiasi.

Ultrabunyi membantu doktor melihat sesuatu kawasan dengan lebih jelas, terutama apabila mamogram menunjukkan kemungkinan terdapat ketulan.

Antara tujuan utamanya adalah untuk menentukan sama ada ketulan tersebut berisi cecair atau terdiri daripada tisu pepejal.

Ketulan berisi cecair dikenali sebagai sista.

Sista ringkas biasanya tidak berbahaya dan selalunya tidak memerlukan rawatan, kecuali jika menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan.

Sebaliknya, ketulan pepejal mungkin memerlukan penilaian lanjut berdasarkan bentuk, saiz dan ciri-cirinya.

Namun, ketulan pepejal juga tidak semestinya barah. Banyak ketulan seperti ini merupakan perubahan tisu yang tidak berbahaya.

Bagi wanita yang dipanggil semula selepas mamogram, ultrabunyi merupakan pemeriksaan tambahan yang membantu doktor mendapatkan gambaran lebih tepat.

Adakah pemeriksaan MRI bermakna doktor mengesyaki barah?

Kebanyakan wanita yang menerima keputusan mamogram tidak normal tidak memerlukan pemeriksaan pengimejan resonans magnetik atau MRI.

Namun, doktor mungkin menyarankan pemeriksaan ini dalam keadaan tertentu apabila mamogram dan ultrabunyi belum memberikan maklumat yang mencukupi.

MRI menggunakan medan magnet dan gelombang radio untuk menghasilkan imej buah dada yang lebih terperinci.

Ia juga mungkin disarankan kepada wanita yang mempunyai risiko tinggi menghidap barah buah dada, contohnya mereka yang mempunyai sejarah keluarga tertentu atau perubahan genetik yang meningkatkan risiko penyakit itu.

Dalam sesetengah keadaan, MRI membantu doktor menilai buah dada yang padat atau menentukan tahap penyakit selepas barah disahkan.

Bagaimanapun, MRI bukan pemeriksaan yang diperlukan oleh semua wanita yang mempunyai buah dada padat.

Keputusan untuk menjalankannya bergantung kepada tahap risiko seseorang wanita dan penilaian doktor.

Yang penting, saranan menjalani MRI tidak bermakna seseorang itu semestinya menghidap barah.

Mengapakah doktor usul biopsi?

Ada kalanya, keputusan mamogram, ultrabunyi atau MRI masih belum dapat menentukan dengan pasti sama ada sesuatu perubahan pada buah dada berbahaya.

Dalam keadaan sedemikian, doktor mungkin menyarankan biopsi.

Biopsi ialah prosedur mengambil sedikit contoh tisu dari kawasan yang mencurigakan untuk diperiksa di makmal.

Contoh itu kemudian diteliti bagi mengenal pasti sama ada terdapat sel barah atau perubahan lain.

Perkataan biopsi sering menimbulkan ketakutan kerana ramai mengaitkannya dengan diagnosis barah.

Namun, biopsi ialah pemeriksaan untuk mendapatkan jawapan yang lebih pasti, bukan bukti bahawa seseorang telah menghidap barah.

Banyak biopsi buah dada akhirnya menunjukkan perubahan yang tidak berbahaya.

Jika keputusan menunjukkan barah, doktor boleh menggunakan maklumat daripada biopsi untuk menentukan jenis penyakit dan merancang rawatan yang sesuai.

Apakah yang perlu ditanya kepada doktor?

Wanita yang menerima keputusan mamogram tidak normal digalak mendapatkan penjelasan jelas mengenai penemuan tersebut.

Antara perkara penting yang boleh dikemukakan ialah apakah perubahan yang dikesan, sejauh manakah ia mencurigakan, pemeriksaan tambahan yang diperlukan dan bilakah keputusan dijangka diperoleh.

Pesakit juga boleh bertanya sama ada sejarah kesihatan diri atau keluarga meningkatkan risiko barah buah dada.

Satu lagi perkara yang berguna ialah meminta doktor menjelaskan kategori keputusan pemeriksaan menggunakan sistem yang dikenali sebagai BI-RADS.

BI-RADS ialah sistem penilaian yang digunakan oleh pakar radiologi untuk mengelaskan penemuan pemeriksaan buah dada dan menentukan tindakan susulan.

Sebagai contoh, BI-RADS 0 bermaksud imej yang diperoleh belum mencukupi dan pemeriksaan tambahan diperlukan.

BI-RADS 1 menunjukkan tiada kelainan dikesan, manakala BI-RADS 2 merujuk kepada perubahan yang disahkan tidak berbahaya.

BI-RADS 3 pula bermaksud perubahan itu berkemungkinan besar tidak berbahaya, tetapi pemeriksaan susulan dalam tempoh tertentu biasanya disarankan.

Kategori BI-RADS 4 dan 5 menunjukkan tahap kecurigaan yang lebih tinggi, dan biopsi lazimnya diperlukan untuk mendapatkan kepastian.

Memahami kategori tersebut boleh membantu pesakit mengetahui sebab pemeriksaan lanjut disarankan.

Jika penjelasan doktor terlalu teknikal, jangan segan meminta penerangan menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami.

Mengapakah tempoh menunggu begitu mencemaskan?

Bagi ramai wanita, tempoh antara menerima keputusan mamogram tidak normal dengan mendapatkan keputusan muktamad merupakan pengalaman yang paling mencemaskan.

Walaupun doktor menjelaskan bahawa banyak perubahan pada buah dada bukan barah, pesakit mungkin tetap membayangkan kemungkinan paling buruk.

Mereka mungkin sukar tidur, hilang selera makan atau tidak dapat memberikan tumpuan kepada pekerjaan.

Dalam keadaan ini, sokongan keluarga amat penting.

Ada kalanya, mendengar luahan dan kebimbangan pesakit lebih membantu daripada berulang kali memberitahunya supaya jangan risau.

Ahli keluarga boleh menemani pesakit menghadiri pemeriksaan susulan, membantu mencatat penjelasan doktor atau menguruskan keperluan harian.

Pesakit juga perlu berhati-hati apabila mencari maklumat di Internet.

Maklumat mengenai barah buah dada yang tidak berkaitan dengan keadaan sebenar seseorang boleh disalah tafsir dan meningkatkan kebimbangan.

Lebih baik mendapatkan penjelasan terus daripada doktor yang mempunyai akses kepada keputusan pemeriksaan dan sejarah kesihatan pesakit.

Jangan tangguhkan pemeriksaan susulan

Sepanjang pengalaman saya merawat pesakit, ada wanita yang terlalu takut menerima keputusan sehingga menangguhkan pemeriksaan lanjut.

Perasaan takut itu boleh difahami, tetapi menangguhkan pemeriksaan mungkin membawa akibat yang lebih serius.

Jika perubahan yang dikesan tidak berbahaya, pemeriksaan susulan dapat memberikan kepastian dan mengurangkan kebimbangan.

Sebaliknya, jika barah ditemukan, pengesanan awal membolehkan rawatan dimulakan pada peringkat yang lebih sesuai.

Rawatan barah buah dada kini semakin maju dan disesuaikan mengikut jenis barah, tahap penyakit serta keadaan pesakit.

Antara rawatan yang digunakan ialah pembedahan, radioterapi, kemoterapi, terapi hormon, imunoterapi dan ubat yang menyasarkan ciri tertentu pada sel barah.

Salah satu perkembangan dalam rawatan ialah penggunaan antibody-drug conjugates (ADC), iaitu ubat yang menggabungkan antibodi dengan bahan antibarah.

Secara mudah, antibodi bertindak seperti alat penghantar yang mengenali sasaran tertentu pada sel barah, lalu membawa ubat antibarah ke sel tersebut.

Rawatan ini sesuai untuk jenis barah buah dada tertentu dan bukan diperlukan oleh semua pesakit.

Walaupun barah buah dada masih penyakit serius, kemajuan rawatan memberikan peluang lebih baik kepada ramai pesakit, khususnya apabila penyakit dikesan lebih awal.

Bagi Cik Lina, saat paling melegakan ialah apabila doktor akhirnya memberitahunya bahawa perubahan pada buah dadanya bukan barah.

Pengalaman itu menyedarkannya betapa mudah seseorang membuat kesimpulan paling buruk sebelum semua pemeriksaan selesai.

Mesejnya jelas: Keputusan mamogram yang tidak normal perlu dipandang serius, tetapi tidak seharusnya dianggap sebagai pengesahan barah.

Jalani pemeriksaan susulan seperti yang disarankan dan dapatkan penjelasan doktor sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Keputusan mamogram tidak normal bukan diagnosis barah. Ia bermakna doktor memerlukan maklumat lanjut untuk menentukan keadaan sebenar buah dada.

Penulis Pakar Perubatan Onkologi, Curie Oncology.